Kucing di pusat pembuangan sampah: Majlis Bandaran Tampines mohon maaf atas 'kelemahan protokol'
Majlis Bandaran Tampines memohon maaf atas cara ia menempatkan seekor kucing setelah haiwan itu dijumpai di dalam sangkar dalam sebuah pusat pembuangan sampah minggu lalu.

(Gambar: Rachel YukiMizu/Facebook)
SINGAPURA: Majlis Bandaran Tampines memohon maaf atas cara ia menempatkan seekor kucing setelah haiwan itu dijumpai di dalam sangkar dalam sebuah pusat pembuangan sampah minggu lalu.
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, majlis bandaran itu mengakui bahawa terdapat "kelemahan protokol" berhubung cara ia mengendalikan insiden itu, yang timbul akibat aduan seorang penduduk.
Majlis bandaran itu ‘berkali-kali menerima maklum balas berhubung najis kucing di luar sebuah unit penduduk", dan penduduk yang terjejas sudah meminta bantuan untuk menghuraikan isu itu.
Majlis bandaran tersebut kemudian mengarahkan seorang kakitangan "yang agak baru" untuk "memindahkan kucing itu dengan selamat".
Ini mengakibatkan haiwan itu diletakkan di sebuah pusat pembuangan sampah sebagai "tempat pemindahan sementara", menurut majlis bandaran itu, sambil menambah bahawa ia tidak berniat untuk menimbulkan bahaya pada kucing itu.
Insiden itu menjadi tular setelah seorang pengguna Facebook Rachel YukiMizu, seorang relawan dari Persatuan Kebajikan Kucing (CWS), memuat naik satu catatan mengenai insiden tersebut pada Khamis (14 Nov).
Dalam catatannya, Cik Rachel berkata bahawa dua pekerja pembersihan dilihat mengangkat kucing itu dalam sangkar dan diletakkan bersebelahan kawasan pembuangan sampah. Beliau terdengar kucing itu mengiau dari kawasan itu dan bimbang sekiranya kucing itu dalam kesakitan.
Cik Rachel kemudian berusaha untuk menghubungi Majlis Bandaran Tampines namun gagal menghubungi jabatan yang relevan meskipun sudah mencuba beberapa kali. Akhirnya, beliau memutuskan untuk menelefon polis.
Setelah pihak polis tiba, Cik Rachel berkata para pegawai menyoal majlis bandaran berkenaan "kerana tidak mengikut protokol berhubung aduan tentang kucing". Pihak polis kemudian meminta agar kucing tersebut diserahkan kepada seorang wakil CWS.
Dalam satu catatan Facebook pada Ahad, CWS menyatakan bahawa para penimbang tara sebelum ini pernah bekerjasama dengan kesemua 16 majlis bandaran serta NParks untuk melakar protokol jelas berhubung cara menangani aduan tentang kucing. Bagaimanapun protokol itu tidak dipatuhi dalam kes ini.
Majlis Bandaran Tampines menambah bahawa insiden itu adalah kes terpencil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.