Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan aktivis 'sasar dan ganggu' Sesi Bertemu Rakyat PAP

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan aktivis 'sasar dan ganggu' Sesi Bertemu Rakyat PAP

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam bercakap dengan dua aktivis di luar Sesi Bertemu Rakyat di Chong Pang pada 12 Mac 2025. (Gambar: Facebook/K Shanmugam Sc)

Diterbitkan : 13 Mar 2025 10:13PM Dikemas Kini : 13 Mar 2025 10:19PM
SINGAPURA: Sekumpulan individu telah pergi ke Sesi Bertemu Rakyat Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk dengan "sengaja bersemuka, membuat kacau, cuba melakukan provokasi", kata Encik K Shanmugam, yang pada Khamis (13 Mac) memuat naik rakaman gangguan tersebut yang berlaku sehari sebelum itu di kawasan undinya di Chong Pang.

"Mereka kemudian memuat naik versi apa yang berlaku, untuk meletakkan Anggota Parlimen dan pasukannya dalam kedudukan yang negatif pada pandangan ramai," kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam dalam catatan Facebooknya.

Walaupun Encik Shanmugam tidak mengenal pasti kumpulan itu, seorang jurucakap PAP semasa menjawab pertanyaan Mediacorp berkata bahawa kumpulan itu menggelar diri mereka sebagai Monday of Palestine Solidarity.

Kumpulan itu telah mengganggu lebih 10 Sesi Bertemu Rakyat (MPS) sejak beberapa bulan lalu, kata jurucakap itu.
Dalam catatannya, Encik Shanmugam berkata dua beradik perempuan, yang tinggal di Punggol, mendekatinya pada petang Rabu untuk bercakap mengenai Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA). Encik Shanmugam memberitahu mereka bahawa beliau perlu mengutamakan penduduknya terlebih dahulu, yang mereka menuduhnya berbohong.

“Tuduhan mereka, bahawa saya berbohong, adalah cara mereka cuba melakukan provokasi, sepanjang malam,” kata Encik Shanmugam, yang menerajui cawangan PAP Chong Pang di GRC Nee Soon.

"Cara antagonis mereka bercakap, tingkah laku mereka, mengganggu, melemparkan tuduhan berbohong, menggambarkan bahawa mereka mahu membuat kacau, mendapatkan beberapa bahan untuk dimuat naik, dan bukannya benar-benar mahu melibatkan diri dalam perbincangan yang sewajarnya."

Semasa Encik Shanmugam menuju ke pejabat cawangannya, kedua-dua wanita itu dan seorang lagi berteriak "pengecut" dengan kuat, kata Encik Shanmugam.

"Saya menegur mereka mengapa mereka berkelakuan seperti itu - saya kurang senang dengan gangguan yang mereka lakukan. Saya menegur mereka supaya jangan berkelakuan sedemikian. Saya juga menarik perhatian kepada mereka bahawa mereka telah mengganggu MPS,” kata Encik Shanmugam.

"Mereka tidak sepatutnya, sebagai bukan penduduk di kawasan ini, datang ke MPS dan berkeras mahu mengadakan perbincangan politik dan mahu diri mereka diutamakan daripada keperluan penduduk lain yang sedang menunggu giliran."

Encik Shanmugam mendedahkan bahawa kumpulan itu menunjukkan isyarat kesat menggunakan jari tengah mereka - dengan gambar yang turut menunjukkan isyarat sedemikian - dan membuat kacau yang menarik perhatian para penduduk yang sedang menunggu.

“Saya faham sesetengah orang mungkin mempunyai pandangan tegar mengenai isu-isu tertentu. Namun MPS bukan tempat untuk mengadakan tunjuk perasaan. Ia adalah tempat di mana para penduduk bertemu dengan Anggota Parlimen mereka untuk mendapatkan bantuan.

"Ramai yang mempunyai kebimbangan yang mendesak — perumahan, pekerjaan, keperluan perubatan, isu keluarga, dan mereka akan menunggu dengan sabar, sering kali selama berjam-jam untuk bercakap dengan Anggota Parlimen mereka,” katanya, sambil menambah bahawa membuat kacau di sesi-sesi isedemikian tidak bersikap adil kepada para penduduk lain.

Beliau kemudian meluangkan sekitar 30 hingga 45 minit untuk bercakap dengan mereka di dalam sebuah pejabat bagi “menilai sama ada kita dapat mencari titik persamaan”.

GANGGUAN DI MERATA NEGARA

Menurut PAP, kumpulan aktivis itu datang ke kawasan-kawasan undi yang dikendalikan oleh menteri kabinet, seperti cawangan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee di Boon Lay bagi GRC West Coast, dan cawangan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo di Kreta Ayer-Kim Seng di GRC Jalan Besar.

Mereka juga pergi ke cawangan-cawangan yang dikendalikan oleh Anggota Parlimen Edward Chia di Divisyen Zhenghua bagi GRC Holland-Bukit Timah, dan Anggota Parlimen di Divisyen Pasir Ris East bagi GRC Pasir Ris-Punggol.

“Mereka membuat kacau di kawasan menunggu untuk mengganggu sistem beratur yang kami sediakan, mereka merakam video dan meninggikan suara di MPS yang menjejas penduduk lain yang berharap dapat bertemu dan berbincang dengan Anggota Parlimen dan sukarelawan kami secara peribadi,” kata jurucakap PAP.

Para anggota kumpulan itu juga akan meninggikan suara dan melemparkan tuduhan melulu terhadap sukarelawan parti, dan sering kali bukan penduduk di kawasan yang mereka sasarkan, tambah jurucakap itu.

“Sukarelawan kami tampil untuk berkhidmat kerana mereka prihatin terhadap rakyat Singapura yang lain dan ingin memainkan peranan mereka untuk menyokong golongan yang memerlukan.

"Tidak wajar untuk sukarelawan kami berdepan dengan ejekan dan tuduhan tentang motif dan perwatakan mereka,” katanya.

MPS mingguan ini adalah “salah satu saluran bantuan yang paling langsung untuk ramai rakyat Singapura yang memerlukan bantuan”, dengan penduduk mahu mendapatkan bantuan bagi menangani kebimbangan yang mendesak, kata jurucakap itu.

“Kami berusaha sedaya upaya mewujudkan ruang yang selamat untuk penduduk berkongsi kebimbangan mereka, dan untuk bertemu dengan sebanyak mungkin penduduk dalam setiap sesi,” tambahnya.

SALURAN SOKONGAN

"Kami faham bahawa ramai yang berasa kecewa dan tidak berdaya terhadap situasi di Gaza dan menghargai bahawa mereka boleh bertemu dengan Anggota Parlimen kami sebagai saluran untuk sokongan," menurut jurucakap tersebut.

"Anggota Parlimen dan sukarelawan parti sentiasa meluangkan masa untuk mendengar pandangan penduduk mengenai isu ini, yang kemudian disampaikan kepada Kementerian Ehwal Luar (MFA) bagi pihak mereka," katanya.

Ramai penduduk yang berasa amat prihatin terhadap isu itu juga telah mengambil tindakan bersama parti untuk mengumpul dana bagi mereka yang terjejas di Gaza, menyalurkannya secara langsung kepada rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal, melalui rakan kongsinya, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

"Kami sentiasa berbincang dengan RLAF mengenai bantuan yang diperlukan oleh rakyat Palestin, dan kami menggalakkan lebih ramai penduduk untuk menyertai kami dalam usaha ini," menurut jurucakap PAP.

"Tanpa mengira pandangan politik, setiap orang berhak dilayan dengan hormat. Bagi mereka yang telah menganjurkan usaha untuk mengganggu Anggota Parlimen kami, kami tidak akan membiarkan sebarang tindakan menakut-nakutkan terhadap penduduk dan sukarelawan kami."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan