Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kos kendali pengangkutan awam tidak sepadan pertumbuhan pendapatan, kata S Iswaran

Anggaran Waktu Membaca:
Kos kendali pengangkutan awam tidak sepadan pertumbuhan pendapatan, kata S Iswaran

Gambar fail MRT di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Antara 2012 dengan 2021, kos mengendalikan pengangkutan awam di Singapura naik purata tujuh peratus setiap tahun. Kenaikannya tidak sepadan dengan pertumbuhan pendapatan.

Demikian menurut Menteri Pengangkutan S Iswaran di Parlimen hari ini (13 Sep).

Oleh sebab itu, subsidi-subsidi pemerintah juga meningkat, tambah beliau.

Pemerintah buat masa ini memberi subsidi lebih S$2 bilion setahun, atau S$1 bagi setiap perjalanan, bagi khidmat-khidmat pengangkutan awam, kata Encik Iswaran. Ia juga memperuntukkan lebih S$60 bilion untuk memperluaskan dan memperbaharui rangkaian kereta api sepanjang 10 tahun akan datang.

Encik Iswaran berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Liang Eng Hua (PAP-Bukit Panjang) yang bertanya bagaimana Pemerintah menentukan jumlah tahunan sedia ada bagi subsidi pengangkutan awam dan sam ada ia akan menimbangkan untuk menyemak jumlah tersebut memandangkan kos semakin meningkat.

Tambang bas dan kereta api di Singapura naik sehingga empat sen pada hujung Disember tahun lalu, memandangkan kos pengendalian meningkat dan jumlah penumpang merosot, menurut Majlis Pengangkutan Awam (PTC) semasa mengumumkan kenaikan tambang, iaitu yang pertama dalam tempoh dua tahun.

Encik Iswaran menarik perhatian bahawa sebelum pandemik COVID-19, rakyat Singapura melakukan sekitar lapan juta perjalanan setiap hari menaiki pengangkutan awam.

"Sistem pengangkutan awam yang diyakini, mudah diakses dan dimampui penting bagi memastikan ketersambungan dalam bandar kita yang padat dengan penduduk. Ia juga merancakkan kegiatan ekonomi, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pengeluaran karbon, sekali gus menyumbang kepada kemampanan dan keselesaan hidup di negara kita," tambah beliau.

"Dalam sedekad yang lalu, kita juga secara berperingkat memperbaiki sistem pengangkutan, diiringi dengan kenaikan kos. Para penumpang meraih manfaat daripada peluasan 40 peratus rangkaian kereta api, 80 khidmat bas baru, tempoh menunggu bas lebih singkat semasa waktu sibuk dari 30 kepada 15 minit serta peningkatan ketara pada keandalan kereta api dari 67,000 kepada purata lebih sejuta kilometer sebelum berlaku kerosakan."

Seperti khidmat-khidmat lain yang diberikan subsidi, Pemerintah perlu menimbangkan cara terbaik untuk berkongsi kos antara penumpang dengan pembayar cukai - masa kini dan masa hadapan - kata Encik Iswaran.

Beliau turut menggariskan tiga aspek untuk melakukan demikian.

Pertama, Pemerintah akan terus membiayai sepenuhnya peningkatan prasarana pengangkutan awam, kata beliau, sambil menyifatkan jumlahnya sebagai "perbelanjaan besar".

Kedua, Pemerintah mesti mencari jalan untuk menjimatkan kos dan memastikan perbelanjaan itu "berbaloi".

"Ini memerlukan pendekatan menyeluruh - daripada pemerolehan yang cekap oleh LTA (Penguasa Pengangkutan Darat) dan operasi yang ditumpukan kepada produktiviti oleh pengendali pengangkutan awam, untuk mengoptimumkan peruntukan khidmat bas dan kereta api sekalipun kita sedang memperluaskan keseluruhan rangkaian untuk memberi khidmat di kawasan-kawasan perumahan baru," kata Encik Iswaran.

"Akhir sekali, kita perlu mengerahkan sumber-sumber yang terhad dalam cara yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura."

Ketiga, Pemerintah menetapkan formula tambang untuk memastikan para penumpang membayar "tambang yang adil", dengan mengambil kira kos-kos utama bagi pengangkutan awam - gaji, tenaga dan inflasi, kata Encik Iswaran.

Bulan lalu, diumumkan bahawa semakan bagi formula dan mekanisme untuk menyesuaikan tambang pengangkutan awam sedang dijalankan, dengan prosesnya mungkin selesai menjelang separuh pertama tahun depan.
 
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan