Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan kerja khas asatizah, doktor dibentuk kaji langkah bendung COVID-19 di masjid

Sebuah kumpulan kerja khas sudah dibentuk untuk memikirkan bagaimana masyarakat Islam dapat  menyesuaikan norma-norma hidup dan juga meningkatkan lagi amalan kebersihan bagi membendung penularan virus korona COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan kerja khas asatizah, doktor dibentuk kaji langkah bendung COVID-19 di masjid

Kubah Masjid Sultan (Gambar: BERITAmediacorp/Taufiq Zalizan)

SINGAPURA: Sebuah kumpulan kerja khas sudah dibentuk untuk memikirkan bagaimana masyarakat Islam dapat menyesuaikan norma-norma hidup dan juga meningkatkan lagi amalan kebersihan bagi membendung penularan virus korona COVID-19.

Ini termasuk langkah-langkah tambahan yang boleh diambil masjid dalam usaha mengekang virus itu daripada merebak dan menjangkiti masyarakat.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli mengumumkan demikian dalam satu sidang media petang Khamis (12 Mac).

Beliau berkata kumpulan kerja yang dianggotai para asatizah dan doktor
itu dijadual mengadakan mesyuarat rasmi pertama mereka esok.

Sidang di Hab Islam itu diadakan, bagi mengumumkan penutupan sementara kesemua 70 masjid di Singapura selama lima hari mulai Jumaat (13 Mac) bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dijalankan bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat menerusi kegiatan di masjid.

Ini bermakna tiada solat Jumaat esok dan solat berjemaah selama tempoh tersebut di semua masjid.

Langkah itu diambil setelah dua jemaah tabligh warga Singapura disahkan dijangkiti Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Mereka adalah antara 82 rakyat Singapura yang menghadiri perhimpunan tabligh Jhor Qudamak Malaysia 2020 di Kuala Lumpur dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Seorang daripada mereka jatuh sakit beberapa hari selepas pulang ke Singapura dan mendapatkan rawatan perubatan pada Isnin, kata Encik Masagos.

"Beliau merupakan seorang pegawai yang bertugas di masjid dan mengunjungi empat masjid," tambah beliau tanpa memberi butiran tugas pegawai tersebut.

Encik Masagos bagaimanapun berkata empat masjid yang dikunjunginya ialah Masjid Muttaqin, Masjid Kassim, Masjid Hajjah Fatimah dan Masjid Jamae Chulia.

Semua masjid itu ditutup sejak 1 tengah hari, Khamis (12 Mac).

Ini kali pertama semua masjid di Singapura ditutup.

Ketua Eksekutif MUIS, Encik Esa Masood berkata langkah itu perlu bagi mencegah 'jumlah besar' kelompok COVID-19 daripada berlaku membabitkan 82 jemaah tersebut.

Semua kegiatan di masjid, ceramah, kelas agama dan tadika pula ditutup selama dua minggu, dari Jumaat hingga 27 Mac.

Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood.

"Tempoh dua minggu ini akan memberi kami lebih banyak masa untuk benar-benar mematahkan kitaran penularan virus itu," kata Encik Esa. "Kami akan terus mengawasi keadaan dan memantau kes pengesananhubungan yang dilakukan MOH.

"Sekiranya perlu untuk kita melanjutkan tempoh penutupan, kami akan menyesuaikannya dan memantau rapi keadaan dalam beberapa hari akan datang."
Encik Esa berkata MUIS akan menilai langkah-langkah tambahan yang perlu diambil sebelum membolehkan masjid dibuka semula. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan