Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kritikan terhadap makanan SIA didorong jangkaan tidak dipenuhi bagi jenama 'bertaraf dunia'

Anggaran Waktu Membaca:
Kritikan terhadap makanan SIA didorong jangkaan tidak dipenuhi bagi jenama 'bertaraf dunia'

Hidangan kelas ekonomi bagi SIA. (Gambar: Reddit/throwawayaway539, CNA reader)

SINGAPURA: Syarikat penerbangan, secara umumnya, tidak dikenali dengan hidangan yang begitu menyelerakan - namun makanan yang disediakan Singapore Airlines (SIA) kian dikritik sejak penerbangan disambung semula selepas musim pandemik.

Sejak beberapa bulan lalu, warga net banyak mengkritik hidangan yang disajikan bagi kelas ekonomi, dengan percubaaan menggunakan bekas makanan kertas pada bulan Mac mencetuskan perbincangan mengenai cara makanan SIA dihidangkan.

Kemudian pada bulan April, timbul pula perbincangan di forum online Reddit yang "menurunkan taraf" mutu makanan bagi kelas ekonomi SIA.

Di tengah-tengah jumlah aduan yang kian meningkat, SIA melaporkan keuntungan tahunan pecah rekod sebanyak S$2.16 bilion awal bulan ini - yang dilihat hanya memburukkan keadaan dalam kalangan warga net.
Reaksi media sosial terhadap berita itu menyerlahkan jurang yang dilihat antara keuntungan syarikat penerbangan itu dengan piawai makanan, dengan sebilangan warga net menggesa bagi "hidangan bermutu yang lebih baik dengan bungkusan makanan lebih bermutu tinggi" dan "semua faedah lain sebelum pandemik".

Namun keadaan dijangka berubah, sedang penumpang SIA bakal melihat beberapa aspek pengalaman makan di dalam pesawat dikembalikan.

PEMBUKA SELERA BAKAL DIKEMBALIKAN

Jurucakap SIA memberitahu Mediacorp pada Rabu (24 Mei) pihaknya sudah memperkenalkan semula beberapa barangan yang ditiadakan daripada dulang hidangan semasa pandemik atas sebab-sebab rantaian bekalan, serta bagi mengurangkan sisa makanan. Ini termasuk keju dan biskut, serta mufin bagi sarapan.

Lebih banyak perubahan akan dibuat.

Mulai 1 Jun, semua hidangan kelas ekonomi bagi penerbangan jarak sederhana dan jauh - atau sebarang penerbangan melebihi tiga setengah jam - akan diberikan pembuka selera. Ini selain roti gulung, hidangan utama, keju dan biskut, serta pencuci mulut.

SIA juga akan mengembalikan roti gulung dan mentega bagi hidangan kelas ekonomi bagi penerbangan jarak dekat antara satu setengah jam dengan tiga setengah jam. Ini akan disediakan bersama hidangan utama dan pencuci mulut.

Sebagai membalas kritikan yang mempunyai tanggapan bahawa piawai makanan kian merosot disebabkan langkah pengurangan kos, syarikat penerbangan itu menjelaskan ia tidak mengurangkan peruntukannya.

Jurucakap itu berkata peruntukan sedia ada bagi hidangan dalam pesawat adalah sekitar 20 peratus lebih tinggi berbanding tahun kewangan 2019/2020, meskipun syarikat penerbangan itu menjangkakan muatan lebih rendah tahun tersebut.

Sungguhpun demikian, punca kritikan adalah disebabkan jangkaan yang tidak dipenuhi, menurut penumpang yang kerap menaiki SIA.

PENJENAMAAN "BERTARAF DUNIA" TETAPKAN JANGKAAN PELANGGAN

Sebagai permulaan, penjenamaan premium SIA boleh memberi manfaat mahupun menjejas reputasinya, kata Encik Aaron Wong, pengasas The Milelion, sumber online bagi jarak batu dan mata perjalanan yang berpangkalan di Singapura.
Penulis blog makanan dan perjalanan Laurence Foo, yang pernah membuat reviu bagi hidangan makanan SIA, pula menarik perhatian bahawa dengan "latar belakang lebih luas bagi inflasi yang melibatkan pengurangan saiz dan kos yang meningkat", keuntungan syarikat penerbangan itu dan piawai makanannya "adalah sesuatu yang terus menjejas pengguna biasa".

"Isu utamanya adalah SIA menetapkan harga premium berbanding kebanyakan syarikat penerbangan, dan sejumlah besar orang bersedia membayarnya kerana ia dilihat sebagai anda dapat apa yang anda bayar - khidmat dan nilai yang baik," kata beliau.

Memberi sentimen serupa tentang jangkaan yang tidak dipenuhi, Encik Fairuz Sallim, yang mengasaskan blog tip mudah bagi perjalanan Suitesmile, mencadangkan "masalahnya" mungkin bukanlah makanannya.

Sebaliknya, tambang penerbangan yang dibayar penumpang yang menetapkan jangkaan mereka.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan