Skip to main content

Singapura

Kos operasi tinggi, kekurangan tanah antara cabaran utama dihadapi petani SG

Para petani di Singapura tidak terkejut dengan langkah pemerintah menggugurkan sasaran jaminan makanan negara “30 menjelang 30” bagi memberi laluan kepada pelan hala tuju baharu.
Anggaran Waktu Membaca:
Kos operasi tinggi, kekurangan tanah antara cabaran utama dihadapi petani SG
Sejak Oktober 2024, hampir satu daripada 10 ladang berasaskan tanah ditutup, dengan hanya 138 masih beroperasi — merosot daripada 153 pada tahun sebelumnya. (Gambar: CNA)
Diterbitkan : 07 Nov 2025 10:36PM Dikemas Kini : 07 Nov 2025 10:40PM
SINGAPURA: Para petani di Singapura tidak terkejut dengan langkah pemerintah menggugurkan sasaran jaminan makanan negara “30 menjelang 30” bagi memberi laluan kepada pelan hala tuju baharu.

Matlamat yang diumumkan pada 2019 itu bertujuan menghasilkan 30 peratus daripada keperluan nutrisi Singapura secara tempatan menjelang 2030, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap rantaian bekalan global.

Namun selepas enam tahun, lebih 90 peratus daripada bekalan makanan negara masih diimport.

Para petani menukil tiga cabaran utama, iaitu kos operasi yang melambung tinggi, kekurangan tanah dan permintaan yang lembap terhadap hasil tempatan — meskipun pemerintah menyediakan geran serta melabur berjuta-juta dolar dalam penyelidikan, teknologi dan inovasi.

Mereka percaya matlamat itu masih boleh dicapai — tetapi hanya jika dasar jangka pendek dilaksanakan.

PERMINTAAN MEROSOT, KOS MENINGKAT

Permintaan tempatan terhadap hasil makanan laut dan sayur-sayuran yang ditanam di Singapura merosot pada 2024. Ini meskipun terdapat pelbagai kempen, promosi runcit dan inisiatif seperti label SG Fresh Produce yang bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pembeli.

Banyak ladang juga terpaksa gulung tikar akibat peningkatan kos tenaga kerja dan utiliti.

Sejak Oktober 2024, hampir satu daripada 10 ladang berasaskan tanah sudah ditutup, dengan hanya 138 masih beroperasi — berbanding 153 pada tahun sebelumnya.

Kebanyakan ladang yang kekal juga turut mengurangkan pengeluarannya.

Malah, ladang menegak (vertical farm) berteknologi tinggi, yang sebelum ini dilihat sebagai penyelesaian kepada kekurangan ruang, kini bergelut untuk terus beroperasi.

Di ladang agroteknologi Vegeponics, kos tenaga kerja meningkat sebanyak 50 peratus manakala bil elektrik pula meningkat dua kali ganda sejak 2022.

Walaupun pemasangan panel suria membantu mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak kira-kira 30 peratus, syarikat itu kini merancang untuk mengembangkan operasi ke sebarang tambak.

“Dengan berpindah ke Malaysia, bukan sahaja kami dapat menjimatkan kos sebanyak tiga kali ganda, kami juga dapat menjimatkan tenaga dan kos tenaga kerja,” kata pengurus besar Jesper Fan, yang bercadang untuk mengeksport semula sayur-sayuran ke Singapura.
Related article image
Edible Garden City terpaksa menanggalkan tujuh kontena hidroponik di tapaknya di Queenstown akibat bil elektrik yang tinggi. (Gambar: CNA)
Ladang bandar turut terkesan. Di Edible Garden City, pengasasnya Bjorn Low berkata syarikatnya terpaksa merobohkan tujuh kontena hidroponik di tapak Queenstown kerana bil elektrik yang tinggi.

Tindakan itu mengurangkan penggunaan tenaga ladang sebanyak 60 peratus, iaitu jumlah yang besar sedang harga jualan hasil ladang tidak mampu bersaing dengan sayur-sayuran import, kata Encik Low.

Ladang tersebut kini beralih kepada penanaman tumbuhan makanan tempatan menggunakan tanah – satu pendekatan yang lebih mampan.

Namun tempoh pajakan syarikat itu selama sembilan tahun akan berakhir pada hujung tahun ini, dan rundingan bagi pembaharuan sedang dijalankan.

“Bagi ladang tanah, ia mengambil masa kira-kira enam hingga tujuh tahun untuk membina kesuburan dan produktiviti tanah… dan apabila ia mencapai tahap optimum, anda perlu berpindah. Ia boleh menjadi sangat mencabar bagi kebanyakan ladang, yang, jika mereka bukan berbilang generasi, mungkin akan berputus asa," kata Encik Low.

PERGELUTAN ANTARA LADANG IKAN DENGAN MAKANAN MAKMAL

Tekanan sama turut dirasai dalam sektor akuakultur.

Beberapa ladang ikan sudah ditutup, atas sebab kekurangan ruang, peningkatan kos, serta pencemaran laut yang menyebabkan kematian ikan.

Kini hanya terdapat 67 ladang berasaskan laut — penurunan kira-kira 30 peratus daripada 98 pada 2023.
Related article image
Kini, hanya terdapat 67 ladang berasaskan laut — penurunan sekitar 30 peratus daripada 98 pada 2023. (Gambar: CNA)
Ini berlaku meskipun hampir S$40 juta disalurkan sejak 2020 di bawah geran “30 by 30 Express” untuk menyokong ladang-ladang pengeluar telur, sayur-sayuran dan ikan.

Sejak 2021, dana tambahan sebanyak S$25 juta turut disalurkan bagi membantu ladang-ladang meningkatkan teknologi dan produktiviti.

Selain ladang, pemerintah juga memperuntukkan ratusan juta dolar bagi mendorong inovasi makanan dan protein alternatif seperti daging yang dikultur di makmal, dengan hasil yang bercampur-campur.

Syarikat perintis daging kultur, Eat Jus, yang pertama menjual ayam kultur di sini, berhenti operasi di Singapura pada 2024 akibat kos tinggi dan tekanan pembiayaan.

Sementara itu, Shiok Meats pula bergabung dengan Umami Bioworks, yang kekal aktif dan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pengembangan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Umami Bioworks, Mihir Pershad, berkata Singapura merupakan pasaran ujian yang baik kerana “kepelbagaian restoran dan budaya makanannya yang unik”.

“Namun untuk berkembang ke pengeluaran berskala besar adalah satu cabaran, kerana ia memerlukan masa untuk membina kesedaran pasaran dan penerimaan pengguna,” katanya.

Beliau menambahkerjasama dengan universiti dan politeknik adalah penting bagi membangunkan tenaga kerja generasi baharu dan memacu penyelidikan asas untuk menjadikan produk kultur lebih sedap dan murah.

ADAKAH SASARAN ‘30 MENJELANG 30’ TIDAK REALISTIK?

Di bawah strategi daya tahan makanan yang diperbaharui, ladang tempatan kini disasarkan memenuhi 20 peratus keperluan serat dan 30 peratus keperluan protein daging Singapura menjelang 2035.

Namun, sasaran baharu itu tidak bermaksud matlamat asal gagal, kata para para penganalisis.

Profesor Veera Sekaran dari Pusat Agriteknologi Regeneratif di Universiti Nasional Singapura (NUS) menyifatkan sasaran terdahulu sebagai suatu “aspirasi” - semasa ketegangan serantau menjadikan isu jaminan makanan tumpuan utama, menarik ramai individu ke sektor tersebut walaupun “dengan pengetahuan dan kepakaran pertanian yang terhad”.

Situasi itu menyebabkan banyak ladang mencuba pelbagai kaedah berbeza, dengan hanya segelintir yang berkongsi ilmu atau teknologi.

"Semua orang mahu melakukannya sendiri ... mahu mempunyai pengetahuan proprietari. Tidak ada kerjasama. Tidak ada ekosistem yang bersatu untuk menjadikan komuniti pertanian ini ekosistem yang membolehkan mereka berjaya bersama-sama, bukan sebagai petani individu," katanya semasa temu bual di program terbitan CNA Singapore Tonight.

Kos tenaga, kekurangan tenaga kerja dan kekangan pajakan tanah turut memburukkan lagi keadaan. Perang Ukraine pula menyebabkan kos utiliti melonjak, memaksa ladang-ladang dalam bangunan yang menggunakan tenaga tinggi terpaksa menutup operasi, kata Prof Veera.

Namun beliau menegaskan bahawa sasaran 30 menjelang 30 bukan satu kegagalan kerana ia berjaya meningkatkan kesedaran mengenai jaminan makanan.

“Kita sudah memulakan satu perjalanan yang terus berkembang dan berevolusi sedang kita melaluinya, dan kita akan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa. Segala kegagalan bukanlah sesuatu yang buruk kerana kita belajar daripada teknologi.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita