Skip to main content

Singapura

Kos tambahan hingga S$24 dikenakan bagi pelatih memandu, menunggang bagi latihan simulator

Anda yang ingin mendapatkan lesen memandu kereta atau menunggang motosikal perlu membelanjakan tambahan sekurang-kurangnya S$20.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Dec 2019 08:02PM Dikemas Kini : 12 Dec 2019 10:20PM

SINGAPURA: Anda yang ingin mendapatkan lesen memandu kereta atau menunggang motosikal perlu membelanjakan tambahan sekurang-kurangnya S$20.

Ini setelah sistem latihan simulator yang baru diwajibkan untuk para pelatih sebelum mereka boleh menjalani pelajaran praktikal atau ujian menunggang.

Tidak kira siang atau malam, hujan mahupun panas, simulator tersebut dapat menyediakan para pelajar memandu dengan segala kemungkinan yang boleh berlaku di jalan raya.

Menurut polis, simulator itu dilengkapi dengan 10 senario teratas di Singapura yang boleh menyebabkan kecederaan.

Pada 2017, lebih 4,000 orang menjalani ujian menunggang atau memandu menggunakan simulator tersebut. Ia dijalankan selama tujuh bulan di tiga pusat memandu.

"Ketika mereka belajar, tak semua keadaan dapat diwujudkan tetapi dengan sistem simulator ini, ia dapat direalisasikan seperti keadaan hujan lebat, benda-benda yang jatuh di jalan raya dan bagaimana mereka bertindak," kata Encik Yussof Bari, Ketua Jurulatih Kanan di Pusat Memandu ComfortDelGro

"Jadi sekurang-kurangnya dengan program ini, apabila mereka memandu di jalan raya dan menempuh keadaan sama, mereka akan tahu bagaimana untuk bertindak demi keselamatan semua pengguna jalan raya," tambah beliau.

Pelatih perlu menyelesaikan sekurang-kurang lima kelas praktikal sebelum dibenarkan mengambil tiga modul di mesin simulator yang selama 15 minit setiap satu.

Kos juga berbeza bagi tiap-tiap pusat memandu iaitu antara S$21.55 hingga S$24.80.

"Kami harap latihan simulator ini akan menyediakan lagi pelatih untuk bertindak lebih baik sekiranya mereka menghadapi situasi yang berbahaya atau berisiko di jalan raya," kata Timbalan Superintenden Polis, Polis Trafik, Liew Mei Hui.

Menjalani latihan simulator tersebut adalah wajib bagi semua pelatih baru sekolah memandu yang berdaftar mulai 16 Disember 2019.  

Sumber : CNA/SY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita