Skip to main content

Singapura

Kos jagaan pesakit demensia cecah S$24,000 setahun selepas subsidi; 89% penjaga percaya lebih banyak sokongan diperlukan: Kajian

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Oct 2025 11:49PM Dikemas Kini : 03 Nov 2025 01:47PM
SINGAPURA: Menjaga seseorang yang menghidap demensia boleh menelan belanja sebanyak S$24,000 setahun selepas potongan subsidi pemerintah, dengan hampir 90 peratus penjaga yang ditinjau percaya lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk menyokong mereka, menurut satu kajian baharu pada Selasa (14 Okt).

Kajian itu yang ditugaskan oleh agensi perkhidmatan sosial Dementia Singapore dan dijalankan oleh firma penyelidikan Pureprofile, turut mendapati bahawa skim-skim pemerintah bantu mengurangkan kos penjagaan pesakit demensia sebanyak kira-kira 36 peratus, dengan lebih banyak sokongan diberikan kepada mereka yang menjaga kes-kes demensia lebih serius.

"Apabila ada beban kewangan, ia menyukarkan penjagaan," kata Jason Foo, ketua pegawai eksekutif Dementia Singapore.

"Jadi itulah sebabnya mengapa kami rasakan tinjauan ini diharapkan dapat mencetuskan perbincangan lanjut dan lebih meluas mengenai bantuan kewangan yang diperlukan oleh para penjaga," katanya.

Kajian itu meninjau seramai 260 penjaga pesakit demensia menerusi online antara 27 Mei dengan 3 Ogos tahun ini.

Ia adalah perwakilan dari segi statistik pengalaman para penjaga kerana ia memberi tumpuan kepada penjaga aktif bagi individu yang menghidap demensia.

Sekitar 68 responden adalah penjaga utama, 32 peratus pula adalah penjaga sokongan.

Kajian itu mendapati subsidi tersebut bantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh para penjaga dengan menyediakan "sokongan yang bermakna", tetapi penjagaan demensia "tetap satu komitmen masa dan perbelanjaan yang besar", menurut Dementia Singapore dalam satu kenyataan media.

Walaupun dengan adanya subsidi ia bermakna kos mereka berkurangan sebanyak hampir S$1,150 sebulan, para penjaga masih menanggung perbelanjaan median bulanan sebanyak S$2,020 bagi jagaan bulanan.

Kajian itu juga mendapati bahawa kos penjagaan meningkat "secara mendadak" mengikut tahap serius penyakit demensia yang dihidapi - di mana ia meningkat kira-kira 33 peratus daripada peringkat ringan kepada sederhana.

Para penjaga kepada penghidap demensia yang serius menanggung kos tertinggi sebelum potongan subsidi, iaitu median sebanyak S$4,081.30 sebulan, disebabkan oleh kebergantungan yang meningkat dan lebih banyak keperluan penjagaan.

Sungguhpun begitu, kos mereka berkurangan paling ketara selepas potongan subsidi, dengan 46 peratus penjaga kepada pesakit demensia yang menyatakan sokongan pemerintah disasarkan kepada mereka dengan keperluan penjagaan paling tinggi, menurut hasil kajian itu.

KOS KEWANGAN DIHADAPI OLEH PENJAGA

Kajian itu juga menimbangkan kos secara langsung dan tidak langsung yang ditanggung oleh para penjaga.

Kos langsung merujuk kepada perbelanjaan nyata yang dikeluarkan daripada poket sendiri seperti bil perubatan, bekalan, pengangkutan dan khidmat penjagaan profesional.

Sementara itu, kos secara tidak langsung merujuk kepada masa penjagaan tidak berbayar seperti masa yang diluangkan untuk memberikan pengawasan atau sokongan di rumah.

Berucap semasa pelancaran kajian itu di Temasek Shophouse pada Selasa, pengerusi Dementia Singapore Dr Philip Yap berkata satu aspek jagaan demensia yang sering diabaikan adalah pesakit demensia sering mengalami "banyak" masalah perubatan yang lain seperti artritis, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

"Kosnya juga adalah ketara. Jadi ia perlu dipertimbangkan dalam keseluruhan kos penjagaan," katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita