Skip to main content

Singapura

Kredit S$100 NS55 akan diagih kepada semua NSmen mulai 1 Jul

Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) dahulu dan sekarang yang layak akan menerima kredit digital bernilai S$100 mulai Jumaat (1 Jul), dengan kredit itu diagihkan secara bertahap-tahap.

Anggaran Waktu Membaca:
Kredit S$100 NS55 akan diagih kepada semua NSmen mulai 1 Jul

Anggota perkhidmatan negara akan mendapat tawaran istimewa di kelab-kelab masyarakat (CC), tempat-tempat kegiatan air (WV) dan pusat-pusat penjaja terpilih. (Gambar: MINDEF)

SINGAPURA: Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) dahulu dan sekarang yang layak akan menerima kredit digital bernilai S$100 mulai Jumaat (1 Jul), dengan kredit itu diagihkan secara bertahap-tahap.

Pertama kali diumumkan pada bulan Mac, kredit digital itu adalah bagi mengucapkan terima kasih kepada para NSmen atas sumbangan mereka kepada pertahanan dan keselamatan Singapura sedang negara ini meraikan ulang tahun NS yang ke-55.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebelum ini menjelaskan bahawa para anggota kerahan akan layak bagi pakej tersebut berdasarkan status NS mereka setakat sehingga Mei tahun ini. Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) yang mendaftar diri sebelum 31 Dis 2022 juga layak bagi kredit itu.

Kredit itu, yang boleh digunakan dalam tempoh setahun, akan dihulurkan secara digital bagi memudahkan mereka dari 1 hingga 31 Julai. Bagaimanapun, salinan fizikal baucar tersebut boleh diberikan kepada mereka yang sudah "berikhtiar sedaya upaya" namun masih tidak dapat mengakses atau menebus kredit itu melalui aplikasi LifeSG, menurut MINDEF dalam kenyataan medianya pada Khamis (30 Jun).

Para anggota NSmen boleh menghubungi Pusat Panggilan NS55 (1800-723-6755 atau contactus [at] ns55.com.sg) untuk memohon salinan baucar berkenaan.

Sebaik sahaja kredit itu sudah diberikan kepada mereka, para anggota NSmen akan dimaklumkan melalui SMS menerusi nombor telefon bimbit yang didaftarkan.

Selepas itu, mereka boleh mengakses aplikasi LifeSG bagi menebus kredit itu di mana-mana kedai fizikal atau online yang menerima bayaran melalui Scan dan Pay melalui QR UEN PayNow atau QR NETS.

Ini termasuk kedai-kedai kejiranan, para penjaja dan platform e-dagang. Para anggota NSmen juga boleh memilih untuk membuat bayaran kepada agensi-agensi pemerintah dan institusi-institusi pendidikan atau menderma kredit mereka kepada pertubuhan amal secara online.

Hampir 90 kedai juga akan menawarkan potongan harga tambahan dan promosi apabila mereka menebus kredit tersebut dan menunjukkan aplikasi LifeSg di kedai-kedai mereka. Ini termasuk pelbagai kedai dari bermacam-macam sektor seperti makanan dan minuman (F&B), sukan dan kecergasan, hotel dan runcit, menurut MINDEF.

Pakej Pengiktirafan NS55 juga merangkumi keanggotaan percuma SAFRA atau HomeTeamNS selama setahun.

Mereka yang layak akan menerima surat pemberitahuan dari MINDEF atau Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di alamat berdaftar mereka bermula pertengahan bulan Jun.

Mereka boleh mendaftar bagi keanggotaan online menggunakan kod QR atau pautan yang disediakan dalam surat itu dari 1 Julai sehingga 31 Disember tahun ini.

Permohonan akan diproses SAFRA atau HomeTeamNS dalam masa enam hingga lapan minggu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita