Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kotak kitar semula percuma boleh diambil semua isi rumah mulai Mac 2023

Anggaran Waktu Membaca:
01:37 Min
Setiap isi rumah di Singapura akan boleh mengambil satu kotak kitar semula mulai Mac 2023.
Diterbitkan : 26 Nov 2022 01:09PM Dikemas Kini : 27 Nov 2022 12:09AM

SINGAPURA: Setiap isi rumah di Singapura akan boleh mengambil satu kotak kitar semula mulai Mac 2023.

Kotak yang dipanggil Bloobox itu juga boleh dilipat, dibasuh dan digunakan semula, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Sabtu (26 Nov).

Di bawah satu fasa perintis, penduduk di lima kawasan undi boleh mengambil kotak mereka lebih awal.

Keluarga di kawasan Fengshan, Sembawang West, Tampines North, Yio Chu Kang dan Yuhua boleh berbuat demikian dari 26 November hingga 23 Disember.

Mana-mana anggota isi rumah yang berdaftar di alamat kediaman mereka, yang merupakan warganegara atau penduduk jangka panjang boleh mengambil Bloobox bagi pihak isi rumah mereka, kata NEA.

Kotak itu boleh diambil dari mesin layan diri dengan mengimbas barkod pada kad pengenalan mereka (NRIC) atau kad FIN.

NEA menggalakkan orang ramai supaya menyemak terlebih dulu lokasi mesin layan diri yang terdekat dan jumlah stok, sebelum keluar untuk mengambil kotak itu.

Mereka boleh berbuat demikian secara online, melalui laman web BlooboxGoWhere. 

Lebih banyak butiran untuk bahagian lain Singapura akan diberikan menjelang Mac depan, kata NEA.

Kotak itu, yang direka dengan kerjasama sekumpulan pelajar dari Institut Teknologi Singapura, boleh memuatkan barang kitar semula sehingga 5 kilogram. Ini termasuk kertas, plastik, logam atau kaca yang boleh dikitar semula serta sisa elektronik.

“Bloobox mempunyai label untuk membantu isi rumah mengenal pasti apa yang boleh dan tidak boleh dikitar semula. Terdapat juga pembahagi kotak yang boleh ditanggalkan supaya isi rumah boleh membentuk ruang berasingan untuk barangan e-sisa kecil,” tambahnya.

“Apabila Bloobox itu penuh, barang yang dikitar semula boleh diletakkan sama ada dalam tong kitar semula berwarna biru atau pelongsor kitar semula. Barangan e-sisa seperti bal lampu dan bateri hendaklah diletakkan di dalam tong sisa elektronik.”

Kotak kitar semula itu bertujuan untuk menggalakkan tabiat kitar semula secara kerap di rumah, kata agensi itu, sambil menambah bahawa inisiatif tersebut pertama kali diumumkan pada Januari lalu di bawah kempen Kitar Semula.

Di bawah Pelan Induk Sifar Sisa dan Pelan Hijau Singapura 2030, matlamat negara ialah untuk mencapai kadar kitar semula keseluruhan sebanyak 70 peratus menjelang 2030.

Singapura juga mahu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah di Pulau Semakau sebanyak 20 peratus per kapita menjelang 2026, dan 30 peratus per kapita menjelang 2030.

“Melalui kitar semula, kita memajukan ekonomi menjadikan sampah sebagai sumber, dan juga mengalihkan sisa dari Tapak Pelupusan Semakau,” tambah NEA.

Sumber : CNA/LL/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa