Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Ku Pohon Restu Ayah Bonda' ciptaan guru ngaji Al Jawaher terus bertahan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Irama yang mudah diingat dan senikata yang mendalam antara faktor yang menjadikan lagu-lagu-lagu raya nostalgia masih terus diminati.

Antara lagu raya malar segar yang masih diminati hingga ke hari ini adalah lagu 'Ku Pohon Restu Ayah Bonda' dendangan kumpulan nasyid Al Jawaher.

Ketika merakamkan lagu tersebut, anggota kumpulan nasyid legenda itu baru berusia antara 16 dengan 20 tahun.

Para anggota kumpulan itu sekarang terdiri daripada Norhaiyati Yusop, Siti Rusminah Ja’afar, Hajar Mohamed, Habibah Othman, Jumuyah Kasbari, Latifah Johari dan Normala Mohd.

Pada asalnya dicipta tanpa iringan muzik, lagu 'Ku Pohon Restu Ayah Bonda' adalah hasil karya guru ngaji mereka sendiri yang cuba dihayati dengan sebaik-baiknya.

"Lagu ini mungkin ada sentuhan mendalam untuk ustaz sebab setiap kali bila kami nyanyi lagu 'Ku Pohon Restu Ayah dan Bonda', beliau akan merasa begitu sedih sekali. Rupanya lagu itu lebih ditujukan kepada ibu dan ayahnya sendiri. Bila kami sampaikan baru kami tahu betapa pentingnya lagu ini untuk dia dan bila kami dapat menyanyi dengan apa yang dia kehendaki, inilah hasilnya, diminati sampai sekarang," kata Norhaiyati Yusop, ketua kumpulan Al Jawaher.

Selain senikata yang mendalam dan bermakna, irama yang mudah diingat antara sebab lagu itu terus bertahan hingga ke hari ini.

"Lagu itu memang dapat dijiwai terutama sekali pada mereka yang di perantauan dan juga pada mereka yang tidak mempunyai ibu dan bapa," kata Siti Rusminah Ja'afar

DUA LAGU BARU DALAM BAHASA ARAB & INGGERIS

Masih aktif hingga ke hari ini, Al Jawaher terus menerima undangan untuk mendendangkan lagu tersebut pada musim raya.

44 tahun selepas kumpulan itu dibentuk, tarikan kumpulan pelopor nasyid tempatan Al Jawaher belum lagi pudar.

Mereka juga sering membuat persembahan di negara-negara serantau.

Tahun ini kumpulan itu sudah menghasilkan dua lagu baru , 'Sejadah' dan 'Bring Me Close To You'.

'Bring Me Close To You adalah lagu pertama mereka dalam bahasa Inggeris dan Arab.

Sesuai dengan peredaran masa, kumpulan ini percaya lagu-lagu raya baru mempunyai tarikannya tersendiri.

"Nadanya menarik ramai anak-anak muda cuma satunya saya harap kalau mereka boleh campurkan alat-alat muzik Melayu seperti rebana, seruling, mungkin kompang, saya fikir itu lebih baik ada kemelayuannya," tambah Siti Rusminah.

Ciri kemelayuan pada banyak lagu raya nostalgia itulah yang mungkin juga menjadikan ia tidak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan