Kuil God of Wealth di Admiralty Street terbakar; penghuni rumah tumpangan berdekatan dipindahkan
Sebuah kuil di Sembawang terbakar pada malam semalam (18 Sep).

Kuil God of Wealth di Admiralty Street terbakar. (Gambar: Facebook/Jerlyn)
SINGAPURA: Sebuah kuil di Sembawang terbakar pada malam semalam (18 Sep).
Video-video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan kepulan asap tebal dari kuil Sembawang God of Wealth yang terletak di Admiralty Street, dengan sebahagian besar bangunan itu dijilat api.
Dalam catatan Facebooknya, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada sekitar 9.15 malam.
Api sudahpun marak di kuil setinggi empat tingkat itu apabila pasukan bomba tiba di tempat kejadian.
Kebakaran itu "menjejas tingkat pertama kuil empat tingkat itu dan merebak ke tingkat dua", menurut SCDF.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, para penghuni dari rumah tumpangan warga tua yang terletak berdekatan dipindahkan ke tempat selamat oleh pihak polis," menurut SCDF.
Acacia Home, yang dibuka pada April 2018, membantu lelaki lanjut usia yang hidup sebatang kara dan ia terletak bersebelahan dengan kuil itu.
"Semasa pemindahan (itu), seorang lelaki lanjut usia dari rumah itu mengalami sesak nafas dan diperiksa oleh paramedik SCDF," menurut SCDF, sambil menambah bahawa lelaki itu sudahpun dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat.
"Tiada kecederaan lain dilaporkan dan para penghuni rumah tumpangan itu pulang ke bilik masing-masing pada pukul 11.45 malam," menurut SCDF.
Sebanyak 11 kenderaan kecemasan dan sekitar 60 anggota bomba terlibat dalam operasi itu, yang menggunakan tujuh jet air untuk memadamkan kebakaran.
"Kebakaran itu, yang menjejas tingkat satu dan dua kuil setinggi empat tingkat itu dipadamkan sebelum tengah malam," menurut SCDF.
Operasi susulan sedang dijalankan dan akan diteruskan selama "tujuh jam lagi", menurut SCDF sekitar 2.18 pagi pada Sabtu.
Punca kebakaran sedang disiasat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.