Kuih hasil 2 syarikat ditarik balik selepas asid benzoik dikesan
(Gambar: SFA)
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Khamis (10 Mac) menarik balik produk kuih yang dihasilkan dua syarikat Singapura setelah mengesan asid benzoik iaitu sejenis bahan pengawet.
SFA mengarahkan pengilang K & B Nonya Kueh Manufacture dan Beng San Food Industry untuk menarik balik produk-produk berkenaan.
Proses menarik balik produk-produk berkenaan sedang dijalankan.
Produk yang terjejas termasuk Kueh Seri Muka dan Kueh Lapis daripada K & B Nonya Kueh Manufacture, serta kek keladi, lobak dan labu daripada Beng San Food Industry.
Asid benzoik tidak dibenar digunakan dalam produk-produk kuih di bawah Peraturan Makanan Singapura. Di bawah peraturan tersebut, hanya bahan pengawet dibenarkan dengan jumlah dalam lingkungan maksimum diluluskan untuk digunakan dalam makanan.
"Berdasarkan jumlah yang dikesan, memakan produk-produk terjejas tidak mungkin akan menimbulkan keprihatinan keselamatan makanan," menurut SFA.
Namun, pengguna tidak harus makan makanan yang mengandungi jumlah asid benzoik yang tinggi buat tempoh yang panjang, tambahnya.
"Ini kerana walaupun asid benzoik adalah bahan pengawet biasa dan selamat digunakan dengan jumlah yang kecil, kajian pada haiwan yang makan jumlah tinggi asid benzoik menunjukkan gangguan kepada sistem saraf pusat dan juga perubahan kepada otak mereka," menurut SFA lagi.
Mereka yang sudah makan produk-produk terjejas dan prihatin tentang kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan. Mereka juga boleh menghubungi kedai runcit di mana mereka membeli kuih tersebut, jika terdapat sebarang pertanyaan.
Produk yang ditarik balik daripada K & B Nonya Kueh Manufacture:
Kuih Seri Muka (Pandan)
Kuih Seri Muka (Jagung)
Kuih Seri Muka (Kacang merah)
Kuih Lapis
Produk-produk daripada Beng San Food Industry:
Kek lobak
Kek keladi
Kek labu
Soon kuih
Png kuih
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.