Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kuda dilihat berlari di BKE 'dibawa pulang ke kandang kuda dengan selamat'

Anggaran Waktu Membaca:
Kuda dilihat berlari di BKE 'dibawa pulang ke kandang kuda dengan selamat'

(Gambar: Petikan skrin dari Facebook/Complaint Singapore/Raven Qiu)

SINGAPURA: Seekor kuda yang dilihat berlari di Ekspreswe Bukit Timah dalam video-video yang disebarkan secara online hujung minggu lalu "sudahpun kembali dengan selamat ke kandang kudanya", jelas jurucakap Singapore Turf Club pada Isnin (10 Jul).

Jurucakap itu menambah kuda itu milik Bukit Timah Saddle Club dan Turf Club sedar kuda itu mencari jalan keluar dari kandang kudanya dan "berada di atas jalan raya buat seketika".

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas keprihatinan mereka, terutama sekali para pemandu atas kesabaran mereka."

Bukit Timah Saddle Club sedia maklum tentang insiden itu namun enggan mengulas lanjut apabila dihubungi Mediacorp.

Dalam video yang dimuat naik di kumpulan Facebook Singapore Incidents, kuda itu dilihat berlari di ekspreswe di tengah-tengah trafik. Kuda itu kemudian berpusing sebelum berjalan di hadapan sebuah kereta.

Dalam satu lagi video, kuda berkenaan diiringi seorang pegawai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berhampiran laluan keluar Turf Club Avenue di BKE.

Semasa dihubungi Mediacorp, LTA enggan memberikan sebarang komen berhubung insiden tersebut.

Ini bukan kali pertama seekor kuda dilihat berada di atas jalan raya Singapura. Pada bulan Mac tahun lalu, seekor kuda hitam dilihat berjalan di Turf Club Road di Bukit Timah. Ia dirakam "hanya beberapa minit" selepas ia melarikan diri, menurut sekolah menunggang kuda Gallop Stable.

TODAY juga melaporkan pada Ogos 2021, seekor kuda berwarna campuran kelabu dan putih dilihat di Vanda Link berdekatan Turf Club Road, meskipun tidak jelas di mana ia ditempatkan.

Insiden serupa juga berlaku pada 2020, apabila seekor kuda putih dilihat berlari di persimpangan jalan raya di Eng Neo Avenue, juga di kawasan sama seperti Turf Club Road.

Kegiatan lumba kuda di Singapura akan ditamatkan pada Oktober 2024, dengan tapak Singapore Turf Club di Kranji bakal dikembalikan kepada pemerintah pada 2027 bagi tujuan pembangunan semula.

Sekitar 700 ekor kuda akan dieksport dan lumba kuda terakhir akan diadakan pada 5 Oktober 2024.

Bukit Timah Saddle Club baru-baru ini berpindah dari kawasan bersejarah di Bukit Timah ke lokasi baru di Singapore Turf Club, hanya tiga bulan lalu pada hujung bulan Februari.

Sekolah menunggang kuda itu memiliki 80 ekor kuda, dengan lebih 30 lagi kuda dimiliki secara persendirian.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan