Skip to main content

Singapura

KTV tidak berlesen diserbu; 62 disiasat berikutan operasi polis

Anggaran Waktu Membaca:
KTV tidak berlesen diserbu; 62 disiasat berikutan operasi polis

KTV tidak berlesen di unit sepanjang Balestier Road (Gambar: SPF)

SINGAPURA: Dua kedai "berkonsepkan KTV" didapati beroperasi tanpa lesen dalam satu operasi bersama yang diketuai polis.

Polis menjalankan operasi dari 20 hingga 29 Jan dan memeriksa sebanyak 13 pusat hiburan awam. Tujuh didapati melanggar pelbagai peraturan.

Seramai 62 lelaki dan wanita berusia 25 hingga 66 tahun turut disiasat bagi pelbagai kesalahan, menurut polis dalam satu kenyataan pada Isnin (31 Jan).

PREMIS BERKONSEP KTV

Dua tempat "berkonsepkan KTV" dikesan di sebuah unit komersil di Balestier Road.

Seramai 12 lelaki dan lima wanita berusia antara 27 dengan 66 tahun didakwa menyanyi karaoke dan minum arak di dalam unit berkenaan.

Dua lelaki berusia 34 dan 39 tahun dikenal pasti sebagai pengendali dua cawangan itu dan ditahan di bawah Akta Hiburan Awam dan Akta Kawalan Arak.

Empat lagi wanita berusia 29 hingga 38 tahun ditangkap di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing, kata polis.

Pengendali tersebut dan 15 orang yang menjadi pelanggan di unit itu akan disiasat kerana melanggar langkah-langkah pengurusan selamat(SMM).

Tempat perjudian haram di sepanjang Upper Thomson Road. (Gambar: SPF)

Sembilan lelaki berusia antara 24 dengan 47 tahun didakwa berjudi di sebuah unit rumah kedai di Upper Thomson Road.

Seorang lelaki berusia 30 tahun pula akan disiasat kerana mengendalikan dan menguruskan tempat perjudian haram, kata polis.

Kesemua 9 lelaki itu ditahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka dan akan disiasat kerana melanggar SMM.

Seorang lelaki berusia 28 tahun turut ditahan kerana didakwa terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.

Polis menasihatkan orang ramai supaya menjauhi aktiviti kongsi gelap dan segera melaporkan mereka yang terlibat dalam kegiatan haram itu.

Sebuah restoran di Mohamed Sultan Road juga didakwa membenarkan minuman keras dijual dan diminum selepas jam 10.30 malam, kata polis.

Siasatan terhadap kedai itu sedang dijalankan.

Polis berkata ia akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah.

"Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memastikan masyarakat kita selamat sepanjang tempoh perayaan ini".

“Mereka yang didapati melakukan kegiatan haram akan dikenakan tindakan tegas, mengikut undang-undang,” tambah polis.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita