Kos sara hidup, bimbang perkahwinan gagal antara punca lebih ramai warga S'pura membujang
Takut mendirikan rumah tangga kerana bimbang mahligai yang dibina berakhir dengan perceraian.
BERITAmediacorp: Takut mendirikan rumah tangga kerana bimbang mahligai yang dibina berakhir dengan perceraian.
Seorang pakar hubungan yang kami ditemui berkata perasaan risau itu faktor utama yang menghambat ramai individu bujang untuk berkahwin, selain kos sara hidup yang semakin meningkat.
Pengamatan itu sejajar dengan laporan tahunan penduduk yang menunjukkan jumlah golongan wanita dan lelaki berusia di bawah 40 tahun yang belum berkahwin meningkat dalam tempoh sepuluh tahun, antara 2007 hingga 2017.
BERITAmediacorp mengupas faktor penyumbang lain di sebalik trend ini.
JUMLAH WANITA BELUM KAHWIN KEKAL TINGGI
Secara realiti, kos sara hidup tidak akan pernah turun.
Ditambah pula dengan pengalaman daripada orang lain atau keluarga sendiri yang tidak berjaya di alam perkahwinan.
Faktor-faktor ini menurut pakar hubungan Cik Rasimah Jar, mempengaruhi golongan bujang untuk tidak berkahwin dan tidak berusaha mencari jodoh.
Menurut laporan tahunan penduduk yang dikeluarkan baru-baru ini, peratusan golongan wanita dan lelaki antara 25 hingga 39 tahun yang belum berkahwin meningkat dengan signifikan sejak dalam tempoh 2007-2017.
Contohnya pada 2007, 52.2% daripada kelompok ini tidak berkahwin, dan pada tahun lalu peratusannya melonjak kepada 64.6% - naik 12 peratusan mata.
Trend yang sama juga dilihat pada golongan wanita berusia antara 30 hingga 34 tahun yang meningkat daripada 22.3% pada 2007 kepada 27.7% pada tahun lalu.
Walaupun peningkatan tidak begitu ketara bagi penduduk wanita berusia antara 35-39 tahun, secara keseluruhannya sejak 10 tahun lalu peratusannya meningkat sebanyak 2 peratusan mata dari 15.1% ke 17.3%.
JUMLAH LELAKI MEMBUJANG MENINGKAT
Trend yang sama dilihat dalam golongan lelaki bawah 40 tahun.
Dalam tempoh sepuluh tahun tersebut, perangkaan lelaki bujang dalam kelompok usia 25-29 tahun meningkat 4 peratusan mata, golongan 30-34 tahun naik 3.6 peratusan mata, manakala di kalangan 35-39 tahun pula naik 1.6 peratusan mata.
BIMBANG PERKAHWINAN GAGAL ANTARA PUNCA
Tidak dinafikan terdapat banyak faktor penyumbang yang menghambat golongan muda untuk berkahwin.
Selain belum sampai jodoh, mengapakah golongan tersebut yang rata-ratanya sudah bekerja masih lagi belum mendirikan rumah tangga?
Antara sebab yang diberikan adakah taraf sosio-ekonomi, pendidikan, serta agama.
Namun, menurut seorang pakar hubungan, penyumbang terbesarnya ialah perasaan takut dan bimbang terhadap masa depan yang tidak diketahui.
"Mereka bimbang jadi perasaan kebimbangan itu ada dalam diri mereka bahawa mereka bolehkah mereka membimbing pasangan mereka apabila mereka telah berkahwin nanti.
"Bolehkah menjadi seorang suami, seorang isteri yang baik kepada pasangannya, boleh tidak mereka menjadi ibu bapa yang berkesan, yang baik yang bertanggungjawab ke atas anak-anak mereka dan sebagainya, dan mereka juga bimbang dengan keadaan-keadaan di keliling mereka," kongsi Cik Rasimah Jar.
Menurutnya lagi kadar perceraian dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam turut menyumbang kepada perasaan bimbang itu.
"Manusia sudah terbiasa melihat benda-benda negatif lebih daripada benda-benda positif. Jadi kadang-kala di sekeliling mereka mereka nampak perkahwinan yang tidak begitu berkesan, konflik yang berlaku antara suami dan isteri di kalangan kawan-kawan mereka dan keluarga mereka, jadi mereka rasa bimbang bolehkah mereka mengadakan hubungan yang baik," kongsinya lagi.
TERBUKA UNTUK CARI JODOH SECARA ONLINE
'Takut' untuk berkahwin menyebabkan sesetengah individu tidak masih mempunyai pasangan.
Meskipun demikian, menurut tinjauan kami, golongan usia itu tidak menolak sekiranya dibantu ditemukan jodoh sama ada dengan cara tradisional atau menerusi laman sosial.
Pengasas Muzmatch - aplikasi cari jodoh bagi Muslim yang berpusat di London misalnya berkongsi, ramai orang muda Singapura mencari jodoh secara online.
Malah di kalangan warga Singapura yang menggunakan aplikasi itu, golongan bawah usia 30 tahun membentuk kumpulan terbesar.
Setakat ini lebih daripada 70% daripada 15,000 pengguna Muslim Singapura yang menggunakan aplikasi itu berumur di bawah 30 tahun.
"Khususnya di Singapura, sekurang-kurangnya terdapat 400 perkahwinan yang berjaya. Mungkin ada lebih banyak yang kami tidak tahu," kongsi Pengasas Muzmatch, Encik Shahzad Younas.
Apa yang membimbangkan, jika trend membujang atau lambat kahwin ini terus tidak ditangani, ia pasti akan menyumbang kepada turunnya kadar pertumbuhan penduduk di negara ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.