Kumpulan Ardwinda pertahankan gelaran Juara Keseluruhan Piala Suara Serumpun
SINGAPURA: Kumpulan dikir barat wanita daripada Kolej Tengah ITE, 'Ardwinda' berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan pertandingan dikir barat, Piala Suara Serumpun 2024.
Ini sekali gus menjadikannya kemenangan kali keempat bagi juara bertahan itu dan dua kali sebagai juara keseluruhan.
Persembahan mereka yang cukup bertenaga berjaya menawan hati para juri dan menumpaskan lagi 20 kumpulan dari institusi posmenengah lain.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Saya rasa amat gembira dan puas dengan anggota pasukan saya. Saya juga bangga dengan diri saya dan anggota pasukan saya juga. Kami harus berikan kerja keras yang sepenuhnya. Bersabar dengan latihan berbulan-bulan untuk menuju puncak," kongsi salah seorang anggota Ardwinda, Nur Asyiqin Izzati.
Pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai S$888 sebagai Johan Keseluruhan.
Pertandingan itu juga menyaksikan kumpulan 'Wira' daripada Politeknik Republic mempertahankan gelaran Juara bagi kategori Lelaki.
Ini merupakan kali ketiga secara berturut-turut mereka memegang takhta kejuaraan itu.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Kami sangat-sangat gembira sebab kami dapat memenangi kategori lelaki. Alhamdulillah dengan segala usaha yang telah kami berikan pada hari ini juga kami dapat menang kategori lelaki," kata anggota 'Wira', Abdul Haadi Abdul Samad.
Bertemakan "Cita Sempurna Warisan Sejarah”, pertandingan tahun ini menguji para peserta untuk bertingkah kata, bergema suara, mengatur gerak dan mengalun nada.
ANUGERAH KHAS CINTA SENI SETIA BUDI
Di samping itu, bagi menghargai semangat penggiat dikir barat dalam kalangan anak muda Anugerah Khas Cinta Seni Setia Budi turut disampaikan kepada Muhammad Fa'iz Ja'afar.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Ini merupakan kali ke-12 beliau menyertai pertandingan ini.
Beliau sudah mula bergiat dalam arena dikir barat ini sejak di bangku sekolah menengah lagi.
Beliau kemudian menyertai pertandingan tersebut sewaktu menuntut di ITE dan meneruskan perjuangannya di politeknik dan hinggalah ke universiti.
Tahun ini, Muhammad Fa'iz bertanding dalam pasukan Nusa Sarjana dari Universiti Teknologi Nanyang.
Beliau juga baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di NTU.
"Gembira ada, sedih pun ada sebab inilah kali terakhir untuk saya menyertai Piala Suara Serumpun tapi saya harap penghargaan ini akan memberi inspirasi kepada para pelajar muda untuk teruskan seni ini dan juga jangan abaikan pelajaran," kata Muhammad Fa'iz.
Dalam usaha untuk memupuk kebolehan para pelajar, beberapa kategori baharu termasuk Tukang Karut Berpotensi dan Paluan Berpotensi turut diperkenalkan.
Senarai Penuh Pemenang:
Kategori Wanita
Seni Kata Berpotensi: Dewi Samudera
Anugerah Tinta Kelkatu Seni Kata Terbaik: Nira Nyertika
Juara Berpotensi: Sutera Madura
Juara Terbaik: Seri Thera
Karut Berpotensi: Endang Ratiana
Karut Terbaik: Seri Thera
Paluan Berpotensi: Ardwinda
Paluan Terbaik: Sri Ratu Wilmana
Awak awak Terbaik: Endang Ratiana
Tempat Ketiga: Nira Nyertika
Tempat Kedua: Endang Ratiana
Tempat Pertama: Ardwinda
Kategori Lelaki
Seni Kata Berpotensi: Adisiswa
Anugerah Tinta Kelkatu Seni Kata Terbaik: Wira
Juara Berpotensi: Nusa Sarjana
Juara Terbaik: Kemudi Wimana
Karut Berpotensi: Satria Sukma
Karut Terbaik: Nusa Sarjana
Paluan Berpotensi: Wira
Paluan Terbaik: Nusa Sarjana
Awak awak Terbaik: Nusa Sarjana
Tempat Ketiga: Panjy Sri Temasek
Tempat Kedua: Nusa Sarjana
Tempat Pertama: Wira
Piala Nayla (Lagu Terbaik Pilihan Juri): Nusa Sarjana
Juara Keseluruhan: Ardwinda
Kemuncak edisi ke-15 pertandingan dikir barat itu diadakan di The Theatre at Mediacorp pada Sabtu (12 Okt).
Selain di YouTube 'Entertainment Mediacorp', Piala Suara Serumpun 2024 juga akan ditayangkan di Suria pada 8.30 malam, 2 dan 3 November ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.