Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Koridor mesra alam Khatib bakal hubungkan ruang hijau dengan taman baru

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Jun 2022 03:11PM Dikemas Kini : 06 Jun 2022 08:27PM

SINGAPURA: Sebuah koridor baru yang mesra alam merangkumi taman, jejak rekreasi dan laluan yang boleh direntasi hidupan liar akan dibangunkan di Khatib.

Koridor Alam Semula Jadi Khatib akan datang bakal menghubungkan Hutan Simpanan Kawasan Tadahan Air Bahagian Tengah dengan taman alam semula jadi yang baru, seluas 40 hektar, di Khatib. 

Ia bagi meningkatkan ketersambungan ekologi antara kedua-dua habitat sumber itu, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) pada Isnin (6 Jun). 

Rancangan itu dilakarkan sedang kawasan tersebut merintis jalan bagi dua bangunan kediaman dan serba guna yang akan datang di Springleaf serta Miltonia Close. 

NParks menyatakan ia bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan(HDB) untuk memelihara sebahagian besar tanah di kedua-dua kawasan tersebut sebagai Taman Alam Semula Jadi.

Koridor baru yang mesra alam itu akan melalui tiga taman baru, bakal dibangunkan di Springleaf dan Miltonia Close, serta tapak yang diduduki Orchid Country Club apabila tempoh sewa kelab berkenaan tamat pada 2030.

Ini akan berfungsi sebagai habitat penampan dan batu loncatan buat hidupan liar untuk bergerak antara Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah dengan Taman Alam Semula Jadi Khatib Bongsu.

Koridor baru itu bakal menghubungkan sehingga 150 hektar ruang hijau dengan 80 kilometer (km) laluan tersusun. Ia juga akan disambungkan kepada tiga laluan rekreasi - Laluan Keliling Pulau, Jejak Pantai Utara ke Pantai dan Koridor Kawasan Tengah.

KORIDOR EKOLOGI YANG BARU

Selain Khatib, NParks juga mengenal pasti tiga lagi koridor ekologi di Seletar, Kranji dan Lim Chu Kang. 

Namun, perancangan belum lagi dimuktamadkan untuk tiga kawasan tersebut. 

Kesemua koridor itu dikenal pasti melalui perundingan dengan sebuah panel terdiri daripada para pakar biodiversiti tempatan dalam latihan pemprofilan ekologi. 

Latihan itu bertujuan untuk membangunkan gambaran yang lebih komprehensif mengenai ekosistem dan ketersambungan ekologi di seluruh Singapura. 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan