Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kugiran bekas pesalah hiburkan penonton secara 'live' buat pertama kali di Esplanade

Sebuah kugiran yang dianggotai bekas pesalah mengukir sejarah dengan membuat persembahan pertama mereka secara langsung di hadapan para penonton di Esplanade pada Sabtu (6 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Kugiran bekas pesalah hiburkan penonton secara 'live' buat pertama kali di Esplanade

(Gambar: Reben Kuning)

SINGAPURA: Sebuah kugiran yang dianggotai bekas pesalah mengukir sejarah dengan membuat persembahan pertama mereka secara langsung di hadapan para penonton di Esplanade pada Sabtu (6 Ogos).

Ini selepas dua tahun terpaksa melakukan persembahan secara online disebabkan pandemik COVID-19.

Persembahan sempena siri acara 'Red Dot August' anjuran Esplanade itu bertujuan untuk memberikan wadah kepada golongan bekas pesalah untuk menampilkan bakat mereka.

(Gambar: Reben Kuning)

Dengan tema "Kita Adalah Kisah Satu Sama Lain, Kita Adalah Peluang Kedua Satu Sama Lain", persembahan tahun ini ingin memperhebatkan lagi aspirasi seperti harapan, kemaafan dan peluang kedua dalam kehidupan. 

Acara yang berlangsung di Pentas Terbuka Esplanade itu menampilkan lagu-lagu yang digubah sendiri oleh bekas pesalah menerusi Pertandingan Menulis Lagu Reben Kuning. 

Kugiran yang diberi nama 'Yellow Ribbon PAC Alumni' itu turut menghiburkan penonton dengan lagu-lagu kebangsaan popular bersama para pemuzik syarikat Intune Music Pte Ltd.

TERUJA DIBERI PELUANG PAMERKAN BAKAT

Salah seorang anggota yang teruja dapat membuat persembahan itu ialah Cik Fazera Ahmad.

Beliau juga berbangga kerana diberi peluang membawakan lagu kemenangannya berjudul 'Closer to the Sky' yang dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Menulis Lagu Reben Kunung 2019.

"Saya rasa bersyukur diberi peluang kedua terutama sekali dalam memperbaiki kehidupan saya apatah lagi diberi peluang mendalami bidang yang saya minati. Usaha Reben Kuning ini membantu saya meningkatkan semula keyakinan diri saya di kalangan masyarakat," kata Cik Fazera.

(Gambar: Reben Kuning)

Sebagai satu-satunya anggota wanita dalam kugiran 'Yellow Ribbon PAC Alumni' itu, Cik Fazera berharap persembahannya itu dapat memberi inspirasi kepada semua.

"Saya dapat berikan manfaat kepada setiap orang di luar sana, untuk terus mengejar cita-cita dan juga impian mereka," kata Cik Fazera.

Berkongsi perasaan serupa juga ialah antara anggota paling mapan dalam kugiran itu, Encik Yahya Ahmad.

Lebih manis lagi, itulah pertama kali pemenang Anugerah Reben Kuning (Merit) 2021 itu membuat persembahan bersama kugiran itu.

"Sebagai bekas pesalah, peluang seperti ini di dalam bidang muzik banyak mengajar saya erti kerja keras dan kerjasama yang dapat kita terapkan dalam kehidupan kita," ujar Encik Yahya.

Selain persembahan tersebut, terdapat banyak lagi acara seni yang disajikan sempena Red Dot August.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman www.esplanade.com/reddotaugust.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan