Skip to main content

Singapura

Kumpulan 10 orang dibenarkan, tidak wajib pakai pelitup di luar mulai 29 Mac

Singapura akan menggandakan saiz kumpulan perhimpunan sosial dari lima kepada 10 orang manakala memakai pelitup tidak lagi wajib di luar bangunan mulai Selasa (29 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Mar 2022 12:43PM Dikemas Kini : 24 Mar 2022 08:52PM

SINGAPURA: Singapura akan menggandakan saiz kumpulan perhimpunan sosial dari lima kepada 10 orang manakala memakai pelitup tidak lagi wajib di luar bangunan mulai Selasa (29 Mac).

Demikian diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (24 Mac) sebagai sebahagian daripada "tindakan yang tegas" ke arah menjalani kehidupan dengan COVID-19.

Perubahan lain kepada langkah pengurusan selamat termasuk membenarkan sehingga 75 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah untuk kembali ke tempat kerja mereka dan menaikkan had kapasiti bagi acara-acara yang lebih besar dengan lebih 1,000 hadirin kepada hingga 75 peratus.

Bagaimanapun keperluan memakai pelitup dalam bangunan tetap diwajibkan, meskipun pemakaian di luar tidak diwajibkan kerana risiko jangkitan di luar bangunan adalah "jauh lebih rendah", kata Encik Lee dalam ucapannyan kepada seluruh Singapura.

Keperluan jarak selamat 1 meter dikekalkan antara kumpulan dalam keadaan di mana pelitup tidak dipakai untuk mengurangkan penularan jangkitan dalam keadaan sedemikian.

Pada masa yang sama, Singapura akan melonggarkan "dengan ketara" kawalan perjalanan rentas sempadan kerana situasi Omicron "dapat dikawal dengan baik", kata Encik Lee.

Keperluan ujian dan kuarantin bagi pelawat akan "diperkemaskan dengan ketara", tambah PM Lee, sambil menarik perhatian bahawa Rangka Kerja Perjalanan bagi Penumpang Sudah Divaksin akan dipermudahkan untuk membolehkan rakyat Singapura ke luar negara "hampir seperti keadaan sebelum COVID-19".

Rangka kerja sedemikian juga akan melonggarkan kebanyakan sekatan terhadap pelawat lengkap divaksin untuk memasuki Singapura.

"Ini akan menghubungkan semula Singapura dengan dunia luar.

"Pembukaan ini akan memberi rangsangan yang amat diperlukan oleh perniagaan-perniagaan, terutama sekali sektor pelancongan, dan membantu Singapura merebut kembali kedudukan kita sebagai sebuah hab perniagaan dan penerbangan," kata Encik Lee.

Meskipun perubahan dalam negeri dan rentas sempadan itu menandakan "satu langkah penting" menuju kehidupan bersama COVID-19, Encik Lee berkata "kita masih belum boleh meniadakan langsung sebarang langkah kawalan".

"Kita tetap berwaspada kerana COVID-19 masih boleh membawa kejutan baru."

Maka itu, PM Lee menggesa rakyat Singapura supaya mengambil langkah-langkah kelonggaran COVID-19 terkini ini dengan "sikap yang betul".

"Anda boleh menyambung semula kehidupan seperti biasa, menikmati masa bersama keluarga dan rakan-rakan dalam kumpulan yang lebih besar, keluar rumah tanpa memakai pelitup, atau bertemu semula dengan orang-orang yang tersayang di luar negara. Tetapi jangan bersikap sambil lewa tanpa menghiraukan risikonya," katanya.

Encik Lee menyeru semua orang supaya terus memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi protokol keselamatan yang disemak.

"Jika anda berasa kurang sihat, lakukan ujian kendiri. Jika anda diuji positif,asingkan diri anda di rumah. Jika anda diuji negatif, dan anda membuat keputusan untuk keluar rumah, harap pakai pelitup untuk melindungi orang lain, walaupun anda berada di luar rumah, sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

"Marilah kita terus mengamalkan tanggungjawab peribadi dan sosial kita," katanya.

"Dengan cara itu, walaupun apabila masalah-masalah baru timbul, kita mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengawal keadaan dan dapat meneruskan usaha kita untuk mencapai kebiasaan yang baru."

"TINDAKAN TEGAS KE HADAPAN"

Dalam ucapannya itu, Encik Lee juga mengimbas kembali perjalanan Singapura dalam menangani COVID-19 sepanjang dua tahun lalu.

"Ini adalah perjuangan yang sukar. Dengan setiap gelombang jangkitan yang baru, kami terpaksa bertindak dengan pantas dan membuat penyesuaian.

"Setiap kali kami rasa kami telah dapat mengawal pandemik ini, virus ini mengejutkan kita," kata Encik Lee.

Kejutan terbaru datang dalam bentuk varian Omicron yang lebih mudah berjangkit, yang menyaksikan jumlah kes harian naik secara mendadak - menjangkau 25,000 dalam sehari ketika kemuncaknya.

Disebabkan oleh kadar vaksinasi yang tinggi dan sistem jagaan kesihatan yang kukuh di Singapura, "di dalam hati kita yakin" mampu mengatasinya, kata Encik Lee.

Namun untuk memberi masa kepada sistem penjagaan kesihatan dan pekerja kesihatan untuk menyesuaikan diri, Singapura memutuskan untuk mengetatkan langkah-langkah kawalan sempadan dan menangguhkan rancangan untuk melonggarkan protokol keselamatan.

"Kami rasa lega kerana Omicron ternyata tidak seteruk varian-varian lebih awal, dan tidak banyak kes yang terlalu serius sehingga memerlukan bantuan oksigen atau penjagaan di ICU," kata Encik Lee.

Menurutnya, jumlah kes harian merosot sepanjang dua minggu lalu, dengan nisbah mingguan kini sekitar 0.8.

"Pada kadar ini, bilangan jangkitan harian akan berkurangan sebanyak separuh dalam masa lebih kurang tiga minggu," katanya.

Kesemuanya itu dapat dicapai menerusi usaha bersama - dari orang awam yang memainkan peranan masing-masing hingga ke perniagaan dan pekerja barisan hadapan yang memastikan ekonomi dan perkhidmatan sosial Singapura tetap bertahan.

Encik Lee juga mengiktiraf sumbangan kakitangan jagaan kesihatan negara ini dan mengucapkan terima kasih kepada mereka atas "pengorbanan mereka", pada "kos peribadi yang tinggi".

"Disebabkan pengorbanan andalah, kita telah dapat mengekalkan kehidupan hampir seperti sedia kala sepanjang dua tahun lalu. Ada beberapa negara yang mengalami pemberhentian pekerja penjagaan kesihatan secara beramai-ramai," kata PM Lee.

"Namun pasukan penjagaan kesihatan kita, para doktor dan jururawat tetap berdiri teguh dan melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Justeru, kepada para pekerja penjagaan kesihatan dan barisan hadapan kita, dari lubuk hati saya dan bagi pihak negara yang terhutang budi kepada anda, saya ucapkan: Terima kasih!" kata Encik Lee.

Singapura kini berada di "penanda penting" dalam perjalanan COVID-19 kita, dengan sebahagian besar penduduk sudah lengkap divaksin dan hampir setiap orang yang layak sudah mendapatkan dos penggalak.

Gelombang Omicron sudah "mula reda", katanya, sambil menarik perhatian bahawa negara ini juga mempunyai "daya imuniti yang lebih kuat" memandangkan kebanyakan penduduk sudah dijangkiti virus tersebut dan pulih.

Paling penting sekali, sistem jagaan kesihatan - yang "menghadapi tekanan ketara" ketika kemuncak gelombang Omicron kekal dapat bertahan, kata Encik Lee.

"Dalam menilai sejauh dan sepantas mana untuk melonggarkan sekatan, kami amat prihatin agar tidak menambah tekanan ke atas pekerja dan sistem penjagaan kesihatan kita sehingga ke tahap yang tidak lagi dapat menampung jumlah kes," katanya.

"Ia akan meletakkan beban yang tidak mungkin mampu digalas para pekerja penjagaan kesihatan,
dan ini akan membahayakan ramai pesakit COVID-19 dan bukan pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan segera," kata Encik Lee.

Pada masa yang sama, Singapura mesti mempertimbangkan kos akibat pelaksanaan langkah pengurusan selamat yang ketat terhadap perniagaan dan ekonomi serta kesannya terhadap kanak-kanak yang perlu belajar, keinginan para belia untuk berinteraksi, keluarga-keluarga yang ingin menjalin ikatan dan masyarakat yang berusaha untuk menjalin hubungan.

"Apabila diambil kira semua ini, kami percaya bahawa kami sekarang bersedia untuk mengambil langkah yang tegas ke arah menjalani kehidupan dengan COVID-19," kata PM Lee.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita