Koroner tidak syak perbuatan khianat susuli kematian juruteknik akibat tersepit pada struktur lif
SINGAPURA: Semasa menjalankan kerja-kerja pembaikan di bahagian atas lif di Bangunan Chan Brothers di North Bridge Road, Hossain Mohammad Sahid tersepit pada struktur lif apabila kereta lif itu naik.
Pihak berkuasa tidak boleh memberikan rawatan perubatan yang berkesan bagi kecederaannya, termasuk luka 30 kali 10 sentimeter (cm) pada lengan kirinya disebabkan ruang yang sempit. Ini juga menghambat usaha Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk menarik keluar pekerja hijrahan itu.
Encik Hossain, 29 tahun, akhirnya meninggal dunia akibat pendarahan yang banyak selepas terperangkap lebih empat jam.
Pada Selasa (10 Mei), Koroner Christopher Goh mengeluarkan dapatan rasminya mengenai kematian warga Bangladesh itu dan memutuskan kejadian tersebut sebagai satu insiden yang malang.
Koroner juga berkata bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan perbuatan khianat tetapi menyatakan bahawa kejadian itu boleh dielak kerana pekerjaan harus dihentikan apabila butang "naik" di peti kawalan ditemukan.
Encik Hossain bekerja sebagai kontraktor lif dengan Decor Engineering sewaktu kejadian pada 27 Februari tahun lalu. Beliau terlibat dalam kerja-kerja pembaikan sebuah panel dinding lif di Bangunan Chan Brothers.
Beliau mengarahkan rakan sekerjanya Rafiqul supaya masuk ke dalam lif itu untuk melihat sama ada panel disusun sejajar, sementara beliau mengetatkan beberapa skru di bahagian atas lif berkenaan.
Lif itu dibawa ke tingkat satu dan Hossain naik ke atas lif tersebut melalui tingkat dua.
Seorang pekerja yang dikenali sebagai Wong yang ditugaskan untuk mengawal pergerakan lif itu memberitahu koroner bahawa beliau memeriksa butang "naik" dan "turun" pada kotak kawalan lif. Beliau mendapati bahawa butang "naik" rosak.
Wong mendakwa bahawa Hossain kemudian menyuruh beliau mengawal pergerakan lif di dalam bilik kawalan dan mencadangkan agar mereka berkomunikasi melalui panggilan WhatsApp.
Dalam dapatannya, Koroner Goh berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berpendapat bahawa kerja-kerja pembaikan tidak sepatutnya diteruskan jika butang "naik" rosak.
Ini kerana seorang individu tidak boleh melihat lif tersebut ketika di dalam bilik kawalan lif.
Koroner Goh menyatakan bahawa "pelbagai pilihan perubatan sudah dipertimbangkan termasuk memotong bahagian lengan" untuk mengeluarkan Encik Hossain. Namun, ruang yang sempit itu menyebabkan pekara tersebut mustahil berlaku.
Encik Hossain mula tidak sedarkan diri sekitar pukul 3.45 petang. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
SCDF berjaya membebaskan mayatnya kira-kira dua jam kemudian. Kematiannya disahkan sebagai pendarahan akibat kecederaan pada lengan kirinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.