Skip to main content

Singapura

Kumpulan Kerja Kajian COVID-19 NCID menang anugerah nasional atas sumbangan respons pandemik

Kumpulan Kerja Kajian COVID-19 di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) memenangi Anugerah Pasukan Kecemerlangan Klinikal Nasional atas peranannya dalam tindak balas pandemik di Singapura dan sejagat.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan Kerja Kajian COVID-19 NCID menang anugerah nasional atas sumbangan respons pandemik

(Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 05 Nov 2021 09:10PM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 09:12PM

SINGAPURA: Kumpulan Kerja Kajian COVID-19 di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) memenangi Anugerah Pasukan Kecemerlangan Klinikal Nasional atas peranannya dalam tindak balas pandemik di Singapura dan sejagat.

Kumpulan kerja itu antara enam penerima Anugerah Kecemerlangan Perubatan Nasional 2021 yang dimumkan Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (5 Nov).

Dalam satu kenyataan media, MOH menyatakan para penerima diiktiraf "atas kecemerlangan mereka dalam bidang mutu jagaan, keselamatan pesakit, kajian serta pendidikan dan latihan".

Antara pencapaian Kumpulan Kerja Kajian COVID-19 adalah kit ujian antibodi peneutralan SARS-C0V-2 petama di dunia untuk mengesan individu yang sebelum ini dijangkiti virus tersebut dan kemudian badannya menghasilkan tindak balas imun mudah suai.

Pasukan itu juga terlibat dalam penggunaan remdesivir dan baricitinib untuk merawat para pesakit COVID-19 di Singapura.

Ia turut menyediakan sampel pesakit yang dimanfaatkan untuk membangunkan antibodi-antibodi monoclonal Regeneron yang sejak itu menunjukkan keberkesanan dalam merawat pesakit COVID-19 yang tenat di hospital dalam ujian RECOVERY di Britain.

KAJIAN MEMBAWA KEPADA "PIAWAIAN JAGAAN LEBIH BAIK"

Kumpulan kerja itu ditubuhkan pada 22 Januari 2020, sehari sebelum Singapura mengesahkan kes pertama koronavirus.

Dipengerusikan oleh Profesor Leo Yee Sin dengan Profesor Madya David Lye sebagai timbalan pengerusi, ia bertujuan menjalankan kajian-kajian untuk memahami dengan lebih baik COVID-19 dan penularannya di Singapura.

Pasukan itu diberi nasihat oleh ketua saintis perubatan MOH, Dr Tan Chorh Chuan.

Profesor Lisa Ng dari A*STAR, Dr Barnaby Young dari NCID dan Dr Chia Wan Ni dari Sekolah Perubatan Duke-NUS juga merupakan anggota pasukan itu.

Kumpulan kerja tersebut membuat "sumbangan besar dalam kajian" tentang pandemik sekali gus "memperbaiki piawaian jagaan, diagnosis, kesan perubatan dan pengurusan para pesakit COVID-19 setempat dan sejagat", menurut MOH.

Sebanyak 23 daripada 212 penerbitan kumpulan itu disertakan dalam "jurnal saintifik berperingkat tinggi", menurut MOH. Ini termasuk New England Journal of Medicine, The Lancet, JAMA Science, Nature and Cell.

PEMENANG LAIN

Anugerah Klinisian Cemerlang Nasional diberi kepada Profesor Dale Fisher daripada Hospital Universiti Nasional (NUH), salah seorang daripada 12 pakar antarabangsa yang dilantik untuk menyertai Misi Bersama WHO-China tentang COVID-19 ke China untuk menyiasat dan memberi nasihat tentang tindak balas global.

Anugerah Berpasukan Kecemerlangan Klinikal Nasional pula diberi kepada program GPFirst, iaitu satu inisiatif yang diterajui oleh Hospital Besar Changi (CGH) pada 2014 untuk menggalak para pesakit dengan gejala ringan hingga sederhana untuk melawat pengamal perubatan awam berbanding ke Jabatan Kemalangan & Kecemasan (A&E).

Program itu sudahpun dimanfaatkan lebih 33,000 pesakit di kawasan timur dari 2014 hingga 2019 dan mengurangkan sebanyak 14 peratus jumlah pesakit dengan gejala ringan dan sederhana yang datang ke A&E dan mengurangkan sebanyak 36.6 peratus pesakit yang langsung ke A&E, menurut MOH.

Seorang lagi penerima, Profesor Chong Siow Ann memenangi Anugerah Saintis Kinisian Luar Biasa Nasional "atas sumbangan luar biasanya kepada kajian dan rawatan kesihatan mental dan merubah pandangan tentang penyakit mental".

Anugerah Mentor Klinisian Luar Biasa Nasional dan Anugerah Pendidik Klinisian Luar Biasa Nasional masing-masing diberi kepada Prof Madya Wong Kok Seng dan Profesor Tan Hak Koon.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita