Skip to main content

Singapura

Kredit Pas Budaya SG boleh diguna bagi lagi 1,100 buku sastera tempatan, 6 kedai buku

Anggaran Waktu Membaca:
Kredit Pas Budaya SG boleh diguna bagi lagi 1,100 buku sastera tempatan, 6 kedai buku

Rakyat Singapura yang ingin menggunakan kredit Pas Budaya SG mereka untuk membeli buku tempatan kini mempunyai lebih banyak pilihan dengan penambahan lebih 1,100 buku dan enam kedai buku baharu ke dalam skim tersebut. (kiri: Littered With Books, kanan: The Zall Bookstore). (Gambar: Pas Budaya SG)

SINGAPURA: Rakyat Singapura yang ingin menggunakan kredit Pas Budaya SG mereka untuk membeli buku tempatan kini mempunyai lebih banyak pilihan dengan penambahan lebih 1,100 buku dan enam kedai buku baharu ke dalam skim tersebut.

Diumumkan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), peluasan itu kini merangkumi enam kedai yang baru disertakan: Basheer Graphic Books dan Book Point Pte Ltd di Kompleks Bras Basah, serta Littered With Books, Nurul Anwar Bookstore, TCZ Studio dan The Zall Bookstore.

Buku-buku yang layak itu, boleh dikenal pasti melalui pelekat rasmi Pas Budaya SG pada kulitnya.
Karya sastera tempatan mula disertakan di bawah Pas Budaya SG pada Mac 2026. Judul yang layak merangkumi fiksyen – termasuk komik dan novel grafik – puisi, drama dan esei pendek sastera dalam Bahasa Inggeris, Cina, Melayu dan Tamil, yang ditulis oleh rakyat dan penduduk tetap Singapura ketika diterbitkan.

Selain kedai buku, kredit itu juga boleh digunakan di acara sastera yang akan datang – daripada acara sementara (pop-up) hingga pesta buku dan sastera.

Bagi kanak-kanak, pesta buku Pesta Kandungan Kanak-Kanak Asia (AFCC) akan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei, manakala Pesta Buku Kanak-Kanak Singapura akan diadakan dari 19 hingga 21 Jun.

Pesta Buku Dan Permainan – atau BAGFest 2026 – yang diadakan buat julung-julung kalinya untuk menyatukan masyarakat sastera tempatan dan permainan papan akan diadakan pada 27 dan 28 Jun.

Acara sementara (pop-up) perpustakaan juga dirancang diadakan di perpustakaan Punggol, Tampines dan Bishan dari Julai hingga Oktober.

Para penulis yang berminat untuk menyertai skim tersebut, boleh berbuat demikian menerusi penerbit atau pengedar masing-masing

Para penerbit, pengedar dan kedai buku boleh memohon di laman Pas Budaya SG.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita