Skip to main content

Singapura

Kota Impian: Modern Women julang kisah lima tokoh wanita Melayu

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 01 May 2026 05:22PM Dikemas Kini : 17 May 2026 01:15PM
SINGAPURA: Mengangkat kisah keberanian, ketabahan dan sumbangan wanita Melayu.

Itulah intipati pementasan Kota Impian: Modern Women yang menjadi antara sorotan sempena pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM).

Dipersembahkan dalam gaya intim dan menyentuh jiwa, pementasan itu menelusuri perjalanan hidup, cabaran serta sumbangan lima tokoh wanita yang membentuk identiti negara selepas Perang Dunia Kedua.

Mereka termasuk aktivis Melayu, Che Zahara, yang berjuang untuk hak wanita dan kanak-kanak, serta aktivis sosial, Haliza Mohd Som.

Selain itu, seniwati legenda seperti Saloma dan Siput Sarawak, serta tokoh penyiaran era 1950-an dan 1960-an, Zahrah Za'ba, turut ditonjolkan.
Related article image
Beberapa majalah 'Fesyen' dipamerkan di Galeri 4 TWM. Haliza Mohd Som merupakan editor wanita Melayu pertama bagi majalah ini. (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
"Tema ini diilhamkan oleh galeri dan pameran yang ditawarkan di Taman Warisan Melayu. Ia menampilkan sebahagian daripada perempuan yang ditampilkan dalam pameran yang ada di Taman Warisan Melayu sekarang ini," jelas penulis skrip, Nur Hikmah Ali.

Ditanya tentang pengajaran yang diharapkan para penonton dapat raih setelah menonton pementasan itu, Hikmah berkata, "Saya harap penonton dapat satu kesedaran bahawa khazanah budaya, warisan, dan sejarah kita sebenarnya sangat kaya. Kita tidak perlu melihat ke luar untuk mendapatkan inspirasi dari pelbagai sudut, dari segi fesyen, bahasa, dari segi kebajikan kepada masyarakat dan sebagainya."

"Kita sendiri mempunyai begitu ramai personaliti, individu-individu daripada masyarakat kita sendiri yang bukan sahaja boleh menjadi penyuluh untuk bagaimana kita hidup dalam kehidupan seharian kita tapi juga bagaimana kita ingin menghidupkan warisan budaya kita dan pegangan hidup kita," tambah beliau lagi.
SATU PELAKON, LIMA WATAK

Menariknya, meskipun pementasan teater muzik itu menampilkan kisah lima tokoh wanita, ia sebaliknya diperjuangkan oleh satu pelakon wanita sahaja, iaitu, Huda Ramdzan.
Related article image
Pelakon Huda Ramdzan diberikan cabaran memainkan kelima-lima watak seorang diri. (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Bagi Huda, ia bukan sahaja kali pertama beliau membawa lima watak dalam satu pementasan.

Bahkan, ia juga kali pertama beliau berkecimpung sepenuhnya dalam pementasan teater.

"Cabarannya ialah menjiwai dan kemudian harus tukar (watak) dalam sekelip mata antara lima (watak ini), dan kemudian saya kena hafal cara penghayatannya dari segi intonasi suara, gerak langkah, dan juga tempo emosi mereka yang berbeza-beza," luah Huda.

Selain berbincang dengan pengarah dan penolong pengarah, menurut Huda, beliau mengatasi cabaran itu dengan banyak melakukan penyelidikan tentang kelima-lima tokoh ini melalui video-video arkib.

"Macam Haliza Som, ada audio suara beliau bila beliau diwawancara dalam arkib yang kita ada simpan. Kemudian, kalau buat yang biasa kita kenal, Saloma dengan Siput Sarawak, saya harus belajar macam mana mimik muka dengan suara (mereka) melalui video-video yang ada kita boleh dapatkan di YouTube," tambahnya.

Mencari video-video itu sendiri antara pelbagai cabaran yang dihadapi pengarah Kota Impian, Hidayat Nordin.

"Selain daripada watak seperti Siput Sarawak dan Saloma yang senang kita cari menerusi arkib-arkib, watak-watak seperti Haliza Som, Che Zahara dan juga Zahrah Za'ba ini agar sukar untuk (kita) mencari contoh-contoh video ataupun audio yang ada," ujar beliau.
Related article image
Huda Ramdzan (kiri), Hidayat Nordin (tengah) dan Nur Hikmah Ali (kanan) sewaktu sesi raptai sebelum persembahan. (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Namun, mendapatkan video-video tersebut sahaja bukanlah penghabisan bagi cabaran-cabaran yang beliau lalui dalam usaha menceritakan semula kisah tokoh-tokoh wanita itu.

"Saya rasa cabaran yang lagi satu yang paling penting adalah 'memanusiakan' watak-watak ini. Sebab saya mahu ketengahkan watak-watak ini secara terpaling manusia yang mampu tanpa memperlekehkan mereka sebagai individu yang telah banyak menyumbang kepada industri-industri yang mereka ceburi," tambahnya lagi.

Kota Impian: Modern Women akan berlangsung sehingga Sabtu (2 Mei) di Auditorium TWM.

Semua tiket sudah habis dijual.

Pementasan itu diadakan sempena festival pembukaan semula TWM, Pesta Pecah Panggung - Transcending Boundaries , yang akan berakhir pada Ahad (3 Mei).
Sumber : BERITA Mediacorp/ak
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita