Skip to main content

Singapura

Krisis Ukraine: S'pura tidak berdiri di atas pagar tapi pegang teguh kepada prinsip - Dr Maliki

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura tidak mengambil pendekatan berkecuali atau 'neutral' terhadap konflik Rusia-Ukraine, tetapi berpegang teguh kepada "prinsip" yang menghormati dan menegakkan kedaulatan negara merdeka.

Menteri Kedua Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman berkata, memang ada kesan ekonomi dan ada harga yang perlu dibayar untuk kebebasan.

"Jadi rakyat Singapura harus faham implikasi ini adalah untuk kebebasan diri kita sendiri, untuk berpegang kepada prinsip yang penting sebagai anggota dunia, negara yang berdaulat, negara yang merdeka.

"Konsep MFA adalah memastikan kepentingan kita diutamakan. Apa yang kita lakukan adalah untuk kepentingan Singapura dan rakyat Singapura," tambahnya.

Dr Maliki menegaskan demikian dalam satu wawancara susulan dengan media Melayu tempatan pada Isnin (7 Mac),semasa diminta mengulas lebih lanjut tentang hala tuju kementeriannya seperti yang dibentang di Parlimen minggu lalu.

KEPUTUSAN PENTING UNTUK SINGAPURA SENDIRI

"Kita berpegang prinsip bukan neutral. Ada yang mengatakan kita (mengambil pendekatan) begitu berkecuali, berdiri di atas pagar. Tidak," tegasnya.

"Kita memilih berpegang kepada prinsip kedaulatan, prinsip kemerdekaan. Setiap langkah yang kita ambil, bukan kita neutral tapi kita mengambil keputusan yang penting untuk diri kita sendiri."

Dr Maliki berkata demikian sedang Rusia menyenaraikan Singapura sebagai antara "negara tidak mesra" terhadap Mosko pada Isnin (7 Mac). Negara-negara lain dalam senarai itu termasuklah Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan. Ekoran dekri Presiden Rusia itu, semua perjanjian korporat dengan syarikat dan individu dari sini perlu diluluskan oleh suruhanjaya Rusia, menurut satu ketetapan pemerintahnya.

Minggu lalu, Singapura mula mengenakan sekatan ke atas Rusia seperti menyekat eksport barangan yang boleh digunakannya sebagai senjata untuk menyerang Ukraine. Beberapa bank Rusia dan urus niaga yang terkait dengan negara itu turut disekat.

"APA YANG MUNGKIN BERLAKU KEPADA KITA"

Pada dasarnya, jelas Dr Maliki, langkah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dilakukan kerana Rusia seolah-olah ingin menunjukkan 'might is right' (yang berkuasa boleh bertindak sewenang-wenangnya).

"Ini sesuatu yang tidak boleh kita terima kerana jika ini berlaku dan diterima - tidak dibantah oleh semua anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - kita akan melihat dunia yang tidak mempunyai undang-undang," kata beliau.

"Negara seperti Singapura merupakan negara yang kecil. Jika ‘might is right’, cuba kita bayangkan apa yang mungkin akan berlaku kepada kita."

Bertitik tolak daripada ini, Dr Maliki menekankan bahawa konflik antara Rusia dengan Ukraine juga satu peringatan tentang betapa pentingnya Singapura mempunyai pertahanan negara yang mantap.

"Untuk Singapura, apa yang harus dan dapat kita pelajari, pertama ialah kita harus mempunyai keupayaan untuk mempertahankan diri kita sendiri. Bukan pertahanan tentera sahaja tetapi pertahanan mutlak psikologi, sosial... bagaimana kita bersatu memahami aspek ini. Kesannya akan lebih ketara selepas kita lihat apa yang berlaku, misalnya dari segi ekonomi," ulas beliau lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita