Skip to main content

Singapura

Kos edar risalah ejen hartanah boleh naik hingga 30% susuli peraturan baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Kos edar risalah ejen hartanah boleh naik hingga 30% susuli peraturan baharu
Risalah yang diedar oleh ejen hartanah di luar sebuah flat HDB. (Gambar: CNA/Tang See Kit)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 23 Feb 2026 07:00AM Dikemas Kini : 23 Feb 2026 07:01AM
SINGAPURA: Seperti kebanyakan ejen hartanah yang ingin mengukuhkan kehadiran mereka di sesebuah kawasan perumahan, Andik Imran menggunakan perkhidmatan pengedaran risalah dari rumah ke rumah sebulan sekali untuk mendekati penduduk.

Kempen yang merangkumi 20,000 unit kediaman - melibatkan kira-kira 150 blok setinggi 16 tingkat - biasanya menelan belanja antara S$1,500 hingga S$2,500, kata pengarah bersekutu kanan PropNex itu.

Daripada satu kempen, beliau mungkin hanya mendapat satu maklum balas. Namun, ia membantu membina rangkaian pelanggan. Beliau menjelaskan bahawa risalah tersebut bertujuan untuk membuatkan penduduk mengenali beliau sebagai "ejen yang bersifat ramah", walaupun mereka tidak terus menghubunginya dengan serta-merta.

Bagaimanapun, kos bagi ejen seperti beliau mungkin akan meningkat tidak lama lagi menyusuli satu Memorandum Persefahaman (MOU) baharu yang bertujuan untuk memperkukuh amalan pengedaran risalah yang betul di estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Di bawah MOU tersebut, Institut Ejen Hartanah Singapura (SIEA) menyatakan pada 13 Februari bahawa risalah yang diedarkan ke flat-flat HDB tidak boleh dilihat oleh orang awam selain penerima yang dimaksudkan.

Para ejen dinasihatkan supaya memasukkan risalah ke dalam peti surat atau menggunakan perkhidmatan pengedaran rasmi.

MOU itu ditandatangani oleh SIEA dan lima agensi hartanah utama - PropNex, ERA, Huttons, OrangeTee & Tie, dan SRI - yang mewakili lebih 87 peratus daripada semua ejen berdaftar di Singapura.

SIEA menggalakkan lebih banyak agensi lain untuk turut serta bagi menetapkan amalan terbaik dalam industri.

Kebanyakan ejen yang ditemu bual bimbang langkah penguatkuasaan itu akan menghalang ramai ejen daripada meneruskan kaedah tersebut disebabkan oleh kos perkhidmatan pos yang lebih tinggi.

Encik Andik menganggarkan kos penghantaran melalui peti surat boleh meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus.

KHIDMAT EDAR RISALAH MAHAL

Garis panduan SIEA itu sebenarnya bukan perkara baharu. Pada 2011, Majlis Agensi Hartanah (CEA) sudah menyatakan risalah tidak sepatutnya diletakkan di tempat yang boleh dilihat umum bagi mengelakkan longgokan kertas apabila pemilik tiada di rumah.

Mantan Presiden SIEA, Adam Wang, berkata garis panduan lama sering diabaikan kerana kos pengedaran ke peti surat adalah mahal.

SingPost mengenakan caj antara S$0.14 hingga S$0.16 bagi setiap pucuk surat semasa musim sibuk, dengan caj minimum S$3,270 (termasuk GST).

Sebagai perbandingan, perkhidmatan cetak dan edar lain hanya berharga sekitar S$530 untuk 10,000 risalah (kira-kira S$0.05 setiap satu).

Malah, ada pengedar bebas yang menawarkan khidmat mengedar 1,000 risalah dengan harga serendah S$50.

Namun, pengedar sedemikian sukar dikawal mutu kerjanya dan sering mengundang aduan penduduk.

Mulai 1 April, ejen yang melanggar peraturan baharu itu akan dikenakan tindakan:

Kesalahan pertama: Surat amaran.

Kesalahan kedua: Surat amaran dan wajib menghadiri kursus etika edaran risalah.
Kesalahan ketiga: Penggantungan mengedar risalah ke flat-flat HDB selama enam bulan.

DARI TRADISIONAL KE DIGITAL

Ramai dalam industri itu sudah mula beralih kepada kaedah pemasaran digital.

Veroy Chua, 39 tahun, berkata beliau kini menggunakan wadah digital kerana tidak mahu bergantung kepada media cetak yang bersifat sementara. Kos juga menjadi faktor, kerana kempen risalah memerlukan komitmen sekurang-kurangnya enam bulan untuk mengukuhkan jenama dalam kalangan penduduk.

Rechard Tan, 41 tahun, dari OrangeTee & Tie, juga berkata pasukannya mula mengurangkan penggunaan risalah kerana merasakan pemasaran digital lebih berkesan memandangkan pengguna kini menerima terlalu banyak risalah fizikal.

MENGAPA MASIH ADA YANG GUNA RISALAH?

Walaupun ada peraturan baharu, sesetengah ejen masih melihat nilai pada risalah. Encik Andik berkata risalah lebih bersasar dan memberi manfaat kepada golongan yang kurang celik teknologi, seperti warga emas.

Ia memberikan maklumat yang khusus untuk kejiranan mereka.

Terence Tee, 45 tahun, dari Iconic Realty, yang sudah menggunakan risalah selama 19 tahun, berkata ia memberikan "kehadiran fizikal" yang lebih nyata dalam masyarakat.

Walaupun agensinya bukan antara lima yang menandatangani MOU, beliau menyokong inisiatif tersebut untuk imej industri yang lebih bersih dan telus.

Buat masa ini, tindakan penguatkuasaan hanya terpakai ke atas ejen di bawah lima agensi besar tersebut.

Namun, agensi-agensi kecil berkata bahawa mereka juga tidak akan meningkatkan edaran risalah secara mendadak kerana mereka biasanya mempunyai pendekatan pemasaran yang lebih khusus.

"Ejen hartanah adalah golongan yang tangkas - mereka pantas menyesuaikan diri dengan kaedah pengiklanan yang lain," kata Encik Wang.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita