Kumpulan antihukuman mati dikenakan arahan POFMA ketiga
Kumpulan aktivis yang mendesak supaya hukuman mati dimansuhkan di sini, The Transformative Justice Collective (TJC), telah diberikan arahan pembetulan buat kali ketiga di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) pada Sabtu (5 Okt).
Arahan itu berkaitan rencana yang diterbitkan di laman web TJC, dan catatan mereka di laman media sosial Facebook, Instagram, TikTok dan X pada Rabu.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataannya pada Sabtu juga mengeluarkan arahan pembetulan kepada aktivis
Kokila Annamalai berhubung catatannya di Facebook dan X, masing-masing pada Rabu dan Khamis.
Dalam pada itu, MHA turut mengeluarkan arahan pembetulan yang disasarkan kepada TikTok berhubung catatan TJC di platform tersebut.
Rencana itu dan catatan di media sosial mengandungi kenyataan fakta palsu berhubung proses undang-undang bagi banduan yang dikenakan hukuman mati dan pelaksanaan tuduhan mengedar dadah berkaitan dengan banduan yang menunggu hukuman mati.
Kenyataan palsu itu mengatakan bahawa pemerintah menjadualkan dan mengekalkan hukuman mati sewenang-wenangnya dan tanpa mengambil kira proses undang-undang yang sewajarnya, dan negara ini tidak menggunakan undang-undang untuk membuktikan tuduhan mengedar dadah terhadap orang yang dituduh.
"Pemerintah memandang serius kepalsuan yang disengajakan," kata MHA.
"Menteri Ehwal Dalam Negeri telah mengarahkan Pejabat POFMA supaya mengeluarkan arahan pembetulan kepada TJC dan Kokila, dan arahan pembetulan yang disasarkan dikeluarkan kepada TikTok Pte Ltd."
TJC dikehendaki menyertakan notis pembetulan di laman webnya dan di platform media sosial Facebook, Instagram dan X, selain membuat catatan baharu di TikTok yang mengandungi notis pembetulan.
Annamalai juga dikehendaki meletakkan notis pembetulan di catatannya di Facebook dan X. Aktivis awam yang terkenal itu didakwa pada Jun lalu kerana melakukan perarakan pro-Palestin ke Istana.
TikTok juga dikehendaki menghantar notis pembetulan kepada semua pengguna di Singapura yang telah mengakses catatan TJC di laman itu, kata MHA.
Berdasarkan pemeriksaan Mediacorp sehingga pukul 11.00 malam Sabtu, TJC, Annamalai dan TikTok belum menyertakan atau menghantar notis yang diperlukan,
MHA menjelaskan bahawa pelaksanaan hukuman mati hanya dijadualkan setelah banduan yang menunggu hukuman mati (PACP) kehabisan semua hak rayuan dan proses pengampunan.
Pihak negara sentiasa menanggung beban undang-undang untuk membuktikan pertuduhan mengedar dadah terhadap orang yang dituduh, tambah MHA.
Sebuah artikel di laman web semakan fakta pemerintah, Factually menerangkan dengan lebih lanjut mengapa dakwaan yang dibuat oleh TJC dan Annamalai adalah palsu.
MHA menarik perhatian bahawa TJC sebelum ini telah dikenakan dua arahan pembetulan POFMA, pada 8 Ogos dan 11 Ogos, kerana membuat kenyataan palsu yang sama mengenai banduan yang menunggu hukuman mati.
"TJC sekali lagi dengan sengaja menyampaikan kepalsuan walaupun fakta telah dimaklumkan kepada mereka lebih awal," kata MHA.
“Perlu dimaklumkan juga bahawa TJC telah memilih untuk hanya menonjolkan kisah dari pihak pengedar dadah, sambil mengabaikan fakta bahawa dia telah melakukan jenayah untuk keuntungan peribadi dan tidak mengambil kira kemudaratan terhadap mangsanya – penyalahguna dadah dan orang yang disayangi,” tambah MHA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.