Skip to main content

Singapura

Kos sara hidup kebimbangan utama pengundi GE2025: Tinjauan IPS

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Sep 2025 09:20PM Dikemas Kini : 02 Sep 2025 11:01PM
SINGAPURA: Kos sara hidup adalah isu utama dalam fikiran pengundi dalam Pilihan Raya Umum tahun ini, diikuti oleh peri perlunya mempunyai tadbir urus yang cekap dan kemampuan memiliki rumah, menurut kajian pasca pilihan raya oleh Institut Pengajian Dasar (IPS).

Isu itu juga mencatatkan peningkatan terbesar dalam bilangan responden yang menilainya sebagai 'sangat penting' berbanding pilihan raya 2020.

Dalam Pilihan Raya Umum pada 3 Mei lalu, Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperoleh 65.57 peratus undi popular dalam pilihan raya pertama Perdana Menteri Lawrence Wong sebagai pemimpin keempat Singapura.

Tinjauan IPS, yang dikeluarkan pada Selasa (2 Sep), adalah sebahagian daripada siri jangka panjang yang dijalankan selepas setiap pilihan raya sejak 2006. Kajian tahun ini melibatkan 2,056 rakyat berumur 21 tahun ke atas, yang ditinjau antara 22 Mei dan 1 Jun.

Pasukan penyelidik terdiri daripada zamil penyelidik kanan Gillian Koh dan Teo Kay Key, zamil penyelidik utama adjung Tan Ern Ser, dan pembantu penyelidik Cheow Jin Jie.

KEBIMBANGAN MATERIAL MENJADI TUMPUAN UTAMA PENGUNDI

Kos sara hidup dinilai "sangat penting" oleh 74 peratus responden – iaitu peratusan tertinggi dalam sejarah tinjauan pasca-pilihan raya IPS. Kebimbangan ini lebih ketara dalam kalangan pengundi yang lebih tua dan yang kembali mengundi, dan paling rendah dalam kalangan mereka yang berumur 21 hingga 29 tahun serta pengundi kali pertama.

Kebimbangan materialistik lain juga semakin meningkat. Perlunya mempunyai pemerintah yang baik dan cekap dinilai "sangat penting" oleh 69 peratus responden – iaitu satu lagi rekod tertinggi. Kebimbangan ini lebih menyerlah dalam kalangan pengundi Cina dan penduduk flat HDB yang lebih besar.

Kemampuan membeli rumah, yang diperkenalkan sebagai perkara baharu dalam tinjauan tahun ini, berada di tempat ketiga, dengan 61 peratus responden menilainya "sangat penting". Ia paling penting bagi mereka yang tinggal di perumahan swasta dan paling kurang penting bagi kaum lelaki dan mereka yang berumur 55 hingga 64 tahun.

Perubahan ini adalah sebahagian daripada tumpuan yang meningkat terhadap keprihatinan berkaitan keperluan lain juga, seperti keadaan pekerjaan, kemudahan kawasan kejiranan dan peningkatan flat, kata para penyelidik.

Keadilan dalam dasar pemerintah juga muncul sebagai isu utama, dinilai oleh 57 peratus responden sebagai "sangat penting" – iaitu yang tertinggi setakat ini. Ia paling penting bagi penduduk di perumahan swasta, golongan profesional dan pemegang ijazah, tetapi isu yang paling kurang penting bagi mereka yang berumur 21 hingga 29 tahun, pengundi kali pertama dan mereka dari kelas menengah atas.

Berbanding tahun 2020, kos sara hidup mencatatkan kenaikan terbesar dalam peratusan responden yang menilainya sebagai isu "sangat penting" – meningkat 27 peratusan mata. Kemudahan di kawasan kejiranan meningkat sebanyak 17 peratusan mata, terutama dalam kalangan penduduk yang lebih tua yang tinggal di flat HDB yang lebih besar. Peningkatan flat dan estet juga mendapat perhatian, dengan kenaikan 14 mata.

Melengkapkan senarai lima isu paling penting bagi para pengundi ialah keadilan dasar pemerintah dan keadaan pekerjaan, kedua-duanya meningkat sebanyak 11 peratusan mata.

PERUBAHAN TANGGAPAN TERHADAP KEWIBAWAAN PARTI

Kajian tersebut juga mendapati penilaian terhadap tahap kewibawaan PAP dan Parti Pekerja (WP) hampir sama, dengan kedua-duanya menjadi dua parti utama di parlimen apabila ia dibuka secara rasmi pada Jumaat ini (5 Sep).

Penilaian tahap kewibawaan PAP merosot daripada 4.1 pada 2020 kepada 3.9, menyamai penilaian konsisten 3.9 bagi Parti Pekerja dalam dua pilihan raya lalu.

Sementara itu, penilaian bagi Parti Kemajuan Singapura (PSP) merosot daripada 3.5 kepada 3.2, jatuh di bawah tahap Parti Demokratik Singapura (SDP), yang meningkat sedikit daripada 3.2 kepada 3.3.

Sokongan terhadap status quo politik meningkat di kalangan pengundi berumur 21 hingga 39 tahun - iaitu satu trend yang mengejutkan, kata para penyelidik. Sebaliknya, sokongan terhadap pluralisme politik meningkat dalam kalangan mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Pluralisme politik merujuk kepada kehadiran ahli parti pembangkang yang dipilih dalam parlimen, bagi tujuan semak dan imbang serta memastikan pelbagai pandangan dapat disuarakan.

Peratusan responden yang "bersetuju" atau "sangat bersetuju" bahawa PAP boleh dipercayai merosot sebanyak 17 peratusan mata kepada 69 peratus, manakala WP juga mengalami kemerosotan sebanyak 14 mata kepada 65 peratus.

PAP mendapat sokongan lebih besar daripada pengundi berumur 65 tahun ke atas, manakala WP lebih popular dalam kalangan mereka yang berumur 21 hingga 39 tahun. Kedua-dua parti menarik pengundi daripada golongan berpendapatan menengah atas, tetapi WP juga mampu menarik pengundi daripada golongan berpendapatan menengah sederhana.

Kajian itu juga mendapati bahawa kaum minoriti lebih cenderung untuk menilai WP dan parti pembangkang lain sebagai parti yang boleh dipercayai.

Pengundi juga memberi penilaian lebih tinggi terhadap kejujuran, kecekapan dan pengalaman dalam kerja akar umbi dan masyarakat apabila menilai calon.

Kejujuran dinilai sebagai ciri yang paling penting, terutamanya dalam kalangan mereka yang berumur 55 hingga 64 tahun dan penduduk perumahan swasta.

Keadilan lebih dihargai oleh golongan siswazah dan pemegang ijazah profesional serta penghuni perumahan swasta, yang juga memberi penekanan lebih terhadap kerja keras dan komitmen calon.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita