Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kos sara hidup punca utama belia bergelut masalah mental

Anggaran Waktu Membaca:
01:38 Min
Walaupun kehidupan sudah kembali seperti biasa secara beransur-ansur di tengah-tengah pandemik COVID-19, tinjauan yang dijalankan oleh TODAY mendapati sesetengah anak muda masih bergelut dengan isu kesihatan mental. Bahkan, lebih sepertiga daripada mereka yang ditinjau mengakui bahawa mereka lebih mudah terjejas dari segi mental dalam tempoh tiga bulan lalu. 
Diterbitkan : 03 Nov 2022 12:37PM Dikemas Kini : 03 Nov 2022 09:45PM

SINGAPURA: Walaupun kehidupan sudah kembali seperti biasa secara beransur-ansur di tengah-tengah pandemik COVID-19, tinjauan yang dijalankan oleh TODAY mendapati sesetengah anak muda masih bergelut dengan isu kesihatan mental. Bahkan, lebih sepertiga daripada mereka yang ditinjau mengakui bahawa mereka lebih mudah terjejas dari segi mental dalam tempoh tiga bulan lalu. 

Meskipun keresahan berkaitan COVID-19 tidak lagi menjejas mereka dengan teruk, kos sara hidup di Singapura menjadi sumber keprihatinan utama bagi anak-anak muda yang mengakui mengalami masalah mental. 

Demikian antara dapatan daripada Tinjauan Belia TODAY 2022, sebuah tinjauan tahunan yang bertujuan untuk mendengarkan suara pendapat generasi milenial dan Gen Z mengenai isu-isu kemasyarakatan serta topik-topik harian yang dekat di hati mereka. 

Tinjauan itu pertama kali dijalankan tahun lalu untuk meliputi topik-topik perkauman, keagamaan, sikap terhadap LGBTQ, dinamik antara jantina, kesan COVID-19 terhadap kesejahteraan mental dan hubungan sosial serta kejayaan kerjaya dan kebendaan. 
 
Tinjauan kedua, yang dijalankan tahun ini, pula memberi tumpuan kepada kesihatan mental, inflasi dan kos sara hidup, perubahan iklim dan kemampanan, keseimbangan antara kerja dengan hidup, politik serta sikap terhadap isu-isu LGBTQ. 

Tinjauan yang melibatkan 1,000 responden berusia antara 18 hingga 35 tahun itu dijalankan antara 5 hingga 16 September 2022. 

Apabila ditanya, responden menyatakan lima punca utama mereka mengalami masalah kesihatan mental adalah seperti berikut: 
- Kos sara hidup (52 peratus)
- Kerja (49 peratus)
- Ibu bapa (27 peratus)
- Pasangan hidup (20 peratus)
- Sekolah (18 peratus)

Mengenai kos sara hidup pula, lima perbelanjaan utama yang menurut belia paling membimbangkan buat mereka adalah berkaitan dengan: 

- Barang dapur (55 peratus)
- Jagaan kesihatan (51 peratus)
- Makanan di pusat penjaja, kedai kopi dan restoran (47 peratus)
- Bil elektrik, api dan air (47 peratus)
- Perumahan dan kerja ubah elok rumah (41 peratus)

Inflasi teras Singapura naik kepada 5.3 peratus pada September, sebahagian besarnya dipacu oleh kenaikan harga makanan, perkhidmatan dan runcit serta barangan lain, menurut data rasmi pada 25 Oktober. 

Kadar itu lebih tinggi berbanding 5.1 peratus yang dicatatkan pada Ogos sedang perangkaan inflasi itu menghampiri paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun. 

Kali terakhir Singapura melaporkan pertumbuhan inflasi teras yang lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya adalah pada November 2008 apabila ia mencatatkan 5.5 peratus. 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Pemerintah sudah melancarkan pelbagai inisiatif untuk membantu warga Singapura menghadapi inflasi yang berterusan. Yang terkini adalah pakej bernilai S$1.5 bilion yang diumumkan bulan lalu, di mana sekitar 2.5 juta orang dewasa akan menerima wang tunai sehingga S$500, antara langkah lain.

Sekalipun dengan usaha Pemerintah itu, tinjauan tersebut mendapati kurang separuh daripada responden (47 peratus) berasa ia mencukupi untuk membantu mereka sepanjang tempoh inflasi yang semakin meningkat. 

Dalam kalangan baki peserta lain, hampir 25 peratus tidak bersetuju bahawa usaha tersebut membantu mereka, manakala 29 peratus pula bersikap tidak acuh. 

Secara keseluruhan, 75 peratus anak muda meletakkan inflasi dan pertumbuhan ekonomi sebagai keutamaan tertinggi untuk ditangani Pemerintah dalam tempoh tiga tahun mendatang.

Ini disusuli oleh: 

- Ketidaksamaan pendapatan  (55 peratus)
- Melindungi pekerjaan untuk para penduduk (53 peratus) 
- Perubahan iklim (48 peratus)
- Membantu golongan kurang bernasib baik (38 peratus)
- Kesepaduan sosial (30 peratus) 

Tinjauan tersebut juga mendapati bahawa 35 peratus responden mengaku mereka tidak sihat ataupun kurang sihat dari segi mental. 

Kebimbangan umum dalam kalangan belia itu berbeza daripada dapatan tinjauan tahun lalu, yang menunjukkan hampir 60 peratus anak muda optimis bahawa kehidupan akan menjadi lebih baik tahun ini. 

Sumber : Today/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan