Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Koroner dedah NSF polis tembak mati diri sendiri ada niat bunuh diri

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mahkamah koroner pada Jumaat (11 Ogos) memutuskan kematian seorang pegawai polis Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF), sebagai perbuatan bunuh diri.

Encik Finnegan Tan Yao Jie, 21, ditemui maut akibat luka tembakan dalam tandas di pangkalan Markas Operasi Khas (SOC) pada 30 Ogos 2021.
Berdasarkan sisa tembakan pada tangan dan mukanya, Koroner Negara Adam Nakhoda membuat kesimpulan bahawa Encik Tan telah menembak menggunakan pistol revolver yang diambil dari tempat simpanan senjata pada pagi hari tersebut.

Koroner mendapati bahawa terdapat bukti yang mencukupi dalam carian internet dan hantaran media sosialnya untuk membuat kesimpulan bahawa Encik Tan sudah berniat untuk meragut nyawanya sendiri.

Sehari sebelum kejadian berkenaan, Encik Tan malah telah menulis surat wasiat untuk mengagihkan wang tunai dan harta bendanya kepada saudara-mara dan rakan-rakannya.

Beliau juga meluahkan kekesalannya atas tindakan "memporak-perandakan kehidupannya".

Koroner mendedahkan bahawa punca sebenar Encik Tan memilih untuk membunuh diri mungkin tidak akan diketahui, tetapi jelas bahawa beliau sedang bergelut dengan isu-isu tertentu.

Wangnya sebanyak S$10,200 yang lesap angkara kes penipuan pekerjaan e-dagang berkemungkinan mendorongnya untuk menimbangkan niat untuk membunuh diri, menurut koroner.

Koroner negara tersebut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Encik Tan atas kehilangan mereka.

Berikut adalah talian bantuan yang boleh anda hubungi sekiranya anda berdepan masalah:

- Hotline Samaritans of Singapore
1767
- Institut Kesihatan Mental (IMH)
6389 2222
- Persatuan Kesihatan Mental Singapura
1800 283 7019

Anda juga boleh mendapatkan senarai talian bantuan antarabangsa menerusi pautan ini.

Jika seseorang yang anda kenali memerlukan bantuan segera, anda boleh menghubungi talian khidmat kecemasan 24 jam.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan