Skip to main content

Singapura

Koridor hijau 15km akan hubungkan Taman East Coast dengan Taman Pantai Changi: DPM Heng

Dalam beberapa tahun lagi, Taman East Coast dan Taman Pantai Changi akan dihubungkan dengan sebuah lagi koridor hijau yang menyerupai sekitaran hutan semula jadi, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Sabtu (26 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Sep 2020 02:50PM Dikemas Kini : 26 Sep 2020 11:41PM

SINGAPURA: Dalam beberapa tahun lagi, Taman East Coast dan Taman Pantai Changi akan dihubungkan dengan sebuah lagi koridor hijau yang menyerupai sekitaran hutan semula jadi, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Sabtu (26 Sep).

Koridor sepanjang 15 kilometer itu akan dibina sepanjang New Upper Changi Road hingga Loyang Way, katanya. Ia adalah 5 kilometer lebih pendek berbanding laluan 'Round Island Route' yang kini menghubungkan kedua-dua taman itu menerusi pantai timur Singapura.

Beliau tidak mengatakan bila koridor itu disasarkan siap dibina.

Satu rangkaian koridor-koridor masyarakat lain turut akan dibina bagi menghubungkan koridor hijau pusat yang baru ke taman-taman dan kebun-kebun dalam masyarakat, kata Encik Heng, yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC East Coast.

"Tanaman menghijau akan ditanam di koridor-koridor itu bagi satu pengalaman lebih dingin dan selesa kepada para pejalan kaki dan pengayuh basikal," katanya dalam video yang dimuat naik ke Facebook.

Related article image

Pelbagai jenis pokok dan pohon renek yang asalnya dari sini akan ditanam di sepanjang koridor-koridor tersebut bagi menggambarkan rupa dan suasana hutan semula jadi, katanya, sambil menambah bahawa dengan menghubungkan koridor-koridor itu dengan ruang-ruang hijau sedia ada ia akan dapat mempertingkatkan kepelbagaian biologi di kawasan itu.

Encik Heng membuat pengumuman itu pada Hari Ubin, yang diperingati sejak 2002 untuk menampilkan kekayaan dan budaya asli pulau itu, yang terletak di luar pantai timur Singapura.

Koridor hijau di East Coast, yang masih dalam perancangan, adalah sebahagian daripada rancangan lebih luas Pemerintah untuk terus menyepadukan alam ke dalam landskap bandar Singapura, katanya.

Menurutnya, terdapat peningkatan besar jumlah pengunjung ke rizab alam semula jadi dan taman sejak pandemik COVID-19 bermula.

"Sedang kita bangkit daripada krisis ini, kita mesti terus berkembang malah mempercepat usaha penghijauan kami," kata Encik Heng.

Kemudahan baru berasaskan alam seperti kebun-kebun masyarakat dan taman-taman terapi turut akan dibina dan dihubungkan kepada rangkaian koridor, serta taman permainan alam yang menggunakan bahan-bahan dan ciri-ciri alam semula jadi, katanya.

Pemerintah akan mendapatkan maklum balas penduduk East Coast untuk mencungkil apa yang ingin mereka lihat dalam ruang-ruang hijau mereka, menjelang hujung tahun ini.

"Ini adalah peluang kita bekerjasama untuk menukar idea kepada tindakan, menghasilkan program bagi ruang-ruang hijau kita, dan bagi para penduduk mempunyai lebih rasa pemilikan terhadap ruang-ruang ini," kata Encik Heng. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita