Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kripto berisiko tinggi, namun ada potensi ubah masa depan kewangan, kata DPM Heng

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Aset mata wang kripto merupakan "ruang yang berisiko tinggi", namun ia juga berpotensi untuk mengubah masa depan kewangan, kata Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat hari ini (31 Mei).

"Kita mesti terus menyesuaikan peraturan kita untuk memastikan ia kekal memudahkan inovasi. Namun, masih menangani risiko-risiko utama yang ditimbulkan oleh aset kripto," kata Encik Heng, semasa berucap di Sidang Puncak Asia Tech x Singapore 2022.

Beliau menekankan bahawa Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sudah berulang kali memberi amaran kepada orang ramai berhubung perdagangan mata wang kripto di tengah-tengah langkah untuk mengehadkan penggalakan mata wang kripto kepada orang awam pada awal tahun 2022.

Sungguhpun demikian, Encik Heng berkata ekosistem aset digital merangkumi rangkaian perkhidmatan melebihi perdagangan mata wang kripto. 

Beliau menambah bahawa Singapura masih berminat untuk bekerjasama dengan para pemain teknologi 'blockchain' (blok rantai) dan aset digital untuk menggalak inovasi dan membina kepercayaan dalam sektor tersebut. 

INISIATIF BARU

MAS sudah memberikan lesen dan kelulusan secara prinsip dalam dua tahun yang lalu kepada 11 penyedia khidmat token pembayaran digital seperti Paxos, Coinhako dan institusi kewangan tradisional seperti DBS Vickers.

Singapura juga akan teruskan menilai permohonan dan memudahkan eksperimen secara langsung melalui 'sandbox' atau medan ujian yang dikawal selia untuk memastikan penggunaan selamat dalam sektor kewangan, kata Encik Heng.

Pihak bekuasa kewangan juga sudah bekerjasama dengan industri dalam beberapa inisiatif aset digital, kata Encik Heng, yang melancarkan Projek Guardian di sidang puncak tersebut hari ini (31 Mei). 

Beliau turut mengumumkan dua program baru di bawah Program Kejuruteraan Kuantum (QEP).

QEP adalah sebuah inisiatif kebangsaan yang dilancarkan pada 2018 dengan tujuan untuk membangunkan peralatan dan teknologi yang mampu menghuraikan masalah-masalah nyata di dunia.

Menurut Encik Heng, pelaburan dalam kuantum komputer dan kejuruteraan adalah sebahagian daripada pendekatan Singapura untuk cuba menjangka masa depan dan secara proaktif membentuk masa depan yang diinginkan untuk Singapura. 

Program pertama adalah National Quantum Computing Hub dan program kedua adalah National Quantum Fabless Foundry. 

"Semakin besar potensi ruang siber, semakin besar risiko siber. Penjenayah siber akan mencari keuntungan melalui pelbagai cara," kata Encik Heng.

"Untuk mengatasi masalah ini, kita tidak hanya harus kekal waspada terhadap ancaman siber, sebaliknya kita juga harus kekal prihatin dan berada jauh di hadapan, tambah beliau. 

"Dengan cara ini, kita boleh meletakkan jarak yang lebih jauh antara bahagian kritikal ruang digital dan ancaman siber."

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan