Kuih Raya lebih sihat popular untuk Aidilfitri tahun ini
(Gambar: Syawal Yusoff)
BERITAmediacorp: Penggemar biskut raya yang ingin menjaga kesihatan diri mungkin dalam dilema untuk menikmati makanan tersebut.
Namun, dengan lebih banyak pilihan biskut Hari Raya lebih sihat di pasaran, mereka tidak perlu "merasa bersalah" untuk menikmatinya.
Kedai kek Simply DLights menyatakan permintaan untuk biskut Hari Raya yang rendah gula yang dijualnya meningkat 70 peratus tahun ini.
Kedai yang bermula sebagai peniaga di rumah (HBB) mula menawarkan biskut lebih sihat sedekad lalu menyatakan permintaannya meningkat setiap tahun.
"Kami mendapati pelanggan daripada golongan warga emas yang membeli kuih-kuih kami kerana mereka tahu bahawa ia lebih sihat dan kurang manis daripada yang lain-lainnya," kata cef, Putri Nur Shafiqah Azman.
Kedai yang terletak di bangunan East Village itu diasaskan atas pengalamannya sendiri yang mempunyai ahli keluarga yang menghidapi kencing manis.
"Kami cuba untuk gunakan bahan yang terbaik seperti gula rendah (indeks glisemik) GI, mentega sayuran dan kami juga tiada lemak trans dalam kami punya kuih-muih. Rasanya tiada ada beza dengan kuih-kuih yang lain," tambahnya.
Meskipun harga bahan-bahan sudah meningkat, kedai itu masih dapat mengekalkan harga empat jenis kuih rayanya termasuk 'meringue' kurang daripada S$20 sebotol untuk 50 keping.
"Sudah tentu (lebih mahal) kerana bahan-bahan yang bermutu tinggi dan juga lebih sihat di pasaran lebih mahal daripada bahan-bahan yang biasa tapi kami juga ingin memberi harga yang berpatutan kepada pelanggan kami," jelas Putri.
KUIH RAYA DIHANTAR JALANI UJIAN MAKMAL
Delcie's Desserts and Cakes pula mula menawarkan biskut-biskut lebih sihat untuk Lebaran ini.
Semua lapan jenis kuih Hari Raya yang ditawarkan termasuk tart nenas, kuih gulung atau 'love letters', bebas kolesterol.
Ia juga antara kegemaran para pelanggan Muslimnya.
"Tahun ini, para pelanggan Muslim kami mula membuat permintaan. Mereka kata memandangkan kami sudahpun menyediakan untuk Tahun Baru Cina, mengapa tidak untuk Hari Raya juga? Jadi kami mula mempromosikannya di lelaman kami, dan laman Shopee," kata pengasasnya, Cik Delcie Lam.
Menurutnya, sekitar 20 peratus pelanggannya adalah Muslim dan membelinya untuk dibahagi-bahagikan kepada ahli keluarga yang menghidapi kencing manis atau anak-anak yang mempunyai alahan makanan.
Sebagai langkah tambahan, semua biskut Hari Raya yang ditawarkan telah dihantar ke makmal untuk diuji bagi memastikan ianya sesuai bagi para pesakit kencing manis.
"Apabila kami membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D), kami sentiasa pastikan rasa itu jadi keutamaan kami. Selain tidak menggunakan telur dan produk tenusu, kami gunakan sos epal yang tinggi kandungan serat untuk memaniskan produk-produk kami. Kami juga gunakan banyak biji rami, biji chia, tepung oat untuk menggantikan beberapa bahan penting dalam pembikinan biskut," kata Cik Lam.
Menurut Cik Lam penjualan bagi kesemua biskut Hari Raya laris meskipun dijual pada harga premium antara S$32 hingga S$35.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.