Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan bola sepak bawa keceriaan kepada kanak-kanak dari keluarga susah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seawal 9.00 pagi lagi, 11 rakan "kaki bola" ini berkumpul di sebuah bengkel motosikal di daerah Woodlands, bukan untuk bermain bola sepak tetapi untuk satu usaha murni. 

Bersama keluarga dan kenalan rapat mereka, 11 anggota pasukan bola sepak 'JUDAS DATUA' mempunyai satu misi iaitu menceriakan kanak-kanak daripada keluarga memerlukan sempena pembukaan sekolah tidak lama lagi. 

Ini merupakan sebahagian daripada 'Projek Kaseh', satu usaha amal untuk membantu keluarga memerlukan.

(Gambar: Alfa Ramli)

Daripada bermain bola sepak bersama kepada melakukan kerja-kerja amal bersama.

Menurut peneraju Projek Kaseh, Alfa Ramli, usaha yang dikenali sebagai 'Back To School' ini sebenarnya adalah satu usaha yang disarankan oleh jurulatih mereka sendiri. 

(Gambar: Alfa Ramli)

Sebelum ini, pasukannya memang sering membuat kerja-kerja amal dengan mendermakan barang-barang keperluan dapur kepada golongan yang memerlukan.

Kali ini, usaha mereka tertumpu kepada golongan cilik yang bakal kembali ke sekolah minggu depan.  

120 KANAK-KANAK TERIMA ALAT KEPERLUAN SEKOLAH 

Seramai 120 kanak-kanak daripada 41 isi rumah menerima barangan keperluan sekolah yang disediakan dalam projek Back To School ini dengan sokongan JZSIXTEEN, sebuah bengkel motosikal.

(Gambar: Nazirah Jamzuri/BERITAmediacorp)

Setiap kanak-kanak menerima beg, alat tulis, botol air, vitamin dan baucar kasut sekolah. 

Antara yang dibantu merupakan kanak-kanak yang tinggal di rumah sewa, mereka yang datang daripada keluarga ibu bapa tunggal dan mereka yang mempunyai masalah kewangan.  

Walaupun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 dan kes Omicron di mana jumlah relawan perlu dikurangkan, mereka berusaha sedaya mungkin.

"Cabarannya adalah kepada mereka yang membantu kerana jumlah yang membantu sedikit tetapi penghantaran yang perlu dilakukan banyak. Ini bermakna lebih banyak masa yang mereka perlu luangkan," kongsi Encik Alfa. 

(Gambar: Alfa Ramli)

Dengan kegigihan kesemua para relawan, mereka berjaya melakukannya dalam masa empat jam. 

Penghantaran dibuat oleh relawan itu sendiri ke kawasan-kawasan merata Singapura, termasuk Pasir Ris, Bukit Batok, dan Woodlands. 

"Yang baiknya, rakan-rakan saya semua tidak peduli. Mereka akan tetap buat meski perlu mengetepikan satu hari kerana mereka suka membantu orang. Jadi cabaran ini dapat diatasi," dedah Encik Alfa. 

PROJEK KASEH BANTU KANAK-KANAK DARIPADA KELUARGA SUSAH KALI INI

Merasakan sendiri kepayahan membiayai keperluan anak-anak bersekolah, mereka tergerak hati untuk menghulur bantuan pada musim ibu bapa di luar sana sibuk membuat persiapan untuk anak-anak kembali ke sekolah. 

"Kumpulan kita pula ramai yang sudah berusia 40 ke atas dan ada yang sudah berumah tangga dan mempunyai keluarga mereka sendiri. Jadi kita dapat merasakan kepayahan yang dialami oleh keluarga yang menghadapi kesusahan ini," ujar Encik Alfa.

"Namun, anak-anak mereka ini adalah generasi mendatang jadi jika mereka diberikan bantuan, mungkin ini akan dapat menggalak mereka untuk menjadi lebih maju dalam kehidupan. Inilah yang ingin kami kongsikan," tambahnya lagi. 

(Gambar: Nazirah Jamzuri/BERITAmediacorp)

Semangat itu turut dikongsi oleh salah seorang ahli projek itu, dan juga anggota JUDAS DATUA, Faizal Hassan.

Dengan usaha sebegini, Encik Faizal merasakan ia boleh dilihat sebagai satu platform untuk membolehkan lebih ramai anggota masyarakat untuk berbakti.  

"Kita dapat bersama dan mengeratkan lagi silaturahim bersama kita dan masyarakat yang kita ingin membantu. Itulah yang terbaik bagi saya," kongsi Encik Faizal.

"Untuk kanak-kanak yang mungkin belum ada barang-barang keperluan untuk ke sekolah, pemberian ini dapat memberi sedikit semangat untuk mereka ke sekolah," tambahnya lagi. 

LIBATKAN RELAWAN BUKAN MELAYU

Apa yang menarik mengenai projek ini juga ialah penglibatan relawan berbilang kaum.

Selain 11 "kaki bola", usaha ini disertai oleh 16 lagi keluarga dan kenalan rapat mereka. Secara keseluruhan, sebanyak 27 relawan menyingsing lengan hari ini untuk membungkus dan mengagih-agihkan pek persiapan ke sekolah kepada 120 kanak-kanak. 

Cik Ho Swee Jiuan bersama anaknya dan Encik Alfa. (Gambar: Alfa Ramli)

Ini termasuk Cik Ho Swee Jiuan yang datang bersama suami dan anaknya. 

Ini juga sebenarnya bukan kali pertama Cik Ho menyertai usaha Projek Kaseh. Beliau dan keluarga sebelum ini pernah menyertai usaha membantu masyarakat Melayu sempena Hari Raya Aidilfitri. 

(Gambar: Nazirah Jamzuri/BERITAmediacorp)

"Memandangkan sekolah akan dibuka tidak lama lagi, saya ingin berkongsi kebahagiaan bersama kanak-kanak ini dengan pemberian alat keperluan sekolah sebelum mereka ke sekolah," menurut Cik Ho.

"Selain menyediakan alat keperluan itu, saya juga berharap untuk berkongsi dengan anak saya bahawa menyertai kegiatan sebegini ibarat berkongsi kasih sayang kita bersama orang lain juga," tambahnya lagi.

Usaha sebegini menurut Cik Ho sangat bermanfaat untuk kanak-kanak kerana dapat memberi pendedahan kepada mereka tentang nasib golongan yang memerlukan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan