Skip to main content

Singapura

Krisis kemanusiaan Gaza: SG gesa Israel & Palestin tonjolkan kepemimpinan

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Wakil tetap Singapura di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Burhan Gafoor, pada Jumaat (15 Dis) menyampaikan kenyataan negara dalam Sesi Tergempar PBB berhubung krisis kemanusiaan di Gaza.

Beliau menyuarakan gesaan Singapura agar kedua-dua pemimpin Israel dan Palestin menonjolkan kepemimpinan, menahan diri dan mengorak langkah ke arah huraian dua negara.

"Singapura masih berpandangan satu-satunya jalan keluar yang berkekalan, adil dan menyeluruh kepada krisis ini adalah huraian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan," tegas Encik Burhan.

"Kami menyokong hak rakyat Israel dan Palestin untuk tinggal dalam sempadan yang tidak dipertikaikan. Kedua-dua rakyat Palestin dan Israel berhak hidup secara aman, damai dan bermaruah."

Encik Burhan turut menyuarakan rasa kecewa Singapura terhadap kegagalan Majlis Keselamatan untuk melaksanakan draf resolusi kemanusiaan yang dikemukakan Amiriah Arab Bersatu (UAE), dan juga disokong Singapura, pada minggu lalu.

"Kita bertemu hari ini kerana keadaan kemanusiaan di Gaza jelas semakin memburuk dengan lebih 18,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza dan sehingga 1.9 juta orang, iaitu sekitar 85 peratus penduduk Gaza, dilaporkan hilang tempat tinggal," ujarnya.

Keadaan ini, tambah Encik Burhan, memerlukan gencatan senjata segera dilakukan agar "bantuan kemanusiaan tidak terhambat dan dapat segera dihulurkan kepada orang awam di merata Gaza".

"Pemerintah Singapura dan Palang Merah Singapura akan terus bekerjasama dengan Pemerintah Mesir dan Bulan Sabit Merah Mesir untuk menyediakan bekalan kemanusiaan ke Gaza. Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kami untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan ini," kata Encik Burhan lagi.

<<BACA: SG gesa perang di Gaza segera dihentikan>>

Selain itu, Singapura tetap berpegang pada pendiriannya menyokong resolusi yang menetapkan bahawa semua pihak harus mematuhi kewajipan masing-masing di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Kami akur Israel berhak mempertahankan rakyat dan wilayahnya. Namun dalam memperjuangkan hak ini, Israel harus mematuhi sepenuhnya dengan undang-undang antarabangsa," tekan Encik Burhan.

"Ini bermakna bertindak sewajarnya, ini bermakna mengelak daripada pembunuhan orang awam secara sewenang-wenangnya, dan ini bermakna mengelak hukuman kolektif atau pemindahan orang awam secara beramai-ramai dan berkekalan," tambah beliau.

Pun begitu, Singapura tetap mengutuk serangan yang dilakukan Hamas pada 7 Oktober dan kesal resolusi yang dikemukakan pada 12 Disember tidak mengecam atau membuat sebarang rujukan kepada tindakan Hamas, kata Encik Burhan.

Rakyat Palestin pada Selasa (12 Dis) mendapat sokongan padu dalam resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera di Gaza untuk menamatkan perang Israel-Hamas, yang kini memasuki bulan ketiga.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita