Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan Jemaah Islamiyah masih beri ancaman keselamatan jangka panjang kepada Singapura

Buat masa ini tiada maklumat risikan yang menunjukkan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) mempunyai rancangan untuk melakukan serangan pengganas ke atas Singapura mahupun kepentingan-kepentingannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan Jemaah Islamiyah masih beri ancaman keselamatan jangka panjang kepada Singapura

Anggota JI diberkas di Indonesia. (Gambar fail: AP)

Carta yang dilakarkan para pegawai ISD pada Disember 2001 semasa bermulanya siasatan ke atas individu-individu berkaitan dengan JI. (Gambar-gambar: ISD)

Nota tulisan tangan oleh seorang anggota JI menerangkan tentang cara membuat bahan ledakan.

SINGAPURA: Buat masa ini tiada maklumat risikan yang menunjukkan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) mempunyai rancangan untuk melakukan serangan pengganas ke atas Singapura mahupun kepentingan-kepentingannya. Juga tiada tanda-tanda para anggota JI di Indonesia menjalin semula hubungan dengan bekas anggota JI di Singapura.

Namun demikian, kumpulan pengganas itu masih lagi merupakan ancaman keselamatan jangka panjang yang serius kepada Singapura, kerana JI masih bermatlamat mahu mewujudkan sebuah Daulah Islamiyah di Asia Tenggara menerusi penggunaan keganasan.

Demikian penilaian Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menerusi satu laporan yang dikeluarkannya hari ini (4 Dis), sempena 20 tahun operasinya memerangi JI di Singapura, sejak 8 Disember 2001.

"Kumpulan itu (JI) berdaya tahan dan boleh menyesuaikan diri kepada sekitaran keselamatan yang lebih menentang mereka. Langkah-langkah operasi keselamatan JI untuk mengelak daripada dikesan dan strategi-strateginya untuk mendekati dan mempengaruhi rekrut-rekrut masa depan, akan terus memastikan ia terus hidup dalam latar pengganasan Asia Tenggara," menurut pandangan ISD lagi dalam laporan tersebut.

PENDEKATAN HOLISTIK BAGI PROSES PEMULIHAN TAHANAN JI

ISD menyatakan, walaupun berjaya mematahkan semua rancangan serangan JI serta menahan anggota-anggota JI Singapura, ia akur itu tidak mencukupi bagi membendung ancaman kumpulan militan itu. Lantas, ia mengambil pendekatan holistik iaitu dari aspek keagamaan, sosial dan psikologi sebagai satu proses pemulihan jangka panjang bagi tahanan-tahanan JI.

Dari aspek keagamaan, ISD bekerjasama dengan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) untuk memperbetul ideologi radikal dan memberikan panduan agama yang benar kepada para tahanan keluarga mereka.

Menyedari akan pentingnya sokongan keluarga, tahanan JI dibenarkan bertemu anggota keluarga mereka setiap minggu untuk mempermudahkan mereka diserap kembali ke dalam masyarakat apabila tiba masanya.

Sokongan psikologi turut dihulurkan kepada para tahanan dari segi sesi kaunseling di mana mereka dinilai berdasarkan kecenderungan mereka terhadap kebencian dan keganasan.

"Saya takut mereka akan marah saya. Mengapa anda melakukanya? Ia tersebar di dada akhbar. Anda memalukan keluarga. Tetapi mereka datang untuk memberi saya sokongan yang kukuh, meminta saya bertaubat," kata "Alfee" bukan nama sebenar, seorang bekas tahanan JI.

"Saya kehilangan banyak masa, masa saya di JI. Masa saya ditahan. Saya kehilangan banyak masa. Saya kehilangan banyak masa dengan keluarga saya, anak-anak saya," akur "Adam" bukan nama sebenar, seorang bekas tahanan JI.  

HANYA 4 DARIPADA 56 TAHANAN JI MASIH ENGGAN BERGANJAK

Menurut ISD, hasilnya, daripada 56 anggota JI yang ditahan sejak 2002, hanya empat yang masih dalam tahanan kerana enggan berganjak daripada ideologi pengganasan.

"Keluarga kami mendesak kami untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa Singapura. Isteri saya mendedahkan bahawa beliau sudah memeriksa dengan isteri-isteri para anggota JI yang ditahan ISD dan tidak ada seorang pun yang mengadu diberikan layanan buruk. Beliau menambah ISD memberi jaminan bahawa kami akan dilayan dengan baik jika kami menyerah. Kedua-dua "Adam" dan saya mengambil masa seminggu untuk membuat keputusan untuk menyerah," kata "Osman" bukan nama sebenar, seorang bekas tahanan JI.

"Semua anggota JI patut pulang ke pangkal jalan dan kembali ke negara mereka. Saya pasti pihak berkuasa akan melayan mereka dengan penuh hormat seperti mana saya dilayan. Saya sebenarnya terperanjat dengan layanan yang saya terima. Mereka menghormati saya," kata "Sayfudin" bukan nama sebenar, seorang bekas tahanan JI.  

Seorang masih percaya dengan konsep jihad bersenjata (armed jihad). Dia melahirkan rasa kagum terhadap para pengebom nekad dan berkata tidak akan teragak-agak untuk menyertai serangan-serangan nekad jika diarahkan oleh para pemimpin JI untuk melakukan demikian.

Dalam pada itu tahanan-tahanan yang dibebaskan terus menerima bimbingan dari para pegawai ISD bagi memudahkan mereka berintegrasi kembali ke dalam masyarakat dan mengurangkan risiko mereka kembali bentan. Satu tumpuan utama kerjasama ISD dengan rakan-rakan masyarakat adalah untuk memastikan anak-anak anggota JI tidak terpengaruh dengan ideologi radikal.

"Sejauh ini, kebanyakan anak-anak anggota JI sama ada sudah bekerja atau sedang belajar dan kekal berdaya tahan terhadap pengaruh-pengaruh fahaman radikal," menurut ISD.

LANSKAP PENGGANASAN BERUBAH, JADI RADIKAL SECARA SENDIRI & PENGARUH FAHAMAN PELAMPAU KANAN

Pada pertengahan tahun 2000, ISD menyaksikan fenomena ancaman pengganasan yang baru, iaitu individu yang menjadi radikal secara sendiri menerusi bahan-bahan propaganda pengganasan atas nama Islam dan juga fahaman pelampau sayap kanan menerusi online.

Kes pertama individu yang menjadi radikal secara sendiri ialah Abdul Basheer Abdul Kadir. Sejak lewat 2004, Basheer mula cenderung kepada ideologi radikal yang dibacanya di internet dan berhasrat melancarkan jihad militan di luar negara di mana umat Islam diserang.

Pada 2006, Basheer ke sebuah negara Timur Tengah di mana dia menjadi semakin terpengaruh dengan propaganda pelampau di online. Dia kemudian membeli tiket ke Pakistan dengan tujuan mahu berhubungan dengan sebuah kumpulan militan dan pergi ke Afghanistan bagi menyertai Taliban.

Bagaimanapun, Basheer ditangkap dan dihantar pulang sebelum dapat meneruskan rancangannya. Dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Februari 2007. Basheer sekali lagi ditahan pada Oktober 2012 selepas didapati kembali menjadi radikal setelah dibebaskan dari tahanan pada Februari 2010.

4 SERTAI KONFLIK DI SIRIA, IRAQ

Sejak 2013, sekurang-kurangnya empat rakyat Singapura yang menjadi radikal secara sendiri pergi ke Syria dan Iraq dan dipercayai menyertai konflik bersenjata di sana.

Warga Singapura Megat Shahdan bin Abdul Samad, merupakan rakyat Singapura pertama tampil dalam video propaganda ISIS. Dia ke Syria untuk menyertai ISIS pada September 2014.

Semasa menyertai ISIS, Shahdan cuba mempengaruhi kontaknya di Singapura untuk melakukan serangan pengganas di sini, iaitu dengan merempuh orang ramai semasa perayaan Thaipusam menggunakan sebuah lori. Shahdan dipercayai terbunuh di zon konflik di Syria.

Selain ancaman individu yang menjadi radikal secara sendiri, Singapura turut berdepan dengan ancaman fahaman pelampau kanan. Pada Disember 2020, ISD mengesan kes pertama individu yang menjadi radikal oleh ideologi pelampau kanan.

Seorang remaja, 16 tahun merancang untuk menyerang dua masjid di Singapura selepas mendapat inspirasi daripada insiden tembakan di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand yang dilakukan individu bernama Brenton Tarrant.

Remaja itu mahu melakukan serangan itu pada 15 Mac 2021, iaitu ulang tahun kedua peristiwa serangan di Christchurch itu.
Lantaran semua perkembangan ini, ISD menyatakan ia perlu menyesuaikan kaedah menangani ancaman pengganasan dan pentingnya kerjasama kukuh dengan masyarakat setempat juga antarabangsa dalam memerangi pengganasan.

ISD BINA KERJASAMA KUKUH DENGAN MASYARAKAT BAGI PERANGI PENGGANASAN

Menyedari bahawa insiden penangkapan JI boleh menimbulkan keprihatinan serta menanam sifat tidak percaya kepada masyarakat Muslim, ISD bekerjasama dengan para pemimpin Muslim dan bukan Muslim untuk menonjolkan perpaduan dalam memerangi ideologi pengganasan.

Siri sesi tertutup diadakan dengan para pemimpin kanan Muslim tempatan dan masyarakat untuk memahami sensitiviti dan mengurangkan kesan negatif ke atas masyarakat menyusuli pendedahan penangkapan yang dilakukan ISD.

Ramai golongan bukan Muslim turut menunjukkan sokongan padu kepada masyarakat Muslim dalam mengutuk tindakan pengganasan. ISD juga mengadakan siri-siri ceramah bagi mendekati pelbagai segmen masyarakat termasuk golongan belia serta pekerja hijrahan.

KERJASAMA ANTARABANGSA BANTU PENANGKAPAN PELARIAN JI

Jabatan keselamatan itu juga meluaskan kerjasamanya dengan badan-badan antarabangsa bagi memberikan maklumat risik berkenaan pergerakan rangkaian JI di luar negara.

Kerjasama dan perkongsian maklumat risik yang berterusan antara ISD dengan agensi-agensi luar negara membolehkan penangkapan dan penghantaran pulang lebih 20 anggota JI ke Singapura, termasuk penangkapan ketua JI Singapura Mas Selamat Kastari.

Selepas Mas Selamat melarikan diri dari Singapura menyusuli penangkapan besar-besaran anggota JI, dia dikesan berada di kepulauan Riau berdasarkan siasatan ISD. Pihak berkuasa Indonesia segera dimaklumkan, membawa kepada penangkapan Mas Selamat pada 2 Februari 2003 di Bintan, menurut ISD.

Dia kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura pada 3 Februari 2006.

Selepas Mas Selamat lolos dari tahanan di Singapura pada Februari 2008, ISD sekali lagi berjaya menjejakinya di Malaysia pada lewat 2008. Mas Selamat akhirnya berjaya diberkas semula di Johor pada April 2009 dan dihantar pulang ke Singapura pada September 2010.

Kerjasama kukuh antara masyarakat dengan pihak-pihak berkuasa antarabangsa bagaimanapun tidak bermakna para pegawai ISD boleh menarik nafas lega. Ia terus memantau dengan teliti perkembangan yang boleh meningkatkan ancaman serangan oleh JI.

Salah satu detik penting adalah apabila Taliban kembali berkuasa di Afghanistan.

"Keadaan tidak menentu di sana (Afghanistan) mungkin membolehkan kumpulan-kumpulan pengganas seperti AQ (Al Qaeda) untuk menubuhkan semula tempat-tempat untuknya terus hidup.

"Dalam jangka panjang, operatif-operatif serantau JI yang ada hubungan dengan AQ dan/atau Afghanistan boleh memudahkan pemindahan sumber-sumber operasi dan pergerakan anggota militan antara Afghanistan dengan Asia Tenggara," menurut ISD dalam penilaiannya.

Malah kemenangan Taliban yang berjaya menakluki Afghanistan selepas 20 tahun boleh dilihat oleh JI sebagai suatu pengesahan akan aspirasi jangka panjang kumpulan itu.

Iaitu, mahu menubuhkan sebuah negara Islam di rantau ini, menurut ISD. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan