Skip to main content

Singapura

Kumpulan hak pekerja hijrahan gesa beri subsidi pengangkutan bantu syarikat henti bawa pekerja guna lori

Sebuah kumpulan hak pekerja hijrahan menggesa pemerintah untuk menyediakan subsidi pengangkutan selama 12 bulan kepada syarikat-syarikat yang mengambil pekerja hijrahan, supaya mereka boleh beralih daripada menggunakan lori untuk membawa pekerja.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan hak pekerja hijrahan gesa beri subsidi pengangkutan bantu syarikat henti bawa pekerja guna lori

Pekerja hijrahan diangkut dengan menggunakan lori pada 17 November 2021. (Gambar fail: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 19 Mar 2025 11:28PM Dikemas Kini : 19 Mar 2025 11:30PM
SINGAPURA: Sebuah kumpulan hak pekerja hijrahan menggesa pemerintah untuk menyediakan subsidi pengangkutan selama 12 bulan kepada syarikat-syarikat yang mengambil pekerja hijrahan, supaya mereka boleh beralih daripada menggunakan lori untuk membawa pekerja.

Kumpulan 'Humanitarian Organization for Migration Economics' (HOME) mencadangkan agar subsidi tersebut diberikan pada permulaan larangan yang dicadangkan terhadap penggunaan lori untuk membawa pekerja.

Menurut satu laporan baharu yang dikeluarkan pada Rabu (19 Mac), HOME mencadangkan untuk memberi syarikat besar 18 bulan dan syarikat kecil 36 bulan untuk menghentikan amalan mengangkut pekerja menggunakan lori.

Subsidi tersebut boleh dikurangkan secara beransur-ansur dari masa ke masa dan boleh diberikan dalam bentuk geran yang dapat digunakan perniagaan untuk membeli bas dan van kecil serta mengambil atau melatih lebih ramai pemandu, menurut cadangannya.

Isu pekerja hijrahan yang dibawa ke dan dari tapak kerja di belakang lori merupakan masalah berterusan yang telah dibangkitkan di Parlimen sejak sekurang-kurangnya 2006.

Tindakan mengangkut pekerja hijrahan dengan menggunakan lori mendedahkan mereka kepada risiko kematian dan kecederaan parah yang lebih tinggi jika berlaku perlanggaran atau sekiranya lori berhenti secara tiba-tiba, kerana tiada tali pinggang keledar dan penghadang yang melindungi mereka. Keadaan tersebut boleh menjadi lebih buruk apabila pekerja diangkut bersama peralatan kerja, menurut HOME.

Pertubuhan bukan pemerintah (NGO) itu menggesa agar larangan sepenuhnya dikuat kuasa terhadap amalan tersebut.

"Dengan mengekalkan amalan pengangkutan lori, serta mempertahankannya dengan hujah seperti kecekapan kos untuk perniagaan, kesannya adalah bahawa masyarakat kita sanggup mengutamakan faktor-faktor itu berbanding keselamatan dan nyawa pekerja hijrahan," katanya.

HOME juga menyatakan garis masa yang disyorkannya akan membolehkan isu tersebut untuk ditangani secara "beransur-ansur", supaya isu-isu seperti jarak antara tapak kerja dan dormitori, masa menunggu yang lama untuk pengangkutan, dan kekurangan bas serta pemandu dapat ditangani.

Untuk menggalakkan penerimaan awal larangan tersebut, HOME mencadangkan agar syarikat yang melaksanakannya lebih awal menerima subsidi dengan serta-merta, di samping tempoh 12 bulan selepas larangan yang dicadangkan berkuat kuasa, serta diberikan geran tambahan.

NGO itu menyatakan bahawa pemerintah memperuntukkan sebanyak S$35 juta untuk membantu perniagaan memasang tali pinggang keledar pada bas sekolah selepas ia menjadi keperluan pada 2009.

HOME menyatakan kepimpinan pemerintah adalah "penting dalam menyediakan saluran perubahan, terutamanya dalam bentuk subsidi negara".

NGO itu turut memberi cadangan bahawa pemerintah boleh memimpin dan menetapkan norma keselamatan baharu dengan memerlukan syarikat memenuhi tahap keselamatan tertentu bagi mendapatkan kontrak binaan pemerintah.

HOME menjalankan perbincangan fokus berkumpulan dengan 34 pekerja hijrahan yang kerap menggunakan lori untuk bergerak bagi laporannya, dan turut mendapatkan pandangan daripada pihak berkepentingan lain seperti bekas pemilik syarikat binaan, pemandu lori, pemandu bas, seorang ahli ekonomi dan seorang wakil daripada syarikat pengangkutan.

Untuk menangani kekurangan pemandu bas dan bas, HOME mencadangkan agar pemerintah bekerjasama dengan rakan industri menubuhkan syarikat bas khusus dan menyokong syarikat yang ingin mendapatkan dan melatih pemandu tersendiri.

Bas awam yang telah dinyahkhidmat boleh digunakan untuk mengangkut pekerja, kerana terdapat jurang selama tiga tahun antara jangka hayat statutori bas awam, iaitu 17 tahun, dan bas privet, iaitu 20 tahun, menurut HOME.

Di samping itu, NGO itu menggesa penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap peraturan keselamatan sedia ada - seperti mengadakan had bagi waktu kerja bagi pemandu dan pemasangan alat untuk menghadkan kelajuan bagi lori yang melebihi 3,500kg - serta keperluan untuk melaporkan data dengan kerap berkenaan kemalangan, kematian dan kecederaan yang melibatkan lori.

Pada Januari, Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata polis trafik "bimbang dengan kadar pemasangan yang rendah" bagi alat bagi menghadkan kelajuan.

Setakat sehingga akhir 2024, hanya kira-kira 50 daripada sekitar 17,000 lori yang layak telah menyelesaikan pemasangan alat untuk menghadkan kelajuan yang diwajibkan. Bergantung pada model lori, keperluan untuk memasang alat tersebut akan berkuat kuasa seawal tahun depan.

Satu lagi cadangan daripada HOME adalah agar pemerintah menyediakan pas pengangkutan awam bersubsidi bagi pekerja hijrahan, yang mungkin lebih sesuai buat mereka yang tinggal berhampiran perhentian bas atau stesen MRT.

"Temu bual yang dilakukan dengan pihak berkepentingan untuk laporan ini menunjukkan bahawa pekerja hijrahan biasanya memulakan hari mereka lebih awal berbanding pekerja Singapura dan mengakhiri hari kerja mereka lebih lewat, menunjukkan bahawa bilangan penumpang pengangkutan awam berkemungkinan tidak akan meningkat dengan ketara," menurut HOME.

HOME turut mencadangkan agar penginapan pekerja hijrahan ditempatkan secara strategik untuk mengurangkan kos pengangkutan bagi majikan dan permintaan pekerja terhadap pengangkutan awam.

"Model perumahan sedia ada bagi pekerja hijrahan mesti diubah secara aktif untuk menangani jarak jauh yang perlu dilalui pekerja untuk sampai ke tapak kerja mereka setiap hari, untuk membolehkan dormitori tetap pekerja hijrahan ditempatkan lebih dekat dengan, atau dalam masyarakat perumahan tempatan," jelas pihak NGO itu.

Bulan lalu, sebagai memberi respons kepada soalan di parlimen, Menteri Negara Kanan Pengangkutan Amy Khor berkata bahawa larangan pengangkutan menggunakan lori bagi pekerja hijrahan tidak praktikal atau berdaya maju bagi pelbagai perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Beliau memberikan contoh perdagangan pakar yang "lazimnya perlu mengangkut sebilangan kecil pekerja dan peralatan ke beberapa lokasi dalam sehari, dan memastikan bahawa kedua-dua pekerja dan peralatan boleh sampai di tapak kerja secara serentak untuk mengurangkan masa menunggu".

Dr Amy Khor berkata ini "bukan hanya disebabkan kekangan kewangan tetapi cabaran operasi praktikal". Beliau juga menekankan "kekurangan akut" pemandu bas yang menjejas sektor pengangkutan awam, bas pelancongan dan bas sekolah.

Pemerintah memudahkan urusan dengan menempatkan dormitori pekerja hijrahan berhampiran tapak kerja, seperti limbungan kapal dan tapak pembinaan besar, serta melibatkan persatuan industri untuk menggalak alternatif kepada lori, tambahnya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita