Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kugiran rok Taiwan, Mayday, sumbang S$200,000 kepada MIJ Hub; bantu 22 pelajar berkeperluan khas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kugiran rok legenda Taiwan, Mayday, mendermakan S$200,000 kepada MIJ Hub - pertubuhan yang memperkasa golongan berkeperluan khas dan ditubuhkan pasangan Melayu/Islam di Singapura.

Menerusi satu kenyataan media, Mayday menyatakan sumbangan itu adalah sempena ulang tahunnya yang ke-25. Ia juga satu bentuk penghargaan kepada para peminat Singapura atas sokongan luar biasa mereka selama ini.

"Kami selalu merasakan satu ikatan mendalam dengan para peminat kami di Singapura, dan sumbangan ini adalah cara kami untuk menyumbang kembali kepada masyarakat yang sudah banyak memberi sokongan padu kepada kami selama 25 tahun lalu," kata pemain gitar Mayday, Wen Shang-yi atau lebih dikenali sebagai Monster.

Beliau bersama para anggota yang lain dijadual mengadakan konsert ulang tahun Mayday di Singapura pada 11 dan 12 Januari tahun hadapan.
Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Tenggara merupakan pengantara untuk kumpulan itu menyalurkan sumbangan.

Jumlah S$200,000 yang disalurkan pula akan membantu 22 pelajar di MIJ Hub.

"Kami sangat berterima kasih kepada Mayday atas kemurahan hati dan komitmen mereka untuk meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan mereka yang berkeperluan khas," ulas Pengarah Eksekutif MIJ Hub, Encik Muhammad Nasrul Rohmat.

"Sumbangan mereka contoh kesungguhan berbakti kepada masyarakat, menyediakan sokongan penting buat para pelajar kami, dan membolehkan pertubuhan-pertubuhan seperti kami untuk terus bertahan."

Beliau menambah separuh daripada jumlah yang disalurkan akan digunakan untuk mengatur kurikulum buat para pelajar mengenal pasti keupayaan masing-masing agar dapat bekerja pada masa hadapan.

Baki separuh sumbangan itu bakal diperuntukkan untuk para pelajar di bawah Program Persiapan Intervensi Awal. Ia satu program dua tahun yang memastikan kanak-kanak berkeperluan khas melalui pengalaman lebih lancar apabila melangkah ke sekolah rendah.
MIJ Hub turut merakamkan penghargaan kepada CDC Tenggara dalam "memahami keperluan masyarakat dan aktif mencari rakan-rakan korporat yang bersedia untuk menyumbang".

MIJ Hub diasaskan oleh Encik Mohammad Ali Dawood dan Cik Faraliza Zainal yang mempunyai seorang anak autistik.

Pertubuhan yang dibangunkan mereka kini membantu individu berkeperluan khas berusia antara 4 hingga 40 tahun menerusi pelbagai program pendidikan menyeluruh, latihan vokasional dan integrasi masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan