Skip to main content

Singapura

"Kuasa luar biasa" Mohd Razif buat saksi mula percaya dengan ajarannya

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lagi dua orang saksi hadir di mahkamah hari ini (26 Jun) untuk memberi keterangan dalam hari ketiga perbicaraan kes terhadap Mohd Razif Radi yang dituduh menyebarkan ajaran sesat.

Mereka merupakan saksi keempat dan kelima pendakwa raya.

Saksi kedua dan ketiga telah pun memberi keterangan di mahkamah semalam (25 Jun) namun sesi itu hanya boleh dihadiri oleh pihak pendakwa raya dan pasukan peguam bela.
Nama kedua-dua saksi tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti mereka.

Perbicaraan di Mahkamah Negara bermula sekitar 10 pagi tadi dengan Timbalan Pendakwa Raya, Hidayat Amir, bertanya bagaimana saksi keempat itu mengenali Mohd Razif.

MINTA SOKONGAN SPIRITUAL

Saksi keempat itu memberitahu mahkamah dia dan bekas isterinya telah diperkenalkan kepada Mohd Razif oleh salah seorang sahabat pada 2004.

Pada masa itu, mereka terlibat dalam perniagaan penganjuran acara dan memerlukan "seseorang yang dapat memberikan sokongan secara rohani yang kuat.”

Apabila diminta menjelaskan bentuk sokongan yang diperlukan, saksi itu memberitahu Encik Hidayat bahawa ia adalah untuk memastikan acara anjuran mereka itu berjalan lancar.

Menurutnya, Mohd Razif telah berkunjung ke rumahnya dan bekas isteri di kawasan Hougang.

Mohd Razif menyarankan supaya mereka melakukan ritual (upacara keagamaan) untuk mandi dan membaca doa.

Saksi itu berkata Razif kemudian mengajak mereka untuk hadiri kelas agama yang dijalankan di rumah salah seorang pengikutnya di Teck Whye.

Pengikut itu adalah seorang peniaga wanita.

Kelas-kelas itu menurutnya diadakan pada setiap hari Khamis selepas 7.30 malam dan mungkin berlanjutan sehingga selepas 11 malam.

Saksi keempat itu berkata, mereka yang hadir diberikan nota yang disiapkan oleh salah seorang pengikut wanita.

Dia percaya, bahan berkaitan agama itu disiapkan atas arahan Mohd Razif.

KEGIATAN AGAMA DIADAKAN DI BEBERAPA TEMPAT

Saksi itu berkata dia dan isteri juga menyertai kegiatan agama yang diadakan di tempat lain.

Menurutnya, kelas-kelas pada hari Khamis biasanya dijadualkan selepas waktu Maghrib manakala kegiatan agama biasanya diadakan pada hari Sabtu.

Apabila ditanya apakah kegiatan-kegiatan yang dilakukan, dia berkata mereka “memberi burung makan" di sekitar Makam Habib Noh, belajar agama di beberapa tempat termasuk di Masjid Temenggong dan di tepi pantai.

Encik Hidayat kemudian bertanya sama ada dia pernah melihat sebarang kejadian luar biasa di sesi-sesi itu.

Dia berkata para pengikut kumpulan itu memberitahunya Mohd Razif mempunyai “kuasa luar biasa” dan “boleh mengarahkan sesuatu terjadi.”

Saksi itu kemudian mendakwa telah menyaksikan sendiri bagaimana Mohd Razif telah mengarahkan kejadian sengkayan atas permukaan laut.

“Saya melihat kejadian sengkayan itu dengan mata saya sendiri, ia sesuatu yang mengagumkan. Saya sudah pasti bahawa Mohd Razif adalah seorang yang benar-benar percaya pada apa yang dia katakan. Saya anggapnya sebagai seseorang yang mempunyai kekuatan rohani dan saya menghormatinya," katanya.

DIPERKENALKAN KEPADA 'MBAH'

Saksi itu berkata Mohd Razif kemudian memperkenalkan 'satu makhluk spiritual' yang dikenali sebagai 'Mbah'.

Katanya Mohd Razif mengaku dirinya sebagai Nabi dan boleh menyeru roh 'Mbah' yang dikatakan merupakan Nabi terakhir atau keturunannya.

Menurutnya, 'Mbah' berbicara dalam bahasa Indonesia dan mereka boleh mengajukan soalan tentang agama.

Saksi itu juga mendakwa kumpulan itu akan mengumpul wang untuk membeli tiket-tiket judi 4D dan Toto.

Bekas isterinya diminta untuk membelikannya kerana dia tidak berhijab pada masa itu.

Tambahnya lagi, 'Mbah' itu memberi mereka izin untuk berjudi.

SAKSIKAN PERNIKAHAN BATIN

Dia juga ditanya tentang pernikahan batin antara Mohd Razif dengan salah seorang peniaga wanita.

Saksi itu mendakwa bahawa Mohd Razif telah memberitahunya bahawa dia memerlukan 13 orang isteri dan mencadangkan untuk melakukan pernikahan batin.

Menurutnya, Mohd Razif berkata ia akan dihalalkan kerana 'malaikat dan Mbah' akan hadir sebagai saksi.

Saksi itu berkata, Mohd Razif kemudian melamar peniaga wanita itu untuk menjadi isteri yang dia nikahi secara batin.

Dia, isteri dan Razif telah pergi ke kedai peniaga wanita itu di Joo Chiat.

Upacara pernikahan batin itu dakwanya berlangsung di dalam sebuah bilik kecil di bahagian belakang kedai itu.

Walau bagaimanapun peguam bela Simon Tan berkata dakwaan itu disangkal wanita terbabit sewaktu memberi keterangannya semalam.

Dia berkata wanita itu berhenti menghadiri kelas-kelas kendalian Mohd Razif itu tidak lama kemudian.

Walau bagaimanapun, isterinya terus menghadiri kelas-kelas tersebut dan hubungan mereka semakin renggang sehingga mereka akhirnya bercerai.

MENGAKU WALI

Saksi kelima yang memberi keterangan petang tadi berkata dia menghadiri kelas Mohd Razif bersama isterinya sebanyak dua hingga tiga kali pada 2008.

Dia memberitahu mahkamah mereka berhenti berbuat demikian setelah mendapati ajaran tertuduh melanggar syiar Islam.

Mohd Razif antara lain menurut saksi kelima itu, mengaku dirinya sebagai wali Sheikh Abdul Qadir Jilani, seorang pendakwah sufi mazhab Hanbali berketurunan Parsi.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita