Skip to main content

Singapura

Koridor alam semula jadi baru bagi hidupan liar dikenal pasti di Clementi

Satu koridor alam semula jadi baru untuk hidupan liar dikenal pasti di Clementi, dengan kajian lebih lanjut akan dijalankan ke atas laluan yang mungkin dilalui oleh haiwan-haiwan di kawasan itu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Jul 2021 08:45AM Dikemas Kini : 30 Jul 2021 10:06PM

SINGAPURA: Satu koridor alam semula jadi baru untuk hidupan liar dikenal pasti di Clementi, dengan kajian lebih lanjut akan dijalankan ke atas laluan yang mungkin dilalui oleh haiwan-haiwan di kawasan itu.

Mengumumkannya hari ini (30 Jul), Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan Koridor Alam Semula Jadi Clementi itu menyediakan ketersambungan ekologi antara Hutan Simpanan Bukit Timah dengan Southern Ridges.

Ia merangkumi kawasan-kawasan berhutan di Clementi, Toh Tuck dan Maju, serta Koridor Kereta Api. Ia juga menambah kepada Rangkaian Taman Semula Jadi yang ditubuhkan sebelum ini di Hutan Simpanan Bukit Timah dan Koridor Alam Semula Jadi Bukit Batok, menurut NParks.

Agensi itu menyatakan idea bagi koridor tersebut dibentuk berdasarkan profil ekologi kawasan itu, di samping pandangan daripada panel penasihat saintifik sebagai sebahagian daripada Urusan Profil Ekologi (EPE) NParks di seluruh negara.

EPE seluruh negara itu, yang diumumkan pada Februari, bertujuan untuk mengenal pasti laluan kawasan semula jadi di merata Singapura untuk memahami lebih baik peranannya dalam kepelbagaian bio dan ketersambungan ekologi. Ketersambungan ekologi merujuk kepada pergerakan kehidupan liar antara habitat-habitat utama.

EPE juga bertujuan untuk memperkukuh model kajian dan data sedia ada NParks dan membimbing agensi-agensi dalam pendekatan menyeluruhnya bagi perancangan jangka panjang.

Dengan Koridor Alam Semula Jadi Clementi dikenal pasti, NParks akan meneruskan kajian untuk mengenal pasti refugia - atau habitat yang menyokong spesis hidupan tertentu - dan "laluan ketersambungan dalam proses perancangan penggunaan tanah".

"Ini akan membolehkan ketersambungan ekologi di kawasan ini terjaga, sekalipun jika pembangunan berlaku di kawasan ini pada masa hadapan," tambahnya.

KENAL PASTI PROFIL EKOLOGI BAGI KAWASAN CLEMENTI-ULU PANDAN

Peta Koridor Alam Semula Jadi Clementi. (Sumber: NParks)

(Sumber: NParks)

Melalui EPE, NParks mengenal pasti "habitat sumber" dan koridor-koridor alam semula jadi di kawasan Clementi-Ulu Pandan.

Dapatan kajian menunjukkan terdapat dua laluan utama ekologi antara Hutan Simpanan Bukit Timah dengan Southern Ridges. Yang pertama ialah sepanjang Koridor Kereta Api dan NParks menyatakan pihaknya akan terus mempertingkat habitat untuk memberikan "sambungan laluan yang lancar dan selamat untuk hidupan liar".

Laluan yang kedua pula menembusi kawasan-kawasan hutan di Toh Tuck, Maju dan Clementi. NParks menyatakan ia akan terus mengkaji "tunjang laluan ketersambungan ekologi" di kawasan itu sambil merujuk kepada kajian asas kepelbagaian bio yang sudah dijalankan bagi kawasan tersebut.

"Tiada rancangan segera bagi pembangunan untuk tapak-tapak di Toh Tuck dan Maju dan tiada rancangan segera untuk membangunkan perumahan di tapak Clementi," tambahnya.

NParks juga menyatakan profil ekologi kawasan itu akan mengambil kira pilihan prasarana pengangkutan masa depan, yang akan menyokong sekolah dan kawasan perumahan di kawasan itu. Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) kini sedang mendampingi kumpulan-kumpulan pencinta alam sekitar mengenai pilihan tersebut, tambahnya.

USAHA PERTINGKAT HABITAT BAGI TAPAK ULU PANDAN BARAT

Koridor Alam Semula Jadi Clementi akan dihubungkan dengan taman semula jadi yang dirancang untuk bahagian barat Ulu Pandan.

Taman semula jadi itu diumumkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini, sebagai sebahagian daripada rancangan yang disemak semula untuk Ulu Pandan menyusuli maklum balas daripada kumpulan-kumpulan pencinta alam sekitar dan orang ramai.

Ia akan menjadi "batu loncatan" bagi hidupan liar antara Hutan Clementi dengan Southern Ridges, menurut NParks.

Untuk memperkukuh "ketahanan ekologi dan nilai kepelbagaian bio" di kawasan tersebut, kerja-kerja pemulihan hutan dan peningkatan habitat akan dilakukan, tambah NParks.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita