Skip to main content

Singapura

Kriteria lebih ketat bagi peruncit elektrik bagi lindungi pengguna daripada harga tidak menentu

Anggaran Waktu Membaca:
Kriteria lebih ketat bagi peruncit elektrik bagi lindungi pengguna daripada harga tidak menentu

(Gambar fail: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 25 Oct 2022 12:42PM Dikemas Kini : 25 Oct 2022 12:53PM
SINGAPURA: Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) akan mengetatkan peraturan kawal selia terhadap peruncit-peruncit elektrik bagi melindungi pengguna di tengah-tengah pasaran tenaga tidak menentu.

Ini selepas beberapa syarikat pembekal tenaga menghentikan operasi lewat tahun lalu.

Sesebuah syarikat hanya akan dibenarkan untuk memasuki pasaran tenaga runcit jika ia mempunyai kedudukan kewangan yang mantap dan pelan perniagaan yang mampu bertahan di tengah-tengah keadaan pasaran tidak menentu.

Demikian menurut kenyatan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Selasa (25 Okt).

MTI juga merancang untuk menetapkan syarat modal atau perlindungan nilai yang lebih tinggi bagi memastikan syarikat-syarikat pembekal mampu berdaya tahan terhadap naik turun pasaran.

MTI juga akan mensyaratkan langkah-langkah tambahan untuk melindungi pengguna sekiranya sesebuah syarikat pembekal menamatkan kontrak lebih awal.

Dalam ucaptamanya semasa Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura pada Selasa, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata harga elektrik meningkat berlipat kali ganda tahun ini akibat gandingan beberapa faktor.

Ia disebabkan oleh kekangan bahan bakar fosil yang diburukkan lagi dengan peperangan di Ukraine, gangguan besar pada sumber tenaga boleh diperbaharui serta lonjakan harga minyak dan gas sejagat.

Dengan Singapura mengimport hampir semua bekalan tenaganya, pasaran elektriknya berdepan cabaran besar apabila harga bahan api melonjak, kata Encik Gan.

Pada separuh kedua tahun lalu, sekurang-kurangnya lima peruncit elektrik menghentikan operasi dalam beberapa minggu, disebabkan kenaikan harga elektrik borong dan keadaan pasaran yang tidak menentu.

Ia mendorong EMA untuk mengambil langkah "luar biasa" pada Oktober untuk melindungi bekalan tenaga, termasuk menyediakan kemudahan bahan api untuk syarikat penjanaan kuasa (gencos) mendaptkan tenaga elektrik jika perlu.

Pihak berkuasa juga telah mengarahkan syarikat-syarikat itu agar mendapatkan bahan api yang mencukupi untuk menjana elektrik berdasarkan kapasiti penjanaan yang ada. Langkah-langkah itu akan dilaksanakan sehingga akhir Mac 2023.

Walaupun langkah kecemasan tersebut membantu menstabilkan pasaran, Encik Gan menekankan peri perlunya untuk mengukuhkan struktur pasaran tenaga Singapura.

Beliau menambah bahawa EMA juga meneroka perlunya mengetatkan kriteria kelayakan untuk pelan harga elektrik borong, supaya hanya pengguna yang mampu menangani risiko turun naik harga akan dibenarkan membeli pelan tersebut.

“Semua pengguna masih boleh membuat kontrak runcit, manakala pengguna yang layak bagi tarif terkawal masih boleh terus berbuat demikian,” katanya.
Sumber : CNA/ZM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita