Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Koroner beri keputusan terbuka dalam kes lelaki 46 tahun yang ditemui reput di rumah

Anggaran Waktu Membaca:
Koroner beri keputusan terbuka dalam kes lelaki 46 tahun yang ditemui reput di rumah

Gambar fail Mahkamah Negara. (Gambar: Jeremy Long)

SINGAPURA: Seorang koroner sudah memberikan keputusan terbuka dalam kes seorang lelaki berusia 46 tahun yang ditemui mati oleh penyewanya di sebuah flat pada April tahun lalu.

Encik Tai Min Wah, yang tinggal bersama ibunya dan dua penyewa lain, mempunyai sejarah epilepsi, angin ahmar dan kolestrol tinggi.

Sekalipun demikian, hasil siasatan forensik daripada besah siasat menunjukkan bahawa "tidak mungkin untuk menentukan punca kematian yang pasti", kata koroner Prem Raj Prabakaran dalam satu set hasil siasatan yang disediakan pada Khamis (27 Jul).

APA YANG BERLAKU

Encik Tai berkongsi bilik tidur utama di flat itu bersama ibunya, yang tidur di atas tilam di lantai.

Ibu bapanya bercerai pada 1998 dan bapanya tinggal bersama saudara perempuan beliau.

Pada 13 April 2022, Ibu Encik Tai meninggalkan flat itu untuk melawat saydara perempuannya di Malaysia. Beliau mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya tetapi tidak mengesan apa-apa yang luar biasa.

Dua hari kemudian, ibu Encik Tai menelefon telefon bimbit anaknya itu sekitar tujuh hingga lapan kali untuk bertanya khabar, tetapi anaknya tidak menjawab panggilan.

Ibunya cuba menelefon sekali lagi pada 16 April tetapi gagal.

Kali ini, ibunya cuba menghubung salah seorang penyewa yang berada di flat itu untuk menjenguk anaknya.

Kali terakhir penyewa itu melihat Encik Tai masih hidup adalah pada petang 13 April.

Makhamah diberitahu bahawa ibu Encik Tai menunggu dalam talian sementara penyewanya mengetuk pintu bilik tidur Encik Tai.

Ibu Encik Tai kemudian menyuruh penyewanya untuk membuka pintu itu, yang tidak dikunci.

Penyewa itu kemudian memekik dan memberitahu ibu Encik Tai bahawa anaknya sudah terbujur kaku di atas katil dan mukanya sudah berubah menjadi hitam.

Penyewanya itu menangis berterusan sambil memberitahu bahawa beliau akan meminta tolong daripada jiran-jiran mereka.

Seseorang yang hanya dikenali sebagai "Encik Edmond" melaporkan penemuan mayat Encik Tai kepada polis.

Sarjan Faizul Nenwari memasuki flat itu dan melihat Encik Tai terbaring di atas katil dengan berpakaian kemeja T dan seluar pendek. Beliau melihat muka dan perut Encik Tai kembung dan bahagian lehernya hitam.

Beliau juga melihat cecair merah yang kering di sekeliling hidung dan mulut Encik Tai. Lampu di bilik tidak dinyalakan, tingkapnya tertutup dan penghawa dinginnya dihidupkan.

Ujian pantas antigen COVID-19 dengan keputusan positif ditemus di atas kabinet di sebelah mayat, tetapi ia tidak dapat dipastikan bila ujian itu dibuat dan sama ada itu milik Encik Tai.

Encik Tai disahkan meninggal dunia pada pukul 3.14 petang hari itu oleh paramedik, yang menyatakan bahawa mayat itu 'hampir reput' dan 'rigor mortis' atau kekakuan otot selepas mati sudah berlaku.

Polis menggeledah bilik tersebut dan menemui beberapa straw dan alat kaca yang mengandungi methamphetamine bersama ubat-ubatan yang diberikan kepada Encik Tai, termasuk aspirin, di dalam bilik itu.

BEDAH SIASAT

Bedah siasat ke atas mayat Encik Tai mengesan dua ubat di dalam sistemnya - parasetamol dan phenytoin, yang digunakan untuk merawat epilepsi.

Sungguhpun demikian, tiada bukti jelas bahawa Encik Tai mengambil ubat lain seperti meth sebelum kematiannya. Juga tiada bukti jelas bahawa beliau dijangkiti COVID-19 pada waktu kematian.

Punca kematian akhirnya ditentukan sebagai "tidak dapat dipastikan" kerana tiada punca kematian anatomi atau toksikologi yang ditemui.

Pakar patologi forensik dalam kes itu berkata ada kemungkinan epilepsi boleh menjadi punca kematian, tetapi turut mengatakan bahawa perubahan reputan organ dalam badan mungkin "menghilangkan" atau mengaburkan mana-mana punca kematian yang lain.

Rekod perubatan menunjukkan bahawa Encik Tai mempunyai sejarah sawan umum berulang sejak tahun 1994. Beliau didiagnosis dengan epilepsi pada tahun 1997 dan mengambil phenytoin sejak 2010.

Beliau dimasukkan ke hospital pada November 2021 bagi masalah 'double vision', dan didiagnosis mengalami beberapa serangan angin ahmar ringan. Beliau pulih dengan baik dan dibenarkan pulang pada bulan yang sama dan diberi ubat.

Beliau juga mempunyai rekod jenayah bagi kesalahan dadah termasuk pengambilan dadah, tetapi disabitkan pada kali terakhir pada 2012 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun. Beliau tidak disabitkan lagi selepas dibebaskan pada 2017.

Bapa dan saudara perempuannya tidak mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kematiannya dan tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat.

Ibu Encik Tai, yang paling rapat dengannya, berkata Encik Tai mengalami "angin ahmar ringan" pada Oktober 2021 dan mengalami sawan sejak kemalangan motosikal kira-kira 10 tahun lalu.

Katanya, anaknya seorang yang pendiam dan tidak berkongsi masalah peribadinya dengan orang lain. Beliau juga tidak mempunyai masalah mental atau kemurungan, katanya.

Beliau juga berkata beliau tidak pernah melihat anaknya di bawah pengaruh dadah.

Penyewa yang menemui mayat itu tidak dapat dihubungi kerana dia sudah berpindah semasa pegawai penyiasat cuba merekodkan keterangan daripadanya.

Identiti "Encik Edmond" juga tidak dapat dipastikan.

Koroner berkata tidak ada asas untuk mengesyaki perbuatan khianat dalam kematian Encik Tai. Walaupun beliau disahkan meninggal dunia pada 16 April 2022, kemungkinan besar beliau meninggal dunia lebih awal, sebelum pukul 7.30 malam pada 15 April.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Encik Tai atas kehilangan mereka.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan