Kos tinggi buat majikan fikir dua kali bawa masuk pekerja M'sia di bawah PCA
Syarikat-syarikat kini boleh membuat permohonan untuk rakyat Malaysia memasuki Singapura di bawah urusan perjalanan khas antara kedua-dua negara.
SINGAPURA: Syarikat-syarikat kini boleh membuat permohonan untuk rakyat Malaysia memasuki Singapura di bawah urusan perjalanan khas antara kedua-dua negara.
Menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaaan (MTI), prosesnya berjalan lancar dan ia akan terus memastikan bahawa pembukaan semula sempadan mengimbangi kepentingan ekonomi dan kesihatan awam.
Meskipun, syarikat-syarikat kini ada pilihan membawa masuk semula pekerja mereka, masih ada yang memikirkannya lebih lanjut, dengan soal kos menjadi pertimbangan utama.
S$5,000 SETIAP BULAN BAGI SETIAP PEKERJA
Sebelum berlaku COVID-19 dan sebelum Malaysia menutup sempadannya, rakyat Malaysia yang bekerja di syarikat PestBusters berulang-alik setiap hari antara kedua-dua negara.
Kini untuk membawa mereka kembali ke sini di bawah peraturan perjalanan khas, syarikat itu menganggarkan ia perlu menanggung kos tambahan sehingga S$5,000 setiap bulan bagi setiap pekerjanya.
Di bawah Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang dipersetujui kedua-dua negara, pekerja Malaysia perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari dan menetap di sini sekurang-kurangnya 90 hari.
Syarikat tersebut kini menghadapi dilema.
Ia memerlukan lebih ramai pekerja untuk memenuhi permintaan yang meningkat bagi khidmat membasmi kuman dan kawalan serangga untuk membendung penularan kes denggi.
Namun, memandangkan ia melibatkan kos agak tinggi, PestBusters hanya bercadang membawa masuk 10 pekerja rakyat Malaysia berbanding sekitar 30 orang sebelum ini.
MAJIKAN SENDIRI SINGSING LENGAN DEK KOS TINGGI TENAGA KERJA
Masalah serupa juga dihadapi firma-firma lain yang mengambil pekerja Malaysia, termasuk yang masih mengekalkan pekerja mereka sebelum Malaysia menutup sempadannya.
MODCafe, misalnya, memberhentikan tiga pekerja Malaysia sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 apabila perniagaannya terganggu.
Sekiranya ia mahu mengambil semula pekerja dari Malaysia, kos tenaga kerjanya akan meningkat 10 peratus.
Buat masa ini pemiliknya beroperasi sendiri.
MODCafe dan Pestbusters berharap Pemerintah dapat membantu mereka dengan meniadakan levi bagi pekerja asing, seperti yang dilakukan ketika tempoh pemutus jangkitan COVID-19.
Pada masa ini pengecualian levi itu hanya diberikan kepada sektor-sektor binaan, limbungan kapal dan sektor pemprosesan.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.