Kukuhkan kesepaduan ekonomi ASEAN, seru Chan Chun Sing
Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Chan Chun Sing menyeru ASEAN supaya mengukuhkan kesepaduan ekonomi agar dunia dapat melihat blok serantau itu sebagai kawasan pasaran tunggal.
SINGAPURA: Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Chan Chun Sing menyeru ASEAN supaya mengukuhkan kesepaduan ekonomi agar dunia dapat melihat blok serantau itu sebagai kawasan pasaran tunggal.
Berucap di forum pemimpin perniagaan hari ini (21 Mei), Encik Chan berkata ia akan membantu rantau ini mengatasi keadaan masa depan yang tidak menentu di tengah-tengah sekitaran global yang mencabar.
Pergeseran perdagangan antara ekonomi-ekonomi besar dunia memberi kesan kepada pihak lain, kata Encik Chan Chun Sing. Menurut beliau walaupun ASEAN menunjukkan prestasi baik sejak beberapa tahun ini, tekanan dari luar akan turut menjejasnya.
Encik Chan berkata ASEAN perlu berubah untuk terus kekal menjadi pasaran yang menarik, misalnya sebagai destinasi pelaburan. Rantau berkenaan juga perlu melihat bagaimana ia boleh memanfaatkan ekonomi digital.
Ini bermakna menyemak dasar-dasar yang berkaitan dengan aliran data serta hak cipta intelektual. Encik Chan juga menggesa agar dibina hubungan rentas sempadan bagi ekosistem inovasi yang lebih dinamik.
"Pada dasarnya, hanya segelintir pihak yang akan melihat negara-negara ASEAN secara sendiri sebagai cukup menarik. Namun jika kita bergabung, kita boleh menjadi destinasi menarik bagi bakat, idea, pasaran dan rakan-rakan luar," kata Encik Chan.
Bagi syarikat-syarikat Singapura pula, Encik Chan berkata mereka perlu berkembang menjangkaui pasaran tempatan untuk terus kekal.
Salah satu cara adalah untuk memanfaatkan kerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.