Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kukuhkan lagi kompak sosial & tingkatkan kemahiran demi masa depan negara

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Kompak sosial yang lebih kukuh dan meningkatkan kemahiran boleh menjadikan Singapura lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Para anggota parlimen yang ditemui BERITAmediacorp berpendapat dua isu tersebut merupakan antara yang paling menonjol dalam ucapan Presiden Halimah Yacob pada pembukaan sesi kedua bagi Parlimen ke-14 pada Isnin (10 Apr).

KOMPAK SOSIAL LEBIH KUKUH

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad berpendapat bahawa penglibatan dan kerjasama semua pihak berkepentingan yang bersepadu adalah penting untuk kemajuan bersama.

"Ucapan Presiden, bagi saya yang menonjol ialah bagaimana beliau menyentuh mengenai kompak sosial yang harus kita ambil dan ini bagi pemerintah di mana kita mahu membawa industri dan juga sektor - 'people sector' bersama kita dan bagaimana kita melakarkan dasar-dasar dan juga dapat membentuk Singapura akan datang.

Menurut Encik Zaqy, adalah penting juga untuk pemerintah 4G membentangkan dasar-dasarnya yang mendapatkan maklum balas dan mengambil kira pendapat masyarakat dan industri.

"Idea ini amat penting di mana kita juga mahu mempunyai Singapura yang lebih inklusif yang mempunyai pihak yang mempunyai suara dalam setiap dasar yang kita mahu lakukan dan juga bagaimana kita dapat membentuk bersama sebagai satu masyarakat dan bukan saja dari segi dasar-dasar yang lebih sukar," jelas beliau.

Dalam ucapannya, Presiden Halimah berkata bahawa meritokrasi telah menyediakan peluang kepada ramai rakyat Singapura untuk membina keupayaan dan cemerlang.

Namun, ia juga menjadikan masyarakat lebih berstrata dan mengurangkan kadar mobiliti sosial.

Maka itu, adalah penting untuk terus memastikan tiada kumpulan masyarakat yang ketinggalan kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Salah satu aspek adalah bagaimana kita boleh mempertingkatkan usaha-usaha untuk melihat adakah kelompok sosial yang kita telah bangunkan dengan baik atau harus kita mempertingkatkan lagi, dan bagaimana kita dapat melihat ramai yang telah maju.

"Kalau kita lihat beberapa tahun yang lalu, kita dapat lihat ramai di kalangan warga Singapura termasuk masyarakat Melayu/Islam yang berjaya menuju ke hadapan dan juga kita mahu menolong golongan ini dan juga kita mahu melihat mereka yang masih ketinggalan, bagaimana kita boleh memberikan ruang bagi mereka untuk bangun memberikan sokongan bagi mereka supaya mereka juga dapat peluang untuk terus maju jaya," kata Dr Faishal.

PENINGKATAN KEMAHIRAN

Selain kompak sosial yang lebih kukuh, Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan Toa Payoh, Saktiandi Supaat merasakan bahawa kemahiran masyarakat juga perlu dipertingkatkan.

"Kebajikan sosial akan dipertingkatkan untuk masyarakat secara amnya, terutamanya saya rasa saya menganalisa, mungkin menolong keluarga keluarga yang kurang keupayaan anak anak. Anak-anak muda belia masa depan kita. Bagaimana kita mempertingkatkan keupayaan mereka untuk meningkatkan keupayaan, kemahiran mereka buat masa sekarang dari segi pendidikan dan pelbagai (cara) lagi. Ini termasuk melakarkan strategi menerusi pendidikan, peningkatan kemahiran dan memupuk bakat sepanjang hayat.

"Presiden telah mengatakan bahawa cabaran-cabaran pada masa akan datang mungkin lebih kompleks terutama tentang situasi Amerika Syarikat dengan negara China, pendigitalan dan teknologi. Impaknya mungkin lebih kompleks bermakna adalah penting untuk mempertingkatkan keupayaan pekerja kita. Keupayaan warga Singapura kita untuk terutama sekali mereka yang lebih kurang upaya kurang kemampuan untuk menjana masa depan yang lebih cerah," kata Encik Saktiandi

Usaha itu diharap dapat dipermudahkan dengan program SkillsFuture yang sedia ada.

Encik Zaqy berkata bahawa ekosistem program latihan yang diperkukuhkan akan menjadikannya lebih mudah diakses dan relevan bagi memenuhi keperluan industri.

"Hari ini mungkin ada yang menilainya dan mengatakan bahawa SkillsFuture itu rumit dan mungkin tidak relevan bagi mereka. Di sini kita mahu melihat bagaimana kita boleh membentuk ekosistem yang lebih relevan bagi pekerja kita supaya mereka dapat mengambil bukan sahaja kursus kemahiran tapi bagaimana mereka dapat betul-betul meningkatkan kemahiran mereka dan menjalani kursus dan daya kemahiran mereka dengan lebih tinggi, yang mungkin dalam format belia yang berlainan," jelas beliau.

Beliau turut mengalu-alukan langkah mengkaji semula bagaimana untuk mengiktiraf dan menghargai kemahiran serta bakat berbeza-beza dan tidak dinilai sekadar "sijil' yang dimiliki sahaja.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan