Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan budaya Cina Islam ini hasilkan lebih 800 'bak chang' halal penuhi permintaan ramai

Aroma makanan yang enak dan lain daripada yang lain dapat dihidu dari luar sebuah rumah di Margoliouth Road pada hujung minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan budaya Cina Islam ini hasilkan lebih 800 'bak chang' halal penuhi permintaan ramai

Para anggota Persatuan Kebudayaan Hui Hui Singapura membuat bak chang halal. (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Aroma makanan yang enak dan lain daripada yang lain dapat dihidu dari luar sebuah rumah di Margoliouth Road pada hujung minggu lalu.

Sebaik sahaja BERITAmediacorp melangkah masuk ke rumah berhalaman itu, sekumpulan wanita bertudung putih dan lelaki berbaju biru menyambut kehadiran kami pada Ahad (19 Jun).

Namun ini bukan perhimpunan biasa, inilah perhimpunan anggota Persatuan Kebudayaan Hui Hui Singapura (HHCAS), yang terdiri daripada masyarakat kaum Cina Islam di Singapura!

Malah, mereka turut mempelawa BERITAmediacorp ke bahagian belakang rumah - di mana aroma makanan tersebut seakan-akan memanggil-manggil.

bak chang

Di situlah mereka sedang membuat lebih 800 'bak chang' halal bagi tempahan orang ramai!

Ia bersempena Pesta Bot Naga atau Pesta 'Dumpling' yang berlangsung pada 3 Jun lalu.

Malah 'bak chang' halal yang disediakan terdiri daripada dua jenis, iaitu jenis Hokkien yang tidak manis dan menyelerakan dan jenis ala Nyonya yang lebih manis dan wangi.

bak chang

Salah seorang anggota HHCAS, Encik Muhammad Nuh Chew berkongsi: "'Bak' itu bermakna daging. Ia berintikan daging, sebab itu namanya 'bak chang'.

"Bak chang jenis Hokkien, pulutnya gelap kerana digaul dengan kicap pekat, kemudian bak chang jenis Nyonya pula, ia mempunyai hirisan tembikai Cina (wintermelon) supaya ia rasa manis."

Bak chang Hokkien yang dibuat HHCAS berintikan ketulan ayam berempah, cendawan, buah berangan dan telur masin.

bak chang

Bak chang jenis Nyonya pula diisikan pulut biasa berwarna putih, pulut bunga telang yang berwarna biru, ayam berempah dengan hirisan tembikai Cina serta daun pandan.

MENGAPA BUAT BAK CHANG SEMPENA PESTA BOT NAGA?

Pesta Bot Naga atau Pesta 'Dumpling' adalah salah satu perayaan besar Cina, selain Tahun Baru Cina, Qingming dan Pesta Kek Bulan.

bak chang

Pada hari tersebut, masyarakat Cina memperingati kematian seorang penulis puisi dan menteri yang dikenali dengan kesetianegaraan dan sumbangannya kepada puisi klasik, Qu Yuan.

Beliau bertindak membunuh diri selepas beliau dibuang negeri oleh raja ketika itu, yang enggan mendengar nasihatnya bagi menyerang Qin, sekali gus menyebabkan kejatuhan wilayah Chu.

Apabila orang ramai mengetahui tentang kematiannya, mereka mula mencampakkan 'dumpling' ke dalam sungai itu, dengan harapan ikan-ikan dan naga tidak akan memakan tubuhnya.

Malah mereka juga mendayung bot bagi mencari mayatnya dan di sinilah bermulanya tradisi bot naga.

muhd nuh chew

"Kita sambut bukan untuk meraikan dia membunuh diri, ia haram dari segi ajaran Islam. Tapi kami sambut semangat, cintanya kepada negara, kesetiaannya kepada raja dan kasih sayang rakyat kepada dirinya.

"Jadi bagi umat Islam seperti kami, kami bukannya benar-benar menyambut pesta ini. Kami hanya rasa ia suatu peristiwa besar yang berlaku pada masa lampau disebabkan kesetiaannya dan kesetianegaraannya. Itu sebabnya kami masih meraikannya," kata Encik Nuh.

ACARA BUAT 'BAK CHANG' DIDORONG PERMINTAAN RAMAI

BERITAmediacorp dimaklumkan lebih 800 bak chang yang dibuat bagi acara pada Ahad ini sebenarnya didorong permintaan ramai.

Malah, ia bermula daripada video YouTube seorang ahli HHCAS, Encik Herald Ferdaus Chia, yang menunjukkan cara-cara membuat 'bak chang'.

"Disebabkan kami menunjukkan cara-cara membuat bak chang, terdapat permintaan memberangsangkan untuk kami membuat lebih banyak lagi dan menjualnya kepada orang ramai.

bak chang

"Jadi kebanyakan mereka adalah orang Cina yang memeluk Islam juga dan mereka juga belum berpeluang menjamah rasa asli 'chang'.

"Oleh itu, pengerusi kami Puan Kartinah bersetuju dan bercadang membuat hanya sejumlah bak chang sahaja kerana kami bukan membuatnya untuk meraih keuntungan, kami hanya persatuan kebudayaan, berkongsi dengan Cina Islam lain yang kami kasihi kerana kami sendiri Cina yang memeluk Islam.

"Beliau kata 'kesianlah, mereka ingin nak makan'... Jadi kita cakap, kita boleh buat 400 'chang' Nyonya dan 400 'chang' yang 'savoury', jadi kesemuanya 800. Jadi hari ini kita teruskan amanah itulah."

HASRAT BANTU CINA ISLAM BEZAKAN ANTARA TRADISI DAN AGAMA

Yang pasti, usaha membuat bak chang halal ini salah satu cara bagi HHCAS mendekatkan diri mereka dengan lebih banyak orang Cina yang memeluk Islam untuk mengetahui batas agama tanpa meninggalkan tradisi dan budaya Cina sendiri.

Malah antara program selanjutnya yang mahu mereka lakukan adalah mendidik umat Islam berbangsa Cina membezakan tradisi dan agama dalam acara-acara kematian Cina.

"Kita hanya tahu kita memberi penghormatan terakhir kepada si mati tetapi sejauh mana perbuatan itu melibatkan agama dan sejauh mana pula ia tradisi Cina?

"Kita pun tak pasti, jadi bila ketua acara kematian itu datang, kami akan bikin program itu di YouTube dan sisipkan aspek Islam kepadanya.

"Jadi apabila orang Cina itu sendiri memeluk agama Islam, mereka tahu apa yang boleh mereka lakukan dan apa yang tidak, dan kami boleh terangkan kepada rakan-rakan Melayu kami juga," kata Encik Nuh.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan