Kos sara hidup mungkin ‘mencengkam’ pada 2022; WP akan pantau sokongan pemerintah kepada rakyat
Dengan kos kehidupan dijangka menjadi isu penting pada tahun 2022, Parti Pekerja (WP) akan memantau apa yang dilakukan pemerintah untuk menyokong rakyat Singapura yang memerlukan bantuan.
Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh.
SINGAPURA: Dengan kos kehidupan dijangka menjadi isu penting pada tahun 2022, Parti Pekerja (WP) akan memantau apa yang dilakukan pemerintah untuk menyokong rakyat Singapura yang memerlukan bantuan.
Demikian menurut Setiausaha Agung WP Pritam Singh dalam mesej Tahun Barunya pada Jumaat (31 Dis).
"2022 akan menjadi tahun dengan cabaran-cabaran baru bagi Singapura dan rakyat Singapura," kata Encik Singh dalam mesejnya, yang dimuat naik ke laman Facebook WP.
"Selain keadaan COVID-19 yang tidak dapat diramalkan, kos kehidupan akan menjadi keprihatinan yang mencengkam banyak keluarga Singapura, terutama sekali mereka yang berpendapatan rendah dan pertengahan, dan khususnya, mereka yang mempunyai kedua-dua anak-anak kecil dan ibu bapa lanjut usia yang perlu dijaga."
Encik Singh menarik perhatian kepada beberapa keperluan asas yang "menarik perhatian ramai" baru-baru ini kerana ia akan lebih menjejas rakyat Singapura, termasuk pengangkutan, kemasukan ke jabatan kemalangan dan kecemasan dan premium insurans perubatan serta memberi lebih tumpuan kepada harga tenaga elektrik dan perumahan.
"Peruncit-peruncit elektrik yang banyak menarik diri daripada Pasaran Tenaga Elektrik Terbuka menyaksikan ramai rakyat Singapura terpaksa menanggung bil elektrik lebih tinggi," kata beliau.
"Harga BTO HDB kekal tinggi bagi rakyat muda Singapura, dengan flat-flat jualan semula lebih sukar dimampui bagi ramai orang.
"Parti Pekerja akan memantau apa yang pemerintah lakukan untuk menyokong rakyat Singapura yang memerlukan paling banyak bantuan; dan bagaimana ia mempertingkat skim-skim legasi bagi keadaan hari ini dan esok, dan bukan semalam."
Encik Singh juga memetik mesej Tahun Baru yang disampaikan pada tahun 2020 sedang beliau merumuskan kerja-kerja WP di parlimen pada 2021.
"Dalam mesej Hari Tahun Baru saya tahun lalu, saya menekankan bahawa WP akan meneruskan misinya bagi membangunkan parti yang sederhana dan saksama yang berusaha menyediakan alternatif yang diyakini bagi para pengundi dan bertindak sebagai parti yang mengimbangi sistem politik kita," kata beliau.
"Di Parlimen tahun ini, para Anggota Parlimen kita mengemukakan usulan berkaitan perubahan HDB dan akses lebih luas kepada flat-flat sewa HDB, peranan bagi cukai (harta) kekayaan dalam gabungan fiskal, bagaimana untuk menyokong para penjaja kami dengan lebih baik, menghapuskan diskriminasi jantina dan melindungi sekitaran.
"Kami juga menyokong idea-idea dasar yang kini dipertimbangkan atau dilaksanakan pemerintah, seperti undang-undang antidiskriminasi di tempat kerja, undang-undang gaji minimum yang berkesan dan membolehkan tudung dipakai di lebih banyak tempat perkhidmatan awam.
SKIM SUBSIDI BAGI WARGA EMAS YANG TINGGAL SENDIRI
Dalam mesejnya, Encik Singh juga mengumumkan pelancaran dan pelanjutan skim-skim masyarakat yang akan menyokong penduduk-penduduk di kawasan undi yang diwakili WP di parlimen.
"Dengan kerjasama Dana Masyarakat WP (WPCF) - iaitu sebuah badan kebajikan berdaftar - dan rakan komersil, WP melancarkan program perintis biasiswa yang disasarkan kepada murid-murid sekolah rendah pada 2021 bagi para penduduk GRC Aljunied dan SMC Hougang," kata beliau.
"Program ini akan diteruskan pada 2022 dan akan dilanjutkan kepada murid-muris sekolah rendah yang tinggal di GRC Sengkang."
Skim perintis bagi subsidi baru yang disasarkan kepada warga emas yang tinggal bersendirian dan memerlukan khidmat kerja-kerja rencam juga akan dilancarkan di kawasan-kawasan undi tertentu WP pada 2022, tambahnya. Skim itu kemudian akan dilanjutkan ke semua kawasan undi WP.
Encik Singh menggulung mesejnya dengan menekankan matlamat WP, iaitu untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat dengan menyumbang kepada usaha "mewujudkan sebuah masyarakat lebih saksama dan demokratik berdasarkan keadilan dan kesamarataan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.