Kumpulan 'bikers' agih bubur, beriani sempena Ramadan
SINGAPURA: Sekitar 1,000 bungkus bubur dan 1,000 bungkus nasi beriani diagihkan di Joo Chiat Complex pada Ahad (17 Mac).
Ia hasil usaha lebih 20 kelab motosikal dalam kerjasama dengan Jalur Budaya Geylang Serai dan 15 penaja.
Menurut pihak penganjur, jumlah bubur yang disediakan juga naik seganda.
Sejak 4.30 petang tadi, para "bikers" itu sudah mula mengagihkan bungkusan nasi beriani dan bubur kepada orang ramai.
Mereka terlebih dahulu berkumpul untuk memasak dan menyediakan juadah itu seawal 4.00 pagi lagi.
Usaha yang kembali buat kali ketiga itu juga menyaksikan lebih ramai kumpulan "bikers" menyumbang tenaga iaitu naik lebih tiga kali ganda berbanding tahun lalu bagi mengagihkan jumlah makanan yang lebih banyak kali ini.
"Sebenarnya pada tahun-tahun lepas, kita membuat agihan untuk diberikan kepada para fakir miskin, dari rumah ke rumah untuk mengagihkan barang-barang kering," kongsi Ketua Penganjur usaha itu, Abdul Razak Abdullah.
"Jadi pada tahun ini, kita bergabung dengan ramai kumpulan "bikers" Singapura dan ini satu permulaan di mana walaupun dari pasukan berlainan, saya dapat bergabung dengan Abang-Abang truckers, Abang-Abang Grab dan ada banyak lagi syarikat-syarikat lain yang dapat membantu kita, Alhamdulillah," tambahnya.
SATU CARA UNTUK "BIKERS" SUMBANG KEPADA MASYARAKAT PADA RAMADAN INI
Bagi salah seorang sukarelawan, Zarina Yahya, ini merupakan peluang yang baik untuk menyumbang kepada masyarakat.
"Bulan ini Ramadan, bulan yang mulia di mana kebanyakan orang ingin membuat amal ibadah jadi ini cara kita "bikers" menyumbang kepada masyarakat. Kita dapat bekerjasama dan saling bantu membantu terutama sekali untuk menyumbang kepada masyarakat," kongsi Cik Zarina.
Menurutnya lagi, itu juga merupakan satu cara untuk mereka semua berkumpul dengan pasukan-pasukan berbeza untuk bekerjasama.
"Tidak kira mana-mana acara pun, terutama acara amal, kita ada kesempatan untuk memupukkan satu keharmonian kepada semua, tidak kira kaum atau agama, sebagai satu Singapura bersama," ujar Cik Zarina.
GALAK LEBIH RAMAI TAMPIL KE HADAPAN SAMA-SAMA MEMBERI KEPADA MASYARAKAT
Kumpulan "bikers" itu juga disertai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang sama-sama mengagihkan juadah itu.
Dr Maliki melahirkan rasa terharu melihat dedikasi dan jumlah kumpulan "bikers" yang bertambah setiap tahun untuk acara itu.
"Mereka bukan sahaja mengagihkan bubur dan nasi beriani kali ini tetapi mereka sendiri yang memasak nasi beriani dan bubur kali ini. Ia menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masyarakat kita yang memerlukan dan membawa rahmah Ramadan kepada semua," kongsi Dr Maliki.
"Saya menggalakkan lebih ramai lagi di luar sana yang mempunyai simpati dan juga rasa ihsan kepada mereka yang memerlukan untuk tampil ke hadapan di bulan Ramadan ini untuk sama-sama kita memberi kepada mereka dan memberi sinar yang lebih baik di bulan Ramadan ini untuk mereka semua," tambahnya.
Pada masa yang sama, usaha sebegitu juga menurut Dr Maliki dapat meningkatkan lagi semangat kebersamaan dalam masyarakat.
"Mereka bukan sahaja menyumbang dalam waktu-waktu di luar bulan Ramadan tetapi juga pada bulan Ramadan ini di mana anggota-anggota kumpulan "bikers" yang sering kali sibuk di waktu siang hari dalam kerjaya atau kerja masing-masing, bekerjasama," ujar Dr Maliki.
"Ia menunjukkan semangat kebersamaan bukan sahaja dalam kalangan para abang "bikers" kita tetapi juga dengan mereka yang menderma habuan ataupun bubur dan nasi beriani yang dimasak itu," tambahnya.
AGIH JUADAH BERBUKA PUASA DI BEDOK NORTH
Selain di Joo Chiat Complex, mereka juga menyediakan juadah berbuka puasa untuk diagihkan kepada penduduk Bedok North pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dalam bulan Ramadan ini.
"Sesudah kita buat semua ini, ada banyak lagi pasukan yang ingin bergabung dengan kita. Alhamdulillah, hari ini kita dapat banyak maklum balas dari Bedok di mana hari ini, banyak yang berkata mereka ingin bergabung dengan kita tahun hadapan," dedah Encik Abdul Razak.
"Insya-Allah mungkin kita tidak akan memberi tumpuan di sini sahaja tetapi kita akan membuka di lain-lain kawasan juga, insya-Allah," tambahnya lagi.
Pengagihan seterusnya akan diadakan pada Ahad (24 Mac) ini di Joo Chiat Complex.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.