Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kos sara hidup & peluang pekerjaan antara keprihatinan masyarakat Melayu/Islam: Kajian AMP S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Kos sara hidup & peluang pekerjaan antara keprihatinan masyarakat Melayu/Islam: Kajian AMP S'pura

(Gambar fail masyarakat Melayu di pasar raya)

SINGAPURA: Kos sara hidup dan kesan kemewahan yang semakin meningkat terhadap ikatan budaya dan kekeluargaan, serta peluang pekerjaan menjadi antara keprihatinan utama masyarakat Melayu/Islam. 

Ini meskipun masyarakat Melayu/Islam secara amnya puas hati dengan kemajuan ketara yang dikecapi masyarakat itu sejak sedekad lalu.

Dapatan tersebut hasil satu kajian yang dijalankan AMP Singapura terhadap lebih 970 anggota masyarakat, aktivis akar umbi dan cendekiawan masyarakat Islam dari Julai hingga Oktober 2020.

Kajian yang dijalankan dengan kerjasama agensi penyelidikan bebas, Blackbox Research Pte Ltd itu bertujuan mengkaji persepsi semasa keseluruhan masyarakat Melayu/Islam terhadap isu-isu masyarakat, pendidikan, ekonomi dan kepimpinan. 

Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin Rashid berkata: "Kami berharap dapatan kajian ini akan membuka ruang bagi perbincangan lanjut dalam kalangan masyarakat dan juga di peringkat nasional tentang bagaimana kami boleh membantu masyarakat dengan peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan sokongan pendidikan." 

KOS SARA HIDUP, KELUARGA DAN PEKERJAAN

Secara umumnya, 40 peratus responden mengatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan kadar kos sara hidup.

Dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang baik, 60 peratus daripadanya mengaitkannya dengan peningkatan kos sara hidup.

Dalam pada itu, lebih separuh (52 peratus) responden kajian tersebut menganggap kos sara hidup sebagai kepentingan utama bagi diri masing-masing. 

Bagi aspek keluarga pula, kajian itu mendapati hampir 90 peratus responden merasakan masyarakat masih mementingkan hubungan kekeluargaan.

Namun, kurang separuh (44 peratus) daripada pemuda-pemudi Islam yang menyertai kajian ini, kurang menitikberatkan nilai kekeluargaan. 

Ini membimbangkan para golongan aktivis dan pemimpin masyarakat kerana kepentingan ikatan kekeluargaan yang dilihat sebagai tunggak bagi perpaduan masyarakat kian terhakis.

Di dalam bidang pekerjaan pula, 74 peratus responden merasakan bahawa lebih banyak tumpuan perlu diberikan bagi memastikan masyarakat Melayu/Islam mencapai kejayaan dalam kerjaya masing-masing. 

Antara pendapat yang disuarakan para para responden untuk bentuk-bentuk bantuan termasuk panduan tentang kemahiran berkaitan pekerjaan atau peningkatan kemahiran, bantuan mencari pekerjaan, subsidi waktu menganggur dan peluang membina rangkaian kenalan.

Meskipun terdapat kerisauan mengenai bantuan yang diterima para pekerja Melayu/Islam, para responden tetap mempunyai pandangan yang positif terhadap kemajuan yang diraih golongan tersebut. 

Lebih separuh responden misalnya berpendapat bahawa para pekerja Islam menerima peluang pekerjaan dan prospek kerjaya yang sama seperti rakyat Singapura yang lain.

Tambahan lagi, sekitar 55 peratus responden turut percaya mereka boleh meraih kerjaya yang diingini mengikut kelayakan mereka. 

Bagi para pemimpin masyarakat yang diwawancara bagi kajian ini, mereka merasakan kini ada peluang bagi masyarakat Melayu/Islam untuk kecapi kejayaan dalam persekitaran ekonomi yang baru yang mana pemikiran kreatif dan fleksibel lebih diutamakan berbanding kemahiran teknikal. 

PENDIDIKAN DAN KEPIMPINAN

Bidang pendidikan dan pencapaian penuntut Muslim juga ditinjau dalam kajian tersebut. 

Hampir 80 peratus responden merasakan bahawa lebih banyak sokongan, termasuk bantuan kewangan, dan program pengayaan perlu diberikan. 

Pendidikan anak-anak juga melibatkan usaha dan kerjasama ibu bapa. 

Dalam hal tersebut, 79 peratus ibu bapa yang ditinjau berpendapat lebih banyak bimbingan untuk memahami laluan pendidikan yang berbeza dan sesuai untuk anak-anak mereka perlu disediakan. 

Kajian itu juga mendapati penglibatan politik dan sosial dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam adalah sederhana. 

Kurang separuh (49 peratus) responden mengatakan bahawa mereka "sentiasa mengikuti perkembangan pada dasar pemerintah."

Kajian itu juga mendapati golongan muda Islam (52 peratus) merupakan kumpulan yang paling terlibat dan mengikuti perkembangan terkini.

Di samping itu, meskipun lebih 51 peratus responden percaya bahawa adanya bakat yang mencukupi bagi memastikan adanya pelapis bagi pemimpin masyarakat yang berkualiti tinggi, hanya 38 peratus sahaja yang percaya bahawa terdapat jumlah orang Islam yang kini memegang jawatan kepimpinan.

Kajian itu juga mendapati keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi merupakan antara tiga kepentingan utama masyarakat Islam, selain keluarga dan kestabilan kewangan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan