Skip to main content

Singapura

Kuasa menteri di bawah akta seperti POFMA mesti ikut batasan undang-undang: Chan Chun Sing

Anggaran Waktu Membaca:
 Kuasa menteri di bawah akta seperti POFMA mesti ikut batasan undang-undang: Chan Chun Sing
(Gambar:Reuters/Edgar Su)
Diterbitkan : 26 Feb 2026 07:02PM
SINGAPURA: Undang-undang yang memberikan kuasa budi bicara yang luas kepada menteri - termasuk POFMA dan perundangan lain - mestilah sentiasa dijalankan mengikut batasan undang-undang.

Demikian ditekankan Menteri Penyelaras Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Khamis (26 Feb).

Beliau menjawab soalan daripada Anggota Parlimen He Ting Ru (WP-Sengkang) semasa perbahasan parlimen mengenai perancangan perbelanjaan Divisyen Perkhidmatan Awam di bawah Belanjawan 2026.

Cik He bertanya bagaimana Singapura membimbing dan memantau penggunaan budi bicara eksekutif. Beliau menarik perhatian bahawa beberapa undang-undang - termasuk Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), Akta Campur Tangan Asing (Langkah Pencegahan) (FICA), dan Akta Keselamatan Online (Bantuan dan Tanggungjawab) yang diluluskan tahun lalu -memberi menteri dan badan berkanun kuasa yang luas untuk bertindak terhadap berita palsu, campur tangan asing dan kandungan online yang berbahaya.

Beliau juga menyatakan bahawa apabila budi bicara eksekutif dijalankan, saluran utama orang awam untuk mencabarnya adalah melalui semakan kehakiman, yang menurutnya "jarang berlaku" di Singapura.

“Bagaimanakah Singapura membimbing dan memantau penggunaan budi bicara eksekutif dan apakah langkah perlindungan yang disediakan untuk memastikan perkara ini dilakukan dengan bijaksana?” tanya beliau.

Encik Chan, yang juga Menteri Pertahanan, berkata Perdana Menteri menetapkan tanggungjawab menteri, termasuk fungsi berkanun - iaitu kuasa atau tugas yang diberikan oleh perundangan.

"Semua fungsi berkanun mestilah dijalankan mengikut undang-undang," katanya.

"Undang-undang memberikan budi bicara kepada menteri dan pegawai lain supaya mereka dapat menggunakan pertimbangan mereka tentang cara terbaik untuk menangani setiap kes berdasarkan fakta, dan bukannya mengenakan peraturan terlalu tegas tanpa melihat situasi."

Beliau menambah bahawa rasional pemberian kuasa budi bicara, serta skop, had, dan langkah perlindungannya, pastinya sudah dibahaskan di parlimen semasa perundangan tersebut diluluskan.

Setiap menteri bertanggungjawab untuk menjalankan fungsi berkanun yang ditetapkan kepadanya, kata beliau.

“Isu-isu yang paling penting akan dirujuk dan dibincangkan oleh barisan menteri Kabinet sebelum keputusan muktamad diambil,” tambahnya.

“Barisan menteri Kabinet, seterusnya, bertanggungjawab secara kolektif kepada parlimen.”
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita